SATIN antara baka terhasil daripada gen mutasi.
SATIN antara baka terhasil daripada gen mutasi.
Nurul Husna Mahmud


Pembiakan bersilang bagi haiwan tidak disarankan kerana terdapat kebimbangan genetik hibrid boleh mengundang kepada pelbagai risiko terutama penyakit baharu.

Malah, pembiakan bersilang menghasilkan hibrid baharu dikatakan boleh mengundang 'pencemaran' kepada baka unggul atau asli.

Amalan ini disifatkan berisiko selain tidak beretika dalam kalangan pemilik haiwan peliharaan.

Justeru dalam pertandingan, status baka sangat penting dan selalunya spesies hibrid tidak diiktiraf persatuan pencinta haiwan.

Begitu juga kesnya dalam Persatuan Penternak Arnab Malaysia (Marba) iaitu penganjur pertandingan Cavy atau tikus belanda hanya mengiktiraf 13 baka layak dipertandingkan.

Menurut setiausaha persatuan itu, Kamarul Azwa Muhammad, 38, persatuan itu turut bernaung di bawah American Cavy Breeders Association (ACBA) di Amerika Syarikat memiliki garis panduan termasuk penilaian baka memastikan layak dipertandingkan.

Kata Kamarul Azwa, sebagai badan rasmi haiwan terbabit di peringkat nasional, Marba menjadikan ACBA sebagai rujukan dalam peraturan atau amalan standard penganjuran pertandingan.

PENILAIAN juri berdasarkan standard ditetapkan badan antarabangsa seperti ACBA.
PENILAIAN juri berdasarkan standard ditetapkan badan antarabangsa seperti ACBA.

"Dalam pertandingan Cavy atau tikus belanda, baka antara aspek dikenal pasti kerana ia pengenalan haiwan itu.

"Spesies perlu 'genuine' atau jelas susur galurnya supaya boleh dinilai mengikut kategori atau baka.

"Dalam pertandingan atau pameran membabitkan tikus belanda, boleh lihat pelbagai varian atau spesies itu wujud. Ia termasuk satin yang ditemui sebaik terdapat mutasi pada genetik.

"Bahasa mudahnya, satin adalah baka ditemui selepas berlaku kecacatan pada gen baka terbabit. Keadaan itu menyebabkan spesies yang terhasil memiliki bulu lebih halus dan berkilau.

"Ini berbeza dengan isu kacuk atau pembiakan bersilang dengan sengaja untuk mendapatkan spesies baharu daripada spesies berlainan. Pembiak baka yang beretika mengelak 'kahwinkan' baka berlainan spesies untuk meng

elak kewujudan spesies baharu," katanya.

Dalam pada itu Kamarul Azwa turut berkongsi kriteria penilaian juri setiap kali pertandingan. Kriteria terbabit ialah:

PERTANDINGAN juga melihat kepada baka atau susur galur spesies terbabit.
PERTANDINGAN juga melihat kepada baka atau susur galur spesies terbabit.

1. Bentuk tubuh

Juri memerhatikan proporsi atau nisbah tubuh dan simetri tubuh. Tikus belanda yang memiliki bentuk tubuh yang seimbang dan simetri akan mendapatkan penilaian lebih baik.

2. Keadaan fizikal

Kebersihan umum dan kesihatan tikus belanda menjadi pertimbangan penting. Juri memeriksa kebersihan bulu, kuku, telinga, hidung dan mata.

Tikus belanda yang memiliki keadaan baik termasuk bulu yang bersih dan sihat akan mendapatkan penilaian lebih baik.

3. Bulu

Kualiti bulu menjadi salah satu fokus penilaian. Juri meneliti tekstur bulu, kepadatan, kilauan dan kebersihannya. Bulu yang halus, berkilau dan bebas daripada kusut dinilai lebih baik.

4. Warna dan pola bulu

Juri memerhatikan variasi warna dan pola bulu tikus belanda. Standard warna dan pola bulu yang diakui ACBA akan menjadi dasar penilaian.

5. Kepala dan wajah

Bentuk kepala, wajah dan fitur seperti telinga dan mata juga dinilai juri. Juri mencari kepala yang nisbahnya seimbang dengan wajah menarik, mata yang cerah dan telinga sesuai dengan standard baka.

6. Perilaku

Sikap dan perilaku tikus belanda juga dapat mempengaruhi penilaian. Tikus belanda yang tenang, mudah diatur dan tidak takut mendapat penilaian lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 6:30 AM