PENYAKIT boleh menjangkiti melalui gigitan.
PENYAKIT boleh menjangkiti melalui gigitan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


HAIWAN peliharaan boleh memberi impak kegembiraan, meningkatkan kesihatan dan membantu mengajar nilai serta kemahiran sosial kepada kanak-kanak.

Namun sebahagian haiwan peliharaan boleh membawa penyakit atau mungkin mendatangkan berbahaya terhadap kanak-kanak kecil yang mempunyai sistem imun lemah.

Zoonotik adalah contoh penyakit jangkitan daripada haiwan yang boleh disebar kepada manusia.

Ini kerana haiwan juga seperti manusia yang membawa kuman bahaya seperti virus, bakteria dan parasit.

Ada beberapa langkah untuk mencegah penyakit bawaan haiwan daripada menjangkiti manusia. Antaranya:

CUCI tangan selepas memegang kucing.
CUCI tangan selepas memegang kucing.

1-Penjagaan kesihatan haiwan peliharaan

Cara terbaik mengelak dijangkiti penyakit daripada haiwan kesayangan ialah memastikan haiwan itu sihat.

Pastikan haiwan kesayangan dilakukan pemeriksaan berkala doktor haiwan dan mengambil suntikan vaksin.

Sentiasa pantau haiwan kesayangan daripada mendekati haiwan yang mungkin membawa penyakit.

2-Mencuci tangan

Pastikan ahli keluarga cuci tangan dengan betul dan gunakan sabun selepas memegang atau mengurus haiwan peliharaan.

Ini kerana dibimbangi haiwan berkenaan dijangkiti penyakit yang boleh menjangkiti manusia dan memudaratkan kesihatan.

Ia perlu menjadi amalan kepada semua pemilik haiwan peliharaan demi kesejahteraan kesihatan.

- Bagaimana dengan gigitan dan calar?

Kebanyakan penyakit daripada haiwan menjangkiti manusia melalui gigitan, cakaran atau sentuhan langsung.

Langkah pertama untuk mengelak kecederaan ialah melatih haiwan peliharaan supaya tidak menggigit. Jangan biarkan anak kecil bersendirian bersama haiwan berkenaan.

Apabila haiwan peliharaan mencakar kulit, segera bersihkan dengan sabun dan air.

Gigitan kucing biasanya tidak dalam dan mungkin kelihatan tidak serius.

Tetapi kuman daripada mulut kucing boleh masuk ke dalam kulit dan menyebabkan jangkitan.

Perlu berjumpa doktor kerana mungkin memerlukan antibiotik.

Berjumpa doktor lagi jika alami gejala jangkitan seperti kemerahan, bengkak, keluar nanah, atau demam.

- Penyakit daripada haiwan paling biasa menjangkiti manusia

Kuman daripada haiwan boleh tersebar kepada manusia jika tersentuh air kencing, najis atau luka haiwan peliharaan.

Malah, penyakit juga boleh tersebar melalui udara daripada batuk atau bersin.

Contoh jangkitan penyakit daripada haiwan peliharaan menjangkiti manusia ialah kampilobakter yang dibawa kucing dan anjing.

Ia bakteria paling biasa menyebabkan masalah gastroenteritis (cirit birit).

Seterusnya ialah penyakit cakar kucing iaitu sejenis jangkitan dipercayai berpunca daripada bakteria pada kuku kucing.

Jangkitan ini merebak ke kelenjar limfa berdekatan bahagian dicakar.

Penyakit lain ialah rabies iaitu penyakit anjing gila yang menyerang saraf dan otak manusia.

Ia merebak melalui gigitan haiwan seperti anjing, monyet dan kucing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 6:20 AM