JANGAN beri kucing anda daging mentah.
JANGAN beri kucing anda daging mentah.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


MEMBERI makanan yang salah kepada kucing boleh menyebabkan kesihatan haiwan itu terjejas.

Ini kerana tidak semua makanan sesuai diberikan kepada kucing kerana jika tersilap beri, ia mungkin boleh membahayakan nyawa dan menjejaskan kesihatan kucing anda.

Walaupun makanan yang diberi tidak berbahaya kepada manusia, lain pula bagi si bulus anda yang mempunyai sistem tubuh berbeza.

Antara makanan yang tidak boleh diberi kepada si bulus adalah telur, daging mentah dan tulang.

Sama seperti manusia, kucing yang makan daging mentah dan tulang juga berpotensi dijangkiti dengan Salmonella atau E coli.

Telur mentah pula mengandungi sejenis enzim yang boleh mendatangkan masalah kepada kulit dan bulu kucing.

Tulang sebaliknya juga boleh menyebabkan kucing tercekik selain berisiko encederakan mulut dan gusinya.

Malah tulang yang tajam itu boleh mengganggu sistem penghadaman kucing.

TULANG boleh menyebabkan kucing tercekik selain berisiko mencederakan mulut dan gusi.
TULANG boleh menyebabkan kucing tercekik selain berisiko mencederakan mulut dan gusi.

Sekiranya si bulus mengalami simptom seperti cirit-birit, muntah dan lemah badan, segera dapatkan rawatan veterinar berdekatan.

Selain itu, bawang merah dan bawang putih sama sekali tidak boleh diberikan kepada kucing.

Ini kerana ia mengandungi bahan berisiko merosakkan sel darah merah kucing dan boleh menyebabkan anemia.

Elakkan juga daripada memberi kucing anda anggur atau kismis kerana walaupun dalam kuantiti kecil, ia boleh berisiko menyebabkan si bulus mengalami kegagalan buah pinggang.

Dalam masa 12 jam selepas termakan makanan itu, kucing anda boleh menunjukkan simptom seperti muntah dan jika tidak dirawat segera, ia akan menunjukkan simptom lebih serius seperti sakit pada abdomen, lemah badan dan cirit-birit.

Dalam pada itu, ramai yang sudah mengetahui bahawa coklat atau minuman berkafein membahayakan anjing dan kucing.

Coklat dan minuman berkafein mengandungi sejenis bahan yang dikenali sebagai Methylxanthines berbahaya kepada haiwan terbabit.

BAWANG merah dan bawang putih sama sekali tidak boleh diberikan kepada kucing.
BAWANG merah dan bawang putih sama sekali tidak boleh diberikan kepada kucing.

Apabila termakan, boleh menyebabkan simptom cirit-birit dan muntah, suhu badan yang tinggi, otot menggeletar, tidak selesa pada abdomen, haus serta sawan.

Produk susu atau tenusu juga tidak boleh diberi kepada kucing kerana mengandungi laktosa yang tidak selesa bagi sistem penghadaman mereka.

Elakkan juga dari tindakan mendedahkan kucing kepada doh kuih yang mengandungi yis kerana ia juga boleh mengganggu sistem penghadamannya.

Sementara itu, pastikan si bulus tidak diberikan ubat-ubatan manusia tidak kira dalam bentuk cecair atau tablet.

Ia berbahaya dan boleh menjadi racun dalam masa singkat.

Sekiranya kucing anda tidak bermaya dan menunjukkan simptom yang dinyatakan, jangan berlengah lagi untuk ke veterinar dengan segera kerana rawatan segera boleh menyelamatkan nyawa si bulus kesayangan anda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 6:11 AM