Hidayatidayu Razali


Kecomelan tikus Belanda atau 'guinea pig' menarik minat seorang pesara swasta untuk menjadikan haiwan itu sebagai peliharaan sejak lebih dua tahun lalu.

Bermula sekadar suka-suka, kini Zamri Mat Adam, 48, sudah memiliki lebih 80 ekor tikus Belanda yang diletakkan di dalam sangkar di hadapan rumahnya.

Zamri berkata, dia memelihara tikus Belanda atau lebih dikenali sebagai 'Arbok' sebagai haiwan peliharaan bagi mengisi masa lapang.

Namun, selepas haiwan itu membiak, ramai penduduk sekitar mahu membeli tikus Belanda peliharaannya itu sekali gus membantu menambah pendapatan.

Apa yang istimewanya kata Zamri, fizikal haiwan itu juga seakan-akan arnab, namun saiznya lebih kecil.

"Saya memiliki perniagaan lain untuk menyara keluarga dan tidak sangka rupanya ramai yang berminat untuk membeli dan memelihara haiwan itu.

"Tidak seperti haiwan lain, tikus Belanda lebih jinak dan mudah diurus hingga ia menjadi pilihan kepada pencinta haiwan untuk memeliharanya sebagai hobi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mujur, Bachok, Kelantan.

SANGKAR yang sesuai untuk penjagaan tikus belanda.
SANGKAR yang sesuai untuk penjagaan tikus belanda.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, disebabkan penjagaannya mudah, maka ramai yang sudah mula menunjukkan minat untuk memelihara haiwan itu walaupun harganya boleh mencecah ratusan hingga ribuan ringgit bagi setiap pasangan.

Menurut Zamri, golongan muda juga semakin ramai membela haiwan itu sebagai pendapatan sampingan memandangkan ia mendapat permintaan yang tinggi.

Katanya, penjagaan tikus Belanda mudah kerana ia hanya makan dedak, rumput dan sayur-sayuran sahaja.

"Disebabkan saiznya yang kecil, maka kadar makanannya juga tidak banyak dan sangat jimat.

"Namun, sebagai pemilik kita perlu tahu untuk memilih diet yang sesuai dan mencukupi mengikut kesesuaian umur," katanya.

PERLU sentiasa dicuci dan dijaga kebersihan sangkar.
PERLU sentiasa dicuci dan dijaga kebersihan sangkar.

Jelas Zamri lagi, jika mahu memelihara apa jua haiwan sekalipun, seseorang itu perlu ada ilmu yang secukupnya bagi memastikan ia dapat dijaga dengan baik.

Kata Zamri, dia sendiri mempelajari cara untuk memelihara dan membiakkan tikus Belanda dari Internet kerana semua maklumat hari ini berada di hujung jari sahaja.

Katanya, meskipun tikus Belanda haiwan yang tahan lasak dan tidak mudah diserang penyakit namun dia tidak ambil mudah aspek kebersihan.

"Saya membina sendiri lebih lima sangkar dan setiap satunya menempatkan spesis yang sama bagi memudahkan penjagaan.

"Setakat ini, terdapat tujuh baka tikus Belanda yang dipelihara iaitu Coronet, Silky, Teddy, Berubian, Skinny, Love Hair dan Charlie California.

ANTARA tikus Belanda yang dipelihara oleh Zamri.
ANTARA tikus Belanda yang dipelihara oleh Zamri.

"Yang paling saya sayangi ialah Charlie California kerana harganya mahal, boleh mencecah RM2,400 untuk sepasang jika dijual," katanya.

Menurutnya, tikus Belanda baka Charlie California bukan sahaja sukar diperoleh malah tidak mudah untuk dibiakkan.

Namun, dek kerana harga dan permintaan yang tinggi, Zamri turut mempelajari teknik pembiakan yang sesuai.

"Selain Charlie California, baka lain seperti Love Hair juga kian mendapat sambutan peminat haiwan peliharaan di negara ini.

"Baka itu istimewa kerana memiliki bulu yang panjang manakala harga pasarannya ketika ini juga boleh tahan, sekitar RM700 sepasang," katanya.

Zamri berkata, dia bersyukur kerana isterinya, Zalika Ismail, 42, turut memahami minatnya itu dan meluangkan masa menjaga haiwan berkenaan.

Katanya, hilang penat seharian apabila dapat melihat kepada aksi manja dan mencuit hati tikus Belanda itu.

"Ia bukan sekadar haiwan peliharaan sebaliknya menjadi terapi kepada kami sekeluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 7:01 AM