PERMAINAN Ace Combat 7: Unknown Skies keluaran Namco akan menemui peminatnya untuk semua platform.
PERMAINAN Ace Combat 7: Unknown Skies keluaran Namco akan menemui peminatnya untuk semua platform.
Muhammad Saufi Hassan


Sepanjang 2019, pastinya pelbagai produk sama ada membabitkan segmen perkakasan komputer, telefon pintar, syarikat mikrocip atau syarikat pembangun permainan berlumba-lumba untuk menyajikan produk terbaik di pasaran.

Ia juga seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin canggih dan IT@Metro minggu ini cuba untuk menambahkan keterujaan dengan menyenaraikan beberapa produk mengikut segmen masing-masing yang dinanti-nanti oleh pengguna.

Segmen paling ditunggu-tunggu adalah perkakasan komputer apabila syarikat pengeluar pemproses terkemuka, Advanced Micro Devices (AMD) mengumumkan Ryzen generasi ketiga miliknya.

Tambah menarik apabila AMD turut dijangka mengumumkan kad grafik baharu untuk menggantikan RX siri 5XX dan Vega bagi menandingi dominasi pencabar utama mereka iaitu Nvidia.

HUAWEI P20 mewujudkan fenomena kamera dan dijangka trend sama digunakan untuk modul P30 akan datang.
HUAWEI P20 mewujudkan fenomena kamera dan dijangka trend sama digunakan untuk modul P30 akan datang.

Tahun lalu, Nvidia mengumumkan kad grafik RTX siri kedua yang menggunakan jenis memori DDR6, sekali gus menjadi syarikat pertama menggunakan teknologi berkenaan.

Selain itu, segmen telefon pintar antara yang hangat diperkatakan apabila Samsung dan Huawei masing-masing akan menguji produk mereka termasuk peranti boleh lipat milik Samsung.

Segmen permainan video dan e-sukan tidak ketinggalan dan pastinya akan mencuri tumpuan apabila beberapa judul permainan yang dinantikan peminat akan diterbitkan.

Antara yang ditunggu-tunggu adalah permainan Tom Clancy’s The Division 2, Ace Combat 7: Unknown Skies dan Devil May Cry 5 serta beberapa lagi judul permainan bertaraf AAA.

GHOST of Tsushima adalah permainan eksklusif untuk platform Sony Playstation 4.
GHOST of Tsushima adalah permainan eksklusif untuk platform Sony Playstation 4.

Berikut beberapa produk mengikut segmen masing-masing yang dinantikan oleh pengguna:

•1. Pemproses dan Kad Grafik

Syarikat pengeluar mikrocip, Advanced Micro Devices (AMD) tidak melepaskan peluang apabila dijadualkan akan mengumumkan Ryzen generasi ketiga pada penghujung Januari ini dan menyasarkan untuk menandingi kemampuan pemproses Intel Core.

Berdasarkan khabar angin, siri Ryzen generasi ketiga akan menawarkan lebih kuasa termasuk untuk produk kelas prestasi iaitu Ryzen 7 3XXX apabila mempunyai 12 Core dan 24 Thread.

Pemproses Ryzen 7 generasi ketiga itu juga akan menawarkan kelajuan 5Ghz sekali gus didakwa menjadi ‘pembunuh’ kepada pemproses milik Intel Core i7 siri 9900K.

Bagaimanapun, tiada maklumat berhubung rancangan AMD untuk mengeluarkan siri Ryzen Threadripper iaitu produk kelas atasan namun dipercayai produk siri itu akan diumumkan sebaik selepas kemunculan siri Ryzen generasi ketiga.

Selain pemproses, AMD juga dijangka akan mengumumkan barisan kad grafik generasi baru untuk menggantikan RX siri 5XX dan Vega yang dilihat sudah ketinggalan dari aspek teknologi termasuk kemampuan produk daripada pencabar mereka iaitu Nvidia menerusi RTX siri kedua.

Buat masa ini, kad grafik keluaran AMD hanya dikenali dengan nama Navi dan dipercayai akan diumumkan dalam suku pertama tahun ini.

AMD pastinya mahu menyaingi pencabar utamanya dalam segmen kad grafik iaitu Nvidia dan pengeluaran produk baru untuk kategori berkenaan hampir pasti untuk tahun ini.

Pada masa sama, Nvidia juga dijangka melengkapkan pengeluaran kad grafik RTX siri kedua selepas pengumuman RTX2060 yang dikatakan mempunyai pelbagai varian kapasiti memori video.

Khabar angin juga menyatakan bahawa siri RTX2060 akan mempunyai tiga varian berbeza dan ia dikelaskan mengikut keupayaan kapasiti video memori.

Sepanjang tahun ini juga, trend persaingan antara dua gergasi pengeluaran pemproses iaitu Intel dan AMD akan berterusan apabila masing-masing cuba memperbaiki produk sedia ada.

HONOR View 20 akan dilancarkan penghujung Januari ini yang menampilkan ciri khusus untuk kamera resolusi tinggi.
HONOR View 20 akan dilancarkan penghujung Januari ini yang menampilkan ciri khusus untuk kamera resolusi tinggi.

•2. Telefon Pintar

Segmen ini mempunyai ramai peminatnya dan tidak dinafikan, 2019 bakal menjadi tahun ‘peperangan’ teknologi kamera apabila kebanyakan pengguna akan membeli telefon pintar berdasarkan kepada kemampuan prestasi kamera serta skrin paparan yang luas.

Trend pembelian berdasarkan dua faktor ini dijangka berterusan sepanjang 2019 dan saingan sengit antara syarikat pengeluar akan turut membabitkan teknologi nilai tambah seperti Kecerdasan Buatan (AI).

Dua elemen itu menjadi faktor penting dalam pilihan pengguna dan antara yang dinanti-nantikan adalah Samsung Galaxy F iaitu telefon pintar pertama yang menggunakan teknologi skrin boleh lipat.

Ia pastinya memberi keterujaan yang hebat kepada semua pengguna kerana syarikat pengeluar telefon pintar terbesar itu bakal mencipta sejarah jika berjaya mengeluarkan peranti yang menggunakan teknologi berkenaan.

Pada November lalu, Samsung mendedahkan peranti prototaip yang menggunakan teknologi berkenaan dan wujud kemungkinan syarikat itu akan mengeluarkan ‘Flagship’ terbarunya pada tahun ini.

Namun, khabar angin juga mendakwa bahawa peranti itu hanya dikeluarkan secara terhad dan bukannya pembuatan massa seperti beberapa model Flagship milik syarikat itu yang membuktikan kemampuannya.

Samsung juga dijangka mengumumkan Galaxy S10 yang masih menggunakan konsep skrin sama iaitu dua lengkung dan mempertingkatkan skrin paparan infiniti miliknya.

Selain Samsung, pencabar terdekat mereka iaitu Huawei tidak ketinggalan mencuri tumpuan apabila dipercayai sedang giat membangunkan beberapa model Flagship miliknya termasuk siri telefon P30.

Model sebelum ini iaitu P20 Pro nyata memberikan fenomena luar biasa dalam kalangan pengguna secara global apabila prestasi telefon pintar itu mampu merakam gambar dalam kurang pencahayaan.

Tambah memberi saingan, jenama saudara Huawei iaitu Honor akan melancarkan Honor View 20 yang dilengkapkan dengan kamera 48 megapixel (MP) serta dilengkapi kamera paling kecil di dunia.

AMD bakal umumkan generasi pemproses Ryzen ketiga mereka.
AMD bakal umumkan generasi pemproses Ryzen ketiga mereka.

•3. Permainan Video

Untuk 2019, pelbagai genre serta judul permainan bertaraf AAA akan dilancarkan dan paling dinantikan adalah kemunculan semula Resident Evil 2 (Remake) yang pastinya mengembalikan nostalgia apabila berpeluang untuk bermain dengan gandingan hero permainan berkenaan iaitu Leon dan Claire Redfield.

Permainan ini pernah menjadi fenomena suatu masa dulu menerusi platform Sony Playstation dan kini, pembangun Resident Evil 2 (Remake) Capcom akan menerbitkan semua siri permainan seram berkenaan.

Permainan judul ini dikhabarkan akan menemui peminatnya untuk semua platfrom iaitu PC, XBOX dan Sony Playstation.

Selain itu, sambungan kepada siri Tom Clancy’s The Division 2 akan dilancarkan selain peperangan aeronautik, Ace Combat 7: Skies Unknown.

Selepas kejayaan Tom Clancy’s The Division siri pertama, pembangun permainan itu, Ubisoft mempertaruhkan episod kedua yang dijangka akan memperkenalkan pelbagai ciri baru.

Bagi penggemar siri permainan jenis Role Playing Games (RPG) dan pengembaraan pula, mereka akan menantikan dua judul yang sedang hangat diperkatakan iaitu Sekiro: Shadow Die Twice dan Ghost of Tsushima.

Bagi judul Sekiro: Shadow Die Twice, permainan itu akan dilancarkan menerusi semua platform iaitu PC, XBOX dan Sony Playstation dan ia memberi kelegaan kepada semua peminat permainan video di luar sana.

Bagaimanapun, bagi Ghost of Tsushima, judul itu hanya diterbitkan secara eksklusif untuk Playstation 4 dan perkara itu pastinya memberi keresahan kepada pemilik dua platform lain.

NVIDIA melengkapkan siri RTX generasi kedua selepas pengumuman RTX2060.
NVIDIA melengkapkan siri RTX generasi kedua selepas pengumuman RTX2060.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 5:30 AM