TELUR diasingkan kerana leopard gecko tidak pandai menjaga telurnya sendiri.
TELUR diasingkan kerana leopard gecko tidak pandai menjaga telurnya sendiri.
LEBIH 200 leopard gecko ditempatkan di bilik di lot kedai milik keluarga Nur Aimi di Subang Bestari.
LEBIH 200 leopard gecko ditempatkan di bilik di lot kedai milik keluarga Nur Aimi di Subang Bestari.
NUR Aimi menunjukkan cicak gecko.
NUR Aimi menunjukkan cicak gecko.
Fatin Farhana Japre


Sering kita dengar hobi kebanyakan remaja memelihara kucing, arnab, burung dan ular.

Namun pernahkah anda terfikir untuk membela cicak sebagai haiwan peliharaan?

Hobi aneh ini dimiliki Nur Aimi Mohd Zabidi, 24, yang kini mempunyai lebih 200 ekor leopard gecko di bilik khas di lot kedai keluarganya.

Mengakui menyukai haiwan dan reptilia sejak kecil, Nur Aimi berkata dia hanya berpeluang memelihara leopard gecko ketika melanjutkan pengajian pada usia 18 tahun.

“Memang benar saya obses dengan haiwan sejak kecil namun ahli keluarga tidak suka dan takut.

“Jadi saya tidak berpeluang memiliki haiwan peliharaan di rumah dan mula membeli seekor leopard gecko apabila tinggal di asrama tanpa pengetahuan keluarga.

“Saya memilih leopard gecko kerana reptilia ini paling mudah dijaga, menjimatkan kos dan boleh didapati dalam pelbagai pilihan warna seperti hitam, putih, kuning dan jingga.

“Malah ahli keluarga juga boleh terima hobi ini kerana saya menempatkannya dalam akuarium,” kata anak ketiga daripada empat beradik ini.

Kata Nur Aimi, sejak keluarganya memberi keizinan membela leopard gecko dia mula menambah jumlahnya dan sehingga kini sudah mencecah 220 ekor.

“Leopard gecko mudah membiak menyebabkan dalam jangka masa setahun saya terpaksa menempatkannya di bilik di lot kedai milik keluarga.

“Walaupun jumlahnya semakin banyak, saya hanya menyimpan untuk koleksi peribadi dan tidak berniat menjualnya.

“Kini ibu turut membantu saya menguruskannya dengan memberi makanan dan minuman jika perlu menghadiri kuliah,” katanya.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Pertanian Akuakultur Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang ini berkata lebih RM30,000 dibelanjakan untuk reptilia ini yang dibeli dengan harga antara RM1,500 sehingga RM2,000 seekor.

“Saya hanya menggunakan duit simpanan sendiri untuk membeli cicak, makanan dan minumannya.

“Selain leopard gecko, saya juga mempunyai spesies jenis knob tail gecko enam ekor dari Australia yang kini harga pasaran mencecah RM2,500 seekor.

“Namun, jika ada spesies yang terlalu banyak jumlahnya seperti leopard gecko saya akan menjualnya secara dalam talian di Instagram (IG) @thefabulousgecko atau ketika pameran di pusat beli-belah sekitar Kuala Lumpur.

“Selain leopard gecko, saya juga membela bearded dragon sejak dua tahun lalu yang kini harga pasarannya mencecah RM1,000,” katanya yang memulakan hobi ini sejak enam tahun lalu.

Bercerita lanjut mengenai gaya pemakanan dan pembiakan leopard gecko sambil membiarkan reptilia itu memanjat badan dan tangannya, Nur Aimi berkata ia hanya makan sekali seminggu dan tidak perlu penjagaan rapi seperti kucing.

“Saya menggemari reptilia ini kerana leopard gecko dewasa perlu diberi makan ulat roti, cengkerik atau lipas sekali seminggu manakala gecko bayi pula tiga kali seminggu.

“Sekali-sekala saya akan memeriksa tahap kesihatan dan mengasingkan telurnya untuk diperam di dalam ketuhar khas.

“Kebiasaannya, kita boleh nampak leopard gecko betina nak mengawan dengan melihat tanda bulat berwarna putih dikelilingi tompok merah di bawah perutnya.

“Jadi saya akan meletakkannya dalam satu bekas dengan gecko jantan dan selepas empat minggu ia akan bertelur.

“Ia mampu bertelur 20 biji dan saya perlu mengasingkan telur untuk diperam menggunakan hampas kelapa selama 30 hingga 90 hari.

“Dalam jangka masa itu, gecko jantan akan menetas dulu dengan suhu bilik 31 darjah Celsius manakala betina pada suhu bilik 26 darjah Celsius,” katanya.

Menurut Nur Aimi, reptilia ini boleh membesar sehingga 11 inci tetapi dalam kuantiti yang kecil.

“Leopard gecko boleh membesar dalam saiz 9, 10 dan 11 inci yang dikenali dengan spesies giant namun sangat jarang ditemui.

“Ia sering disamakan dengan cicak tokek tetapi hakikatnya berbeza sekali sebab ekornya tidak mudah putus, kulit kasar, berbintik, tidak boleh melekat di dinding dan berasal dari Afghanistan.

“Lagipun, memelihara cicak tokek salah di sisi undang-undang,” katanya.

Ketika ditanya sama ada dia terfikir untuk berhenti dan menjual reptilia kesayangannya ini, Nur Aimi berkata, dia tidak pernah berniat begitu memandangkan leopard gecko amat mudah dijaga dan tidak pernah menyusahkannya.

“Bertahun-tahun saya menjaga reptilia ini dengan sebaik mungkin dan melabur duit simpanan demi leopard gecko.

“Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk menghentikan hobi ini.

“Oleh itu, saya berharap orang ramai patut mencuba mencari reptilia kegemaran untuk dipelihara kerana tidak semuanya ganas dan ada yang manja!,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 1:33 PM