Nurul Husna Mahmud


TERDAPAT banyak versi memperincikan bagaimana haiwan 'montel' berbulu daripada spesies rodensia mendapat nama Guinea Pig.

Paling popular dikatakan nama itu mula 'melekat' pada tikus belanda kononnya selepas pelayar Sepanyol membawa haiwan itu ke Eropah apabila mahu membezakan spesies Cavy itu daripada arnab.

Analogi yang lebih rasional merujuk kepada penggunaan nama 'Guinea Pig' itu pula melihat kepada ciri-ciri fisiologi dan tingkah laku tikus belanda dikatakan menyerupai babi walaupun tiada genus haiwan terbabit.

Visual tikus belanda yang memiliki badan memanjang, bulu tebal kasar, leher pendek dan berkaki kecil.

Sementara bentuk kepala tikus belanda yang ada potongan 'bermuncung' tetapi membulat mirip juga dengan rupa bentuk kepala babi.

Rupa bulat dan gebu itulah juga mengundang minat termasuklah pengumpul koleksi haiwan, Nornazihah Nawawi, 34, untuk memelihara tikus belanda.

Kata Nornazihah, sukar untuk kawal rasa 'geram' apabila dekat dengan haiwan terbabit apatah lagi peminat haiwan berbulu.

"Tikus belanda antara haiwan peliharaan yang jinak dan boleh dipelihara di kawasan terhad termasuklah mereka yang tinggal di rumah bertingkat.

"Sangkar tikus belanda tidak terlalu besar dan ia juga tidak agresif begitu ideal untuk haiwan peliharaan mesra kanak-kanak.

"Selain kucing dan arnab, tikus belanda antara haiwan yang boleh dipelihara mereka yang memiliki ruang cukup,"

katanya.

TIKUS belanda boleh dimandikan untuk menyingkir kotoran dan parasit.
TIKUS belanda boleh dimandikan untuk menyingkir kotoran dan parasit.

Tambah Nornazihah lagi, dalam tikus belanda itu sendiri terdapat pelbagai jenis baka dan memiliki ciri-ciri menarik.

"Dalam koleksi saya ada kira-kira empat jenis iaitu California, Satin, Teddy dan Himalayan. Ada berbulu pendek, sederhana panjang dan berkilat.

"Rupanya yang berbulu dan badan gebu itu membuatkan orang melihatnya geram serta ingin membelai atau bermain.

"Tingkah laku tikus belanda juga lucu apabila ada ketika ia sangat lincah dan tidak kurang juga suka 'melepet,"

katanya.

Penjagaan tikus belanda bagi Nornazihah juga antara haiwan yang mudah dijaga dan tidak memerlukan kos tinggi.

"Diet tikus belanda juga mudah kerana haiwan ini makan sayur dan buah tertentu. Palet tikus belanda mudah didapati dan boleh diberi selang-seli dengan makanan yang lain.

ANTARA spesiesberbulu panjang.
ANTARA spesiesberbulu panjang.

"Palet masih menjadi pilihan mudah dan selamat kerana nutrisi terkandung mencukupi untuk haiwan itu.

"Badan yang bulat dan bulunya yang cantik menandakan tikus belanda sihat. Tikus belanda sifatnya seperti kucing.

"Andai tikus belanda itu stres, bulunya mudah tertanggal dan ia juga mengeluarkan bunyi berdecit kuat," katanya.

Nornazihah berkata, antara keletah lucu dimiliki haiwan terbabit adalah gayat pada ketinggian dan ia tidak akan melompat apabila berada di atas meja.

"Mudah sebenarnya untuk jinakkan iaitu dengan menggosok atau membelai. Selalu bermain dan memegangnya.

"Kalau hendak kawal pergerakan atau mahu bermain dengan tikus belanda, letak di atas meja dan ia tidak akan lari kerana takut pada ketinggian," katanya.

Seperti haiwan berbulu lain, tikus belanda juga perlu dirias memastikan kesihatannya terjamin.

"Mandi sekurang-kurangnya satu hingga dua minggu sekali atau berus untuk kesihatan yang lebih baik. Bersihkan juga sangkar kerana kencing tikus belanda sangat berbau hamis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 7:00 AM