TANGKAPAN layar permainan Plague Inc. FOTO AGENSI
TANGKAPAN layar permainan Plague Inc. FOTO AGENSI
Muhammad Saufi Hassan


KETIKA komuniti dunia sedang hangat membicarakan berkenaan penularan Koronavirus baharu, judul permainan simulasi wabak iaitu ‘Plague Inc’ mencatatkan peningkatan muat turun luar biasa terutamanya di negara China, Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK).

Berdasarkan platform sistem operasi Apple iaitu iOS permainan berkenaan mencatatkan jumlah muat turun paling tinggi minggu ini dan mencatatkan jumlah muat turun sejak ia dilancarkan pada 2012 sebanyak 85 juta kali.

Judul berkenaan dibangunkan oleh syarikat berpangkalan di UK, Ndemic Creations memperlihatkan jumlah muat turun luar biasa sejak minggu lalu namun pembangun permainan berkenaan enggan mendedahkan angka rasmi.

Permainan Plague Inc itu pernah diiktiraf sebagai judul paling berjaya menampilkan simulasi serangan wabak dan pemain mempunyai satu objektif saja iaitu menghapuskan keseluruhan kehidupan manusia untuk memenangi permainan terbabit.

Berdasarkan konsep permainan, Plague Inc mempunyai beberapa tahap kesukaran dan pemain boleh memilih termasuk membuka kunci mod permainan dan ia mempunyai tujuh jenis wabak yang mempunyai keupayaan masing-masing.

Untuk tahap pertama, pemain perlu memenangi permainan dengan menggunakan wabak daripada kategori bakteria sebelum kunci mod permainan dibuka untuk senario seterusnya iaitu Virus, Kulat, Parasit, Prion, Virus Nano dan Senjata Kimia.

Firma analytic AppAnnie mendedahkan bahawa judul berkenaan menjadi permainan berbayar paling tinggi mencatatkan jumlah muat turun sejak minggu lalu dan menduduki tempat keenam bagi aplikasi berbayar keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 2:56 PM