PERTANDINGAN dorong pemilik dan pembiak menaik taraf kualiti penjagaan tikus belanda tempatan.
PERTANDINGAN dorong pemilik dan pembiak menaik taraf kualiti penjagaan tikus belanda tempatan.
Nurul Husna Mahmud

Setiap haiwan peliharaan memiliki 'soft spot' atau sentuhan yang mampu menarik perhatian pemiliknya untuk memberi komitmen dalam memelihara dan menjaga dengan baik.

Untuk tikus belanda atau guinea pig, memiliki rupa yang comel dan tubuh gebu terutama spesies berbulu panjang yang menjadi salah satu tarikan untuk peminat haiwan memilikinya.

Bagi sesetengah orang, bunyi 'berdecit' kuat adalah sesuatu yang kurang menyenangkan, tetapi tidak buat peminat haiwan dari keluarga redonsia itu. Apatah lagi bunyi itu adalah irama menggembirakan.

Lebih berharga spesies ini yang dikenali Cavy oleh komuniti serata dunia memiliki platform tersendiri untuk dinilai dan dipertandingkan bagi pencarian baka yang sempurna.

Acara International Sactioned Rabbit & Cavy Show 2022 anjuran Persatuan Penternak Baka Arnab Malaysia (Marba) yang turut berdaftar dengan badan antarabangsa iaitu American Cavy Breeder Association (ACBA) diadakan di MesaMall Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Ia bagi melihat pencarian baka sempurna dalam kalangan pemilik dan pembiak baka tikus belanda tempatan, sekali gus mewujudkan persaingan sihat selain menaik taraf kualiti penjagaan haiwan kesayangan mereka.

Menurut Setiausaha Marba, Kamarul Azwa Muhammad, 38, penganjuran pertandingan yang masuk kali ketiga tahun ini banyak membantu mendorong pemilik atau pembiak baka tempatan menaik taraf kualiti penjagaan haiwan mereka dalam memenuhi standard ditetapkan badan dunia.

"Banyak impak positif terutama selepas pandemik Covid-19 dengan kehadiran pemilik baharu yang tertarik untuk memelihara tikus belanda di rumah semakin bertambah.

"Dari segi kos dan ruang, tikus belanda antara pilihan efektif kerana boleh dibela dalam sangkar kecil selain boleh hidup dalam koloni.

"Haiwan ini juga saiznya kecil dan mempunyai pelbagai varian. Paling popular ketika ini adalah baka American California dengan keunikan terletak pada 'marker' iaitu merujuk kepada warna gelap yang menjadi tanda pada bahagian tubuh tertentu seperti telinga, mata dan hidung.

"Pertandingan ini sebenarnya membantu pemilik mengenal pasti 'master' dalam kategori spesies masing-masing apabila tikus belanda yang dipertandingkan menang," katanya.

Kelebihan spesies ini boleh dipertandingkan kerana kepelbagaian varian yang wujud baik kategori tikus belanda berbulu panjang atau pendek.

"Untuk hari ini ada 80 spesies dipertandingkan daripada 17 penyertaan membabitkan pemilik dan pembiak baka. Dalam 80 tikus belanda yang ada membabitkan 12 spesies daripada 13 spesies ada di Malaysia.

"Bagi pemilik dan pembiak baka, dalam pertandingan atau acara sebegini mereka belajar antara satu sama lain untuk menjaga tikus belanda masing-masing. Setiap spesies ada cara penjagaan tersendiri dan mereka berpeluang mempelajari dari pakar," katanya ketika ditemui dalam acara berkenaan.

MUHAMMAD Mikhail (tengah) mempelajari penjagaan menerusi bapanya, Muhammad Mustafa Abdul Salam yang juga peminat tegar tikus belanda.
MUHAMMAD Mikhail (tengah) mempelajari penjagaan menerusi bapanya, Muhammad Mustafa Abdul Salam yang juga peminat tegar tikus belanda.

Bagi peserta dan pemilik tikus belanda, Muhammad Mikhail Muhammad Mustafa, 20, antara spesies tikus belanda pernah memenangi pertandingan adalah jenis 'black white crested cavy.'

"Saya tertarik ketika membantu bapa, Muhammad Mustafa Abdul Salam, 55, yang mempunyai minat mendalam memelihara pelbagai haiwan terutama tikus belanda.

"Kami memiliki lebih 130 ekor membabitkan kira-kira tujuh spesies termasuk untuk pertandingan kali ini iaitu black white crested cavy, American cavy, teddy dan banyak lagi.

"Antara koleksi paling menonjol adalah baka black white crested cavy yang sebelum ini memenangi kategori berkenaan. Varian tikus belanda jenis ini kelebihannya adalah bentuk 'mahkota' iaitu merujuk kepada jambul yang terletak pada tengah kepala," katanya.

JACK mendandan tikus belanda untuk sesi penjurian.
JACK mendandan tikus belanda untuk sesi penjurian.

Bagi pemilik 'peserta' kategori bulu panjang, Jack How, 39, menyifatkan persiapan lebih rumit bagi haiwan kesayangannya setiap kali menyertai pertandingan.

"Rumitnya tikus belanda berbulu panjang adalah kerja dandanan perlu lebih kerap dan remeh. Kebiasaannya setiap malam saya gulung dan klipkan bulu tikus belanda terutama spesies peruvian yang mana memiliki bulu panjang sehingga menutupi muka.

"Kerja dandanan penting kerana ketika pertandingan, bulu ini akan dilepaskan. Syarat ketat juga ketika penjurian iaitu bulu tidak boleh digunting selain perlu disikat rapi. Kalau ada bulu kusut dan rosak ia menjejaskan penilaian.

"Pada saya satu kepuasan apabila koleksi tikus belanda saya dapat penilaian baik daripada juri yang profesional. Ini juga membantu reputasi saya yang juga pembiak baka tikus belanda daripada spesies ini dikenali peminat haiwan berkenaan," katanya.

SEBAGAI juri, Melissa membuat penilaian berdasarkan standard sempurna ditetapkan ACBA.
SEBAGAI juri, Melissa membuat penilaian berdasarkan standard sempurna ditetapkan ACBA.

Sementara itu, juri dari ACBA, Melissa Magee menyifatkan kualiti baka tikus belanda dimiliki pembiak baka dan pemilik tempatan boleh bersaing rapat dengan pemilik di Amerika Syarikat.

"Standard sempurna mengambil kira segala aspek ada pada tikus belanda, dari bentuk muka, panjang atau saiz tubuh dan warna menjadi perkara dinilai.

"Tidak dinafikan setiap tahun, ada sahaja tikus belanda dibawa pemiliknya yang mempunyai prestasi baik dan boleh menjadi saingan kepada pembiak baka di Amerika Syarikat. Secara tidak langsung menunjukkan penjagaan haiwan berkenaan di sini bertambah baik.

"Aspek kesihatan haiwan ini pula dinilai dengan melihat gigi dan mata. Tikus belanda memerlukan vitamin C mencukupi dan itu membantu meningkatkan kesihatan, sekali gus membantu menghasilkan baka bernilai tinggi," katanya.

SEBAHAGIAN daripada pemilik tikus belanda yang menyertai pertandingan.
SEBAHAGIAN daripada pemilik tikus belanda yang menyertai pertandingan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 7:00 AM