LANDAK raya tergolong dalam spesies dilindungi.
LANDAK raya tergolong dalam spesies dilindungi.
Nurul Husna Mahmud


HAIWAN dan burung eksotik semakin mendapat permintaan dalam kalangan pencintanya untuk dimiliki sebagai haiwan peliharaan.

Golongan ini sanggup berhabis, baik untuk memiliki dan menjaga bagi memenuhi minat serta hobi.

Perlu diketahui bagi kelompok ini, selain aspek penjagaan perlu dititkberatkan, hal berkait dengan lesen atau permit kebenaran sah antara faktor yang perlu diberi keutamaan.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, setiap pemilik haiwan eksotik terutama spesies burung perlu membuat semakan terhadap status milikan lesen dan permit tertentu. Ia bagi mengelakkan pemiliknya disabitkan kesalahan mengikut Akta 716.

Akta 716 merujuk kepada Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 bagi perlindungan dan pemuliharaan hidupan liar di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Akta 716 memperuntukkan bahawa mana-mana spesies hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama memerlukan lesen bagi tujuan penyimpanan sebagai haiwan peliharaan.

"Manakala penyimpanan bagi spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kedua hendaklah memperoleh kelulusan permit khas daripada menteri," katanya.

Tambah beliau, berdasarkan rekod sehingga tahun lalu, pihaknya sudah mengeluarkan 26,451 lesen menyimpan hidupan liar kepada pemohon yang layak.

"Bagi pemilik haiwan yang ingin memohon lesen menyimpan haiwan liar, mereka perlu memastikan haiwan yang diperoleh menerusi saluran dan sumber yang sah. Ini merujuk kepada peniaga berlesen atau memperoleh lesen memburu dari jabatan Perhilitan," katanya.

Menjelaskan lagi, spesies haiwan eksotik yang sering mendapat permintaan ialah pelbagai baik dari spesies burung sehinggalah kepada kumpulan reptilia dan mamalia tertentu.

"Memelihara hidupan liar atau jenis eksotik sebagai haiwan kesayangan dilihat satu gaya hidup atau trend dalam kalangan masyarakat kini.

DUA spesies kura-kura, Sulcata Tortoise dan Indian Star Tortoise perlu dapat kebenaran bagi memeliharanya.
DUA spesies kura-kura, Sulcata Tortoise dan Indian Star Tortoise perlu dapat kebenaran bagi memeliharanya.

"Pelbagai spesies menjadi pilihan golongan ini seperti dari kelas burung murai batu, bayan serindit, ruak-ruak, tiong mas, Sun Conure, Grey Parrot dan Lovebird.

"Bagi kategori reptilia dan mamalia seperti landak raya, musang pulut, chinchilla, ular sawa, Ball Python, iguana, Sulcata Tortoise dan Indian Star Tortoise menjadi pilihan kerana mempunyai ciri-ciri unik dimiliki," katanya.

Bagi mengelakkan diperdaya peniaga haiwan eksotik yang tidak sah, Abdul Kadir menyarankan pemilik menyemak status haiwan terbabit dengan Perhilitan.

"Jika terdapat sebarang yang meragukan membabitkan status haiwan berkenaan terutama mereka yang membeli haiwan terbabit menerusi platform dalam talian, rujuk terlebih dahulu dengan pihak Perhilitan.

"Ini bagi mengelak pemilik disabitkan dengan kesalahan berhubung aktiviti memburu, mengambil atau menyimpan hidupan liar tanpa lesen selain boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

"Bagi kesalahan sekiranya memiliki spesies yang tertakluk di bawah permit khas boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

"Selain itu, kesalahan menyimpan hidupan liar yang tidak matang atau hidupan liar betina boleh dikenakan penalti yang lebih tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 6:56 AM