Suliati Asri


Kuala Lumpur: Unik, berwarna-warni dan sentiasa tersenyum. Itu antara tarikan si comel Leopard Gecko atau nama saintifiknya Eublepharis Macularius yang membuatkan Nur Aimi Mohd Zabidi, 25, menjadikan spesies reptilia itu sebagai haiwan peliharaan.

Penjagaannya yang mudah dan tidak menyebarkan sebarang penyakit kepada manusia juga antara yang membuatkan penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Pertanian Akuakultur Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang itu membela spesies cicak yang berasal dari Afghanistan.

“Sesuatu yang menarik mengenai Leopard Gecko ini, ia adalah spesies cicak yang sangat mudah dijaga, tidak memerlukan kos penjagaan yang tinggi dan paling menarik hati, ia suka tersenyum.

“Mukanya yang sentiasa mengukir senyuman menghilangkan tekanan yang dirasai selain ia juga adalah cicak, yang sangat cool terutama jika sudah berusia,” katanya.

Mula membela Leopard Gecko sejak berusia 18 tahun, kata Aimi, dia sememangnya sukakan haiwan reptilia sejak kecil lagi.

Namun, untuk menjadikan ia binatang peliharaan, Aimi melakukan banyak kajian serta bertanya dan Leopard Gecko adalah haiwan reptilia yang tidak memerlukan kos penjagaan mahal bersesuaian dengan keadaan kewangannya ketika itu.

“Pada mulanya, keluarga tidak bersetuju kerana mereka geli dan takut dengan Leopard Gecko ini. Jadi, saya mula memeliharanya tanpa pengetahuan keluarga ketika tinggal di asrama.

“Apabila keluarga sudah tidak takut dan boleh berinteraksi dengannya, barulah saya semakin agresif mengumpul dan membiakkan Leopard Gecko ini,” katanya yang kini memelihara 50 ekor Leopard Gecko.

Aimi pernah membela sehingga 400 Leopard Gecko pelbagai warna yang dibiakkan sendiri. Bagaimanapun, sebahagian daripada simpanannya itu dijual kepada pengumpul haiwan peliharaan daripada pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak.

Bercerita mengenai gelagat mencuit hati Leopard Gecko yang sentiasa dirindui, kata Aimi, sikap haiwan itu yang tenang dan mudah tersenyum membuatkan ia tidak betah jika lama tidak melihat mereka.

“Melihat kepada ketenangan dan senyuman Leopard Gecko ini, besar mana masalah yang dihadapi, ia bagai hilang sebaik bermain dan bercakap-cakap dengan mereka.

“Jangan terkejut, Leopard Gecko ini juga pandai merajuk lebih-lebih bila lambat diberi makan atau lama tidak menjenguknya. Ia akan mencakar-cakar bekas makanannya sebagai tanda protes atau mogok makan kalau saya lama tidak pulang,” katanya yang hanya memberikan Leopard Gecko ini makan ulat roti dan spesies cengkerik yang diimport serta kalsium.

Tambahnya, ramai yang beranggapan Leopard Gecko ini adalah cicak tokek kerana seluruh badannya berbintik-bintik. Namun, leopard gecko dan cicak tokek ini tidak sama.

“Leopard Gecko ini adalah spesies cicak yang berasal dari Afghanistan dan ia mempunyai kuku serta tidak mengeluarkan bunyi.

“Ia juga tidak memanjat di memanjat di dinding seperti mana cicak biasa di rumah,” katanya yang suka Leopard Gecko tetapi geli dengan cicak yang terdapat di rumah.

Menurut Aimi, bagi membela Leopard Gecko ini, tidak banyak kos yang diperlukan serta penjagaannya juga cukup mudah kerana apa yang penting adalah makan dan minumnya serta tempat yang gelap untuknya menyorok.

“Untuk seekor Leopard Gecko, kos makannya hanya RM2-RM5 seminggu dan dalam sebulan, saya hanya akan membelanjakan lebih kurang RM20 untuk makanan 50 ekor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 10:09 AM
NUR Aimi (kiri) menunjukkan cicak gecko disimpan dalam bekas.
NUR Aimi (kiri) menunjukkan cicak gecko disimpan dalam bekas.