TELINGA kucing perlu dibersihkan dengan betul.
TELINGA kucing perlu dibersihkan dengan betul.
Hafiz Ithnin

BAGI pemilik kucing dan menjadikannya haiwan kesayangan, membersihkan telinga si 'bulus' kadangkala menjadi satu kewajipan.

Malah, jika di hantar ke salun haiwan kesayangan, proses membersihkan telinga juga dilakukan kerana ia mampu memberi faedah kepada si comel dari sudut kesihatan.

Pengasas Klinik Haiwan dan Surgeri Kitty's Care, Dr Muhammad Naim Md Kasim berkata, telinga kucing mempunyai bentuk luaran dan dalaman yang sangat berbeza dengan manusia.

"Telinga kucing mempunyai kelopak telinga (ear pinna) yang panjang dan tajam, ada juga sesetengah baka seperti Scottish fold mempunyai telinga yang tejatuh sedikit di bahagian atas, menjadi tarikan utama.

"Selain itu, luaran dalam telinga kucing juga berbentuk seperti huruf 'L.' Mengetahui anatomi ini sangat penting kerana pemiliknya akan lebih mudah untuk membersihkan telinga kucing mereka dengan lebih selamat dan bersih," katanya.

Dr Muhammad Naim berkata, telinga kucing boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu externa (luaran), media (bahagian tengah telinga) dan interna (bahagian dalam telinga).

TELINGA kucing yang mengalami aural hematoma.
TELINGA kucing yang mengalami aural hematoma.

"Telinga kucing amat sensitif. Jadi, pemilihan produk untuk telinga kucing perlu dilakukan dengan teliti. Pemilihan produk yang disarankan doktor veterinar sering menjadi pilihan yang selamat buat kucing anda.

"Malah, telinga kucing digalakkan untuk dibersihkan dengan kerap iaitu sekali hingga dua kali seminggu bagi mengelakkan pengumpulan kotoran dari persekitaran dan dari dalam telinga," katanya.

Jelasnya, penggunaan sedikit air, ubat titisan telinga yang sesuai untuk membasahkan lubang telinga amat membantu dalam memudahkan proses pembersihan telinga.

"Sentiasa pantau perubahan pada bentuk telinga kucing dan permukaan kulit telinga kucing supaya dapat mengesan penyakit telinga pada peringkat awal.

"Kenal pasti tanda-tanda kucing tidak selesa kerana sakit telinga juga boleh membantu mengelakkan penyakit berkaitan telinga kucing dirawat dengan lebih pantas," katanya.

Katanya, ketika memandikan kucing, perlu sentiasa berhati-hati untuk mengelakkan air, air sabun masuk ke telinga kucing.

"Sering juga masalah kucing mendapat jangkitan telinga selepas proses memandikan kucing tidak dijalankan dengan rapi.

"Sentiasa kemas kini penggunaan produk pencegahan kutu pada kucing anda kerana ada banyak produk di pasaran mempunyai kandungan yang sesuai untuk mengawal masalah ektoparasit yang menyebabkan masalah pada kesihatan telinga kucing. Tapi, pastikan ubat yang dibeli didaftarkan dan diakui selamat doktor veterinar," katanya.

Masalah yang selalu berlaku pada telinga kucing:

1) Kurap

'Mange' atau lebih dikenali sebagai kurap. Penyakit ini sering dilihat pada bahagian cuping telinga kucing. Ia kelihatan menggerutu dan sangat gatal.

Penyakit ini disebabkan sejenis kutu (Notoedres cati) yang masuk dalam kulit dan menyebabkan gejala ini berlaku.

Malah, ia dikatakan sering bermula di permukaan hujung cuping telinga dan boleh berjangkit ke bahagian lain pada badan kucing.

Rawatan yang sering diberikan untuk mengawal masalah ini adalah ubat-ubatan dari kumpulan avermectin. Contoh ubat dalam kumpulan ini adalah ivermectin, selamectin dan doramectin.

KUTU telinga yang dilihat secara dekat.
KUTU telinga yang dilihat secara dekat.

2) Kutu telinga atau 'ear mite'

Tungau telinga antara masalah yang sering dilihat pada telinga kucing. Penyakit ini disebabkan sejenis tungau yang dikenali sebagai Otodectes cynotis.

Antara gejala yang dapat dilihat apabila kucing mengalami masalah ini adalah sering menggaru telinga, tahi telinga menjadi kehitam-hitaman dan keras serta telinga kucing cepat kotor walaupun sering dibersihkan.

Penyakit ini boleh berjangkit dari kucing ke kucing atau dari persekitaran yang mempunyai parasit ini. Cara untuk kenal pasti penyakit ini doktor veterinar biasanya mengambil sedikit sampel tahi telinga dan memeriksa di bawah mikroskop untuk melihat kehadiran tungau ini.

Apabila penyakit ini sudah dikenal pasti ubat antiparasit dari kumpulan avermectin biasa diberikan dan sering juga kucing dibekalkan dengan ubat titisan telinga untuk memastikan penyakit ini diatasi sepenuhnya.

Kes tungau telinga ini jika tidak dirawat segera kadangkala boleh menyebabkan jangkitan yang sangat teruk boleh menyebabkan berlaku penghasilan nanah.

3) Aural hematoma (pengumpulan darah beku pada cuping telinga)

Aural hematoma terbentuk apabila cecair atau darah terperangkap antara tulang rawan telinga dan kulit telinga.

Bonjolan cecair kelihatan pada cuping telinga dan keadaan ini boleh menyebabkan telinga kucing menjadi tidak lurus.

Masalah ini boleh berlaku kerana trauma yang menyebabkan salur-salur darah di telinga pecah selain sering juga berlaku kepada kucing yang mempunyai masalah kegatalan di bahagian telinga.

Jika lambat dirawat, anatomi telinga kucing mungkin boleh berubah secara kekal. Malah, boleh menyebabkan jangkitan bakteria berlaku sehingga berkemungkinan cuping telinga kucing terpaksa dipotong.

4) Otitis (jangkitan dalam telinga)

Ada juga kucing berdepan masalah seperti otitis externa dan otitis media. Gejala jangkitan telinga yang sering dilihat adalah kucing murung, demam, telinga bernanah dan kepala kucing terteleng ke satu arah.

Jika ternampak simptom seperti ini kucing perlu dibawa untuk pemeriksaan lanjut. Beberapa langkah diagnosis diambil seperti pemeriksaan dalam telinga menggunakan otoskop bagi melihat dengan jelas keadaan dalam telinga, mengenal pasti jenis kuman yang menyebabkan jangkitan itu dan jika perlu X-ray telinga dan kepala akan diambil bagi melihat kedalaman jangkitan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 6:30 AM