RAJA Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah. FOTO Instagram
RAJA Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah. FOTO Instagram
TONY Fernandes. -FOTO NSTP
TONY Fernandes. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jika bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menolak untuk merebut jawatan nombor satu dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah pastinya akan timbul siapa lagi pengganti bersesuaian untuk menerajui organisasi terbabit.

Sebenarnya ramai yang mungkin terlepas pandang bahawa terdapat beberapa individu bersesuaian yang dilihat berpengalaman dan mempunyai pengetahuan dalam selok belok mengenai bola sepak tanah air ini.

Antara individu yang menjadi sebutan selain Khairy adalah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan ahli perniagaan terkenal serta pemilik AirAsia Tony Fernandes.

Menurut pemerhati sukan Dr Faithal Hassan dua nama yang cukup sinonim dengan dunia bola sepak itu dilihat berpotensi untuk berada dalam tampuk pemerintahan FAM kelak.

Beliau berkata, individu terbabit dilihat mampu memberi nafas baharu kepada FAM berdasarkan kepada pengalaman yang dimiliki mereka ketika menerajui kelab bola sepak.

"RMS (Raja Muda Selangor Tengku Amir) mempunyai rekod prestasi yang membanggakan dalam bola sepak Selangor, namun sama ada beliau mahu merebut jawatan nombor satu FAM masih tidak diketahui.

"Pada pendapat peribadi, saya mahukan perubahan dapat dilakukan dalam kepimpinan FAM demi mempertingkatkan lagi kualiti bola sepak negara.

"Fernandes, dengan kepintaran korporat dan minatnya dalam dunia bola sepak, menawarkan perspektif baru untuk sukan terbabit.

"Pembabitannya mungkin boleh mengelak daripada FAM terjerumus dalam masalah politik, membentuk landskap bola sepak negara lebih baik dan berdaya saing di peringkat global," katanya.

Sebelum itu, media melaporkan bahawa sudah tiba masa buat FAM melakukan peralihan pucuk pimpinan dalam usaha menggerakkan sukan nombor satu negara itu ke tahap yang lebih pesat pada masa akan datang.

Pandangan itu diluahkan Khairy yang juga bekas Timbalan Presiden FAM, sambil menegaskan kepimpinan sedia ada sudah melakukan kerja dengan baik sepanjang memegang jawatan dalam badan induk itu.

Pada masa sama, FAM juga tidak pernah menyekat atau menolak mana-mana individu yang menyimpan hasrat untuk bertanding merebut jawatan kepimpinan tertinggi organisasi itu.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, badan induk bola sepak itu bersifat terbuka termasuklah jika terdapat individu lain ingin merebut kerusi panas dalam FAM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 2:17 PM