Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


JUDUL permainan yang diterbitkan oleh Epic Games ini pernah mencatatkan keuntungan luar biasa dua tahun lalu dan antara judul awal yang memperkenalkan mekanik permainan ‘Battle Royale’.

Fortnite mencatatkan ratusan juta pemain untuk satu tempoh masa dan ia antara judul paling berjaya direkodkan dalam industri pembikinan permainan namun zaman kegemilangannya seakan pudar tahun ini.

Sebuah portal kajian data menyatakan bahawa Fortnite mengalami penurunan populariti agak drastik sekitar penghujung tahun lalu dan mengakibatkan kemerosotan pendapatan oleh penerbitnya.

Pada 2018, pendapatan Fortnite mencatatkan angka tidak masuk akal apabila pada bulan Mei tahun sama, pendapatan direkodkan RM1.2 bilion dan ia adalah judul permainan percuma yang mencatatkan angka berkenaan.

Bagaimanapun, pendapatan Fortnite semakin merosot dan pada tahun lalu dan muncul beberapa judul lain yang sedang meningkat naik.

Menerusi segmen permainan desktop, judul League of Legends (LOL) sedang meningkat naik manakala bagi segmen mudah alih judul Honour of Kings.

Jumlah pemain untuk judul berkenan juga dikatakan merosot apabila pemain pada hari ini lebih tertarik dengan judul terbitan Activision iaitu Call of Duty: Modern Warfare 2019 yang menawarkan pelbagai mod.

Kebanyakan pemain meninggalkan Fortnite kerana didakwa tiada pembaharuan dalam mekanik permainan mengakibatkan ia agak bosan untuk suatu tempoh yang lama.

Fortnite kini memasuki era kejatuhannya dan kebanyakan pemain sukan elektronik yang mempromosikan judul itu juga sudah beralih arah kepada judul lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 3:51 PM