ARNAB hiasan kian popular untuk dijadikan haiwan peliharaan.
ARNAB hiasan kian popular untuk dijadikan haiwan peliharaan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


SEMAKIN ramai yang tertarik untuk membela arnab hiasan sebagai haiwan peliharaan dalam rumah.

Sifatnya yang manja dan mudah didekati menyebabkan ia kini menjadi pilihan utama untuk dibela selain kucing.

Antara baka arnab hiasan yang disarankan untuk dibela ialah American Chinchilla, Netherland Dwarf, Dwaf Hotot, Dutch, Holland Lop, Jersey Wool, English Lop dan Mini Rex.

Arnab baka itu sememangnya comel kerana ada yang telinganya jatuh dan berbulu tebal.

Namun, sebelum mengambil keputusan memelihara arnab hiasan, ada baiknya jika anda mendapatkan maklumat penjagaan yang betul.

Ini kerana keperluan dan asas penjagaan arnab berbeza dengan haiwan peliharaan lain dan ia tidak boleh diambil mudah.

Antara keperluan utama untuk memelihara arnab dalam rumah adalah sangkar dengan saiz yang sesuai bagi membolehkan ia membesar dengan baik.

Malah, arnab antara haiwan yang tiada masalah tinggal atau bermain dalam sangkar kerana ia seekor haiwan jinak dan tenang.

BAKA Holland Lop sesuai dijadikan arnab belaan.
BAKA Holland Lop sesuai dijadikan arnab belaan.

Namun, sesekali arnab perlu dilepaskan bebas bermain di luar bagi membolehkan ia meneroka aktiviti dan meregangkan badannya.

Apa pun, pastikan sangkar yang disediakan itu turut mempunyai 'tray' di bahagian bawah untuk meletakkan pasir kucing bagi memastikan ia tidak memerangkap air kencing atau najis haiwan berkenaan.

Selain itu, bagi yang baharu berjinak-jinak membela arnab hiasan, jangan ambil mudah aspek pemakanan kerana ia adalah haiwan yang cerewet.

Selain palet, antara makanan yang disarankan adalah rumput kering, sayur-sayuran seperti kangkung dan buah-buahan.

Pastikan juga makanan yang hendak diberikan bebas racun perosak dan dibasuh terlebih dahulu supaya tidak membahayakan kesihatan arnab.

Bagi melatih arnab membuang najis dalam sangkarnya, letakkan bekas khas atau dulang di sudut sangkar.

SELAIN palet, antara makanan yang disarankan adalah rumput kering, sayur-sayuran seperti kangkung dan buah-buahan.
SELAIN palet, antara makanan yang disarankan adalah rumput kering, sayur-sayuran seperti kangkung dan buah-buahan.

Ia akan menarik perhatian arnab dan memudahkannya membuang air besar di bekas itu.

Untuk membersihkan arnab, ia boleh dimandikan sebulan sekali dan jangan terlalu kerap.

Cara mandian arnab juga perlu diambil perhatian kerana haiwan itu tidak boleh kesejukan dan perlu menggunakan air suam.

Sebaiknya, basahkan ia dengan air ke seluruh badan, kemudian segera keringkan bulunya dengan pengering rambut.

Sementara itu, bagi menghilangkan kebosanan arnab, sediakan mainan sebagai hiburan.

Arnab dikatakan mudah tertarik dengan objek seperti bola plastik, kadbod, kain dan rumput.

Mainan seperti itu mudah didapati di kedai aksesori haiwan dengan harga berpatutan.

Apa pun, bukan sahaja arnab, tetapi semua haiwan peliharaan lain juga ada cabaran penjagaannya tersendiri.

Lebih penting, kebersihan diri serta kawasan persekitaran rumah perlu dijaga dengan sebaiknya kerana jika tidak, kuman dan penyakit mudah merebak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 6:40 AM