MENGEMBANGKAN gunjainya untuk menakutkan musuh.
MENGEMBANGKAN gunjainya untuk menakutkan musuh.
Muhamaad Razis Ismail


MELIHATNYA mengembangkan gunjai di leher sambil mengangakan mulut, pasti membuatkan ramai gerun untuk menghampiri cicak jenis Frilled Neck Lizard ini.

Dengan wajah yang bengis, cicak jenis ini hanya akan berbuat demikian untuk menakutkan musuh dan berasa terancam.

Jadi tidak hairan, Frilled Neck Lizard mendapat namanya dari gunjai di lehernya yang boleh mengembang.

Keunikan haiwan ini menarik perhatian Shaun Nicholas Yeap, 26, untuk menjadikannya sebagai antara haiwan peliharaan.

Kini dia sudah memelihara lima cicak Frilled Neck Lizard dari New Guinea sejak 2018.

Haiwan berwarna coklat atau kelabu ini boleh membesar sehingga 0.6 meter.

Selain itu, dia bersama teman wanitanya turut memelihara beberapa haiwan eksotik lain termasuk Leopard Gecko, Crested Gecko dan Chinchilla.

SHAUN bersama haiwan peliharaannya.
SHAUN bersama haiwan peliharaannya.

Menurutnya, Frilled Neck Lizard tidak bahaya dan jarang menunjukkan sifat agresif.

"Ia hanya akan mengembangkan gunjainya apabila berasa terancam dan cuba menakutkan lawan.

"Apa yang saya sukakan dengan haiwan ini ialah apabila ia berpusing dan berlari dengan menggunakan dua kaki belakang seperti manusia," katanya.

Frilled Neck Lizard adalah sejenis reptilia pintar dan dapat meniru gerak-geri pemiliknya.

"Ia boleh mengambil makanan dengan pengepit, minum menerusi pipet dan mengetahui pintu mana yang digunakan untuk ke taman," katanya.

ANTARA diet Frilled Neck Lizard adalah lipas.
ANTARA diet Frilled Neck Lizard adalah lipas.

Katanya, untuk penjagaan Frilled Neck Lizard, beberapa perkara perlu dititik beratkan termasuk ukuran sangkar minimum yang bersesuaian.

"Kita juga mesti sentiasa memantau kelembapan dan suhu sangkarnya dengan menyembur air supaya sama dengan persekitaran semula jadi di habitat asal seperti di hutan hujan tropika.

"Bagaimanapun, perlu diingat, sangkar yang terlalu lembap boleh menyebabkan jangkitan kulat dan pernafasan. Jika terlalu kering pula boleh mengakibatkan haiwan mengalami dehidrasi," katanya.

Selain itu, cicak ini memerlukan makanan tambahan iaitu kalsium dan multivitamin yang dicelup pada makanan untuk pertumbuhan serta kesihatan.

Haiwan ini juga memerlukan lampu ultra ungu A (UVA) untuk memanaskan badan dan lampu UVB untuk membolehkan sintesis vitamin D3 berlaku.

"Reptilia ini memerlukan UVB untuk pertumbuhan tulang dan lampu UVA untuk pencernaan serta penyerapan nutrien.

"Lampu ini membantu menjadikannya berkelakuan semula jadi dan meniru kitaran waktu siang dan malam. Ia perlu berjemur di bawah cahaya matahari setiap pagi untuk mengelakkan penyakit MBD," katanya.

Jelasnya, haiwan bersifat arboreal ini memerlukan banyak dahan pokok untuk memanjat dan banyak daun untuk bersembunyi.

TELUR Frilled Neck Lizard.
TELUR Frilled Neck Lizard.

"Pada lantai sangkar pula, kita boleh letakkan pelbagai jenis 'substrat' seperti 'coco peat,' 'coco husk' dan lain-lain untuk melindungi haiwan ini daripada mengalami patah tulang atau terkehel sekiranya terjatuh," katanya.

Katanya, diet Frilled Neck lizard adalah lipas dubia, lipas turkistan, ulat BSFL dan kriket.

"Kadangkala saya berikan ulat roti untuk pelbagai jenis makanan bagi memastikan ia mendapat nutrien yang maksimum," katanya.

Setiap hari, dia akan memastikan lampu dibuka selama 12 jam supaya haiwan itu mendapat cahaya yang optimum.

"Sangkar akan dibersihkan apabila haiwan itu membuang najis dan biasanya saya mandikan seminggu sekali," katanya.

Shaun berkata, untuk permulaan seseorang itu perlu memperuntukkan RM1,000 hingga RM1,500 untuk Frilled Neck Lizard, sangkar, lampu dan makanan tambahan .

"Setiap bulan, saya memperuntukkan sekitar RM100 hingga RM150 untuk penjagaan," katanya.

Beliau berpengalaman memelihara haiwan eksotik menasihatkan mereka yang berminat menjadikannya sebagai haiwan peliharaan membuat kajian mendalam segala perkara mengenai haiwan terbabit.

"Tanya diri sendiri, adakah ia sesuai untuk disimpan sebagai haiwan peliharaan, adakah anda bersedia untuk memberikan masa sepenuhnya untuk menjaganya?" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 7:00 AM