SENTIASA pastikan kebersihan kawasan sangkar.
SENTIASA pastikan kebersihan kawasan sangkar.
Muhamaad Razis Ismail


PADA mulanya, wanita ini sama sekali kurang mengetahui mengenai tikus belanda yang boleh dijadikan sebagai haiwan peliharaan.

Semuanya bermula apabila seorang anak lelakinya menyatakan minat untuk memelihara haiwan itu di rumah.

Ejen hartanah sambilan, Hafiza Rubina Kamarudin, 38, kemudian membuat carian di internet untuk mengenal pasti haiwan yang dimaksudkan.

Bagi memenuhi hasrat anaknya itu, dia mencari di kedai haiwan dan terus membeli empat ekor.

Hafiza Rubina berkata, pada ketika itu pengetahuannya mengenai haiwan itu sangat kurang dan terus mempercayai dakwaan pemilik kedai bahawa dua daripada empat tikus belanda itu adalah betina.

Katanya, apabila sampai di rumah dia memeriksa di internet untuk mengenal pasti jantina haiwan itu dan mendapati semua adalah jantan.

"Bagaimanapun, saya tidak berputus asa dan mencari di sekitar Shah Alam dan Subang, Selangor sebelum menemui tikus belanda betina.

"Bermula dengan empat ekor yang dipelihara di tingkat atas rumah jumlahnya semakin bertambah dengan menjadi 16 ekor. Saya kemudian pindahkan sangkar ke luar rumah," katanya di rumahnya di Dengkil.

Menurutnya, sejak itu minatnya terhadap tikus belanda semakin meningkat.

"Biarpun tiada pengetahuan mengenai haiwan ini, saya suka mencari maklumat di internet.

"Pada masa sama, saya suka bertanya orang lama dalam bidang ini yang tidak pernah lokek berkongsi ilmu," katanya.

Jelasnya, penjagaan tikus belanda sangat mudah namun memerlukan komitmen yang tinggi daripada pemiliknya supaya ia dijaga dengan baik.

"Penjagaan makanannya amat penting dan perlu pastikan ia mendapat vitamin C yang mencukupi dengan memberikan palet, rumput napier serta air bersih.

"Selain itu, sentiasa pastikan kebersihan sangkar dan pantau tahap kesihatannya kerana penyakitnya sukar dikesan di peringkat awal," katanya.

SEBAHAGIAN tikus belanda yang dipelihara.
SEBAHAGIAN tikus belanda yang dipelihara.

Bermula sekadar hobi, Hafiza Rubina mampu menjana pendapatan apabila turut menjual anak tikus belanda kepada mereka yang masih baru dengan haiwan itu.

Kini ibu tiga anak itu memiliki 80 tikus belanda terdiri daripada enam spesies iaitu American Crested, Skinny, Alpaca, Coronet, Texel dan Silky@Shelty.

"Ia bermula apabila saya muat naik di laman sosial dan ada yang berminat untuk membelinya. Untuk menjimatkan ruang yang terhad, saya menjual anak tikus belanda yang berusia tiga minggu hingga sebulan.

"Harganya pula bergantung kepada bentuk fizikal haiwan termasuk telinga, hidung, warna dan jenisnya," katanya.

Tambahnya, mereka yang berminat memelihara tikus belanda perlu melengkapkan diri dengan ilmu yang mencukupi.

"Selain itu, pemiliknya perlu memiliki komitmen yang tinggi dari segi tenaga, masa dan kewangan," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, Hafiza Rubina berhasrat untuk membekalkan tikus belanda bergred tinggi seperti Himalayan dan California.

"Saya juga merancang memiliki kedai khas menjual tikus belanda dan peralatannya yang amat sukar ditemui negara ini.

"Ini secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai menjadikan tikus belanda sebagai haiwan peliharaan di rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 7:01 AM