KAKI games menghabiskan masa dengan bermain permainan kegemaran sepanjang PKP terutama menerusi platform PlayStation 4.
KAKI games menghabiskan masa dengan bermain permainan kegemaran sepanjang PKP terutama menerusi platform PlayStation 4.
Muhammad Saufi Hassan

TEMPOH Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah waktu paling sesuai untuk ‘kaki games’ menghabiskan masa berjam-jam untuk bermain sebarang judul permainan kegemaran atau memuat turun judul baharu untuk menghabiskan masa.

Terdapat beberapa platform permainan di negara ini yang paling popular antaranya adalah desktop, konsol Sony PlayStation 4 (PS4) dan Microsoft XBOX (XBOX).

Antara ketiga-tiga platform berkenaan, konsol PS4 boleh dikatakan paling popular memandangkan ia mudah untuk diuruskan dan tidak memerlukan pengetahuan teknikal seperti desktop dan ia menjadi pilihan utama kebanyakan komuniti pada waktu ini.

Minggu ini, #ITMetro mahu menyenaraikan empat permainan paling popular dimuat turun sejak beberapa minggu lalu serta memberi gambaran ringkas berhubung setiap judul berkenaan.

Monster Hunter World

Permainan ini menampilkan konsep pengembaraan. Ia menduduki carta muat turun paling tinggi memandangkan PS4 menawarkan judul berkenaan secara percuma kepada pemilik akses PSPlus bulan lalu.

Permainan berkenaan menampilkan konsep RPG atau Role Playing Games dengan pemandangan pemain perspektif ketiga dan ia adalah sebuah judul pengembaraan.

Sesuai dengan judul permainan, pemain akan memburu raksasa berlainan kelas serta keupayaan dan penulis merasakan ia satu judul permainan yang sangat menyeronokkan.

Bagaimanapun, pemain perlu meluangkan masa 10 hingga 15 minit untuk menewaskan raksasa berdasarkan keupayaan senjata yang dipakai karakter pemain.

MONSTER Hunter World duduki carta muat turun paling tinggi.
MONSTER Hunter World duduki carta muat turun paling tinggi.

Red Dead Redemption 2 (RDR2)

Judul ini tidak lagi perlu diperkenalkan kerana ia sangat sinonim dengan konsol PS4 yang menampilkan konsep permainan ‘wild west’ atau era koboi di mana karakter pemain menjadi seorang anggota sebuah geng ‘outlaw’.

Keunikan permainan ini adalah konsep dunia terbuka dan pemain boleh melakukan pengubahsuaian kosmetik kepada karakter dan persenjataan sesuai dengan tema klasik ‘wild west’. Sudah pasti memiliki pistol jenis revolver atau raifal mekanisma ‘bolt’ sangat popular di era ini.

Siri permainan ini juga dilengkapi misi tertentu

dan pemain boleh menaiki kuda, menggunakan pistol koboi, senapang patah

dan pertempuran dengan geng lain.

Secara keseluruhannya, judul RDR2 memerlukan keupayaan grafik yang tinggi dan jika pemain mahu merasai kesan grafik yang baik, perlu memastikan resolusi skrin paparan mampu menyokong sekurang-kurangnya 2K atau paparan 4K untuk pengalaman sebenar.

Kesan grafik yang ditampilkan dalam judul ini begitu baik dan terperinci termasuk perubahan cuaca membuatkan ia satu judul yang dianggap paling berjaya.

RDR2 tampilkan konsep permainan era koboi.
RDR2 tampilkan konsep permainan era koboi.

Call of Duty: Modern Warfare (2019)

Call of Duty: Modern Warfare 2019 khusus untuk mod Warzone. Mod berkenaan adalah genre permainan Battle Royale dan pemain boleh bermain secara sendirian atau bersama pasukan.

Mod permainan Warzone berkenaan baru dilancarkan pertengahan Mac lalu dan ia mendapat perhatian ramai memandangkan konsep permainan kesukaan ramai iaitu Battle Royale.

Konsep Battle Royale yang diperkenalkan sangat unik dan berbeza dengan judul lain seperti PUBG yang menjadi pelopor utama mod permainan berkenaan.

Ia menjadi kegilaan pemain yang lebih gemar kepada jenis persenjataan sebenar di alam nyata, malah boleh melakukan ubah suai seperti skop dan sebagainya mengikut kesesuaian pemain.

Fortnite

Fortnite adalah sebuah lagi judul permainan Battle Royale yang berlatar belakangkan dunia fantasi. Antara semua judul battle royale yang berada di pasaran, Fortnite menampilkan tahap kesukaran tersendiri.

Pemain tidak hanya perlu pandai membidik musuh atau mencari lokasi strategik sebaliknya perlu pantas melakukan pembinaan platform untuk mengelak ditembak atau memperoleh ketinggian untuk memudahkan tembakan dilakukan.

Judul berkenaan ditawarkan secara percuma sejak ia dilancarkan dan antara judul paling banyak dimuat turun serta dikategorikan sebagai pengubah landskap permainan di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 6:30 AM