GECKO dewasa lebih mudah dipegang kerana sifatnya yang jinak dan manja.
GECKO dewasa lebih mudah dipegang kerana sifatnya yang jinak dan manja.
 TELUR Gecko disimpan di dalam inkubator khas bagi menentukan jantina.
TELUR Gecko disimpan di dalam inkubator khas bagi menentukan jantina.
MORPH Super Snow Bell Albino dikenali dengan coraknya yang berwarna merah jambu bersama mata berwarna merah.
MORPH Super Snow Bell Albino dikenali dengan coraknya yang berwarna merah jambu bersama mata berwarna merah.
AIMI  salah seorang daripada tiga pembiak utama Leopard Gecko Malaysia.
AIMI salah seorang daripada tiga pembiak utama Leopard Gecko Malaysia.
Wan Nur Ameera Meor Rozman

Subang: Tidak seperti gadis lain yang gemar melayan novel, menonton drama Korea, mengumpul patung beruang atau bermain dengan gajet, Nur Aimi Mohd Zabidi, 23, memiliki hobi aneh - memelihara ‘cicak’.

Sebaik melangkah masuk ke dalam bilik yang diterangi cahaya matahari, mata penulis terpaku pada susunan bekas plastik lutsinar di atas rak.

Penulis cuba memerhatikan gerak-geri ‘makhluk’ yang terdapat di dalam kurungan berkenaan.

Selepas diamati, penulis agak terkejut apabila mendapati ‘isi’ di dalam bekas plastik itu sebenarnya spesies reptilia dikenali sebagai Gecko.

Perasan takut bercampur ‘geli’ mula menghantui diri, apatah lagi penulis seorang ‘Herpetophobia’ iaitu fobia terhadap reptilia seperti cicak, ular dan juga amfibia.

Penulis cuba menjauhkan jarak daripada Nur Aimi sebaik saja dia mengeluarkan haiwan terbabit dan membelainya seperti seekor kucing yang manja.

“Inilah hobi saya sejak lima tahun dulu. Walaupun tidak ramai menggemarinya, tetapi spesies ini juga mempunyai sifat ingin dikasihi sama seperti ciptaan Allah yang lain,” katanya memulakan perbualan ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Bagi Nur Aimi secara amnya, haiwan peliharaan amat sinonim dengan binatang jinak, manja dan comel seperti arnab, burung dan kucing.

Namun, katanya, ramai tidak sedar terdapat kelompok minoriti mempunyai minat berbeza dengan mencintai haiwan daripada kumpulan reptilia.

Berdasarkan pemerhatian penulis, pasti ramai antara kita tidak menyukai haiwan berdarah sejuk berkenaan kerana kulitnya bersisik dan lembap, berbeza sekali dengan mamalia.

Menceritakan permulaan perjalanan hobinya sambil membiarkan Gecko kesayangan memanjat badan dan tangannya, pelajar Sarjana Muda Pertanian (Akuakultur), Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, pada awalnya keputusannya itu mendapat tentangan keluarga.

“Mulanya, ahli keluarga kurang bersetuju dengan tindakan ini kerana ada antara mereka geli dengan reptilia ini, namun setelah hampir setahun membelanya, keluarga mula menerima kehadiran cicak ini dan kini saya menguruskannya bersama ibu.

“Bermula dengan seekor Gecko jantan dewasa kerana sifatnya lebih jinak dan sentiasa boleh dipegang, saya sengaja hendak mencuba membela haiwan ini memandangkan cara penjagaannya lebih mudah dan menjimatkan kos berbanding kucing.

“Masyarakat Malaysia sering keliru dan memanggil Gecko dengan panggilan tokek, walhal Gecko dan tokek dua spesies berbeza meskipun datang daripada keluarga yang sama,” jelasnya.

Leapord Gecko atau nama saintifiknya Eublepharis macularius amat terkenal sebagai haiwan kecil dan lincah serta mempunyai wajah senyum (smiley face) manakala tokek pula sebaliknya.

“Tokek (Gekko gecko), salah satu haiwan yang terancam di Malaysia adalah spesies cicak terbesar di negara ini yang biasa dijumpai pada waktu malam dan melekatkan dirinya pada dahan pokok.

“ Gecko yang berasal dari kawasan gurun Afghanistan, Iran dan India pula salah satu spesies cicak ada kelopak mata serta berkuku.

“Oleh itu ia tidak dapat memanjat pokok seperti dilakukan tokek,” katanya.

Sejak 2011, Nur Aimi membela 2,000 Gecko dan kini mempunyai hampir 200 cicak Gecko terdiri daripada 36 ekor jantan, 130 Gecko betina dan 21 anak Gecko.

“Dalam masa dua tahun, saya berjaya membiak antara 200 hingga 300 ekor yang ditempatkan di bilik kecil di rumah, tetapi dengan jumlah yang ada sekarang, saya perlu menempatkan mereka di bilik khas di lot kedai milik keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2016 @ 5:55 AM