Permainan Borderlands 3 tampil ciri unik di samping kekuatan kualiti grafik. FOTO/NSTP
Permainan Borderlands 3 tampil ciri unik di samping kekuatan kualiti grafik. FOTO/NSTP
Oleh Muhammad Saufi Hassan


Judul francais permainan, ‘Borderlands’ yang dibangunkan tiga syarikat kreatif iaitu Gearbox Software, 2K Australia dan Telltale Games tidak perlu diperkenalkan kerana judul itu mempunyai keupayaan tersendiri.

Menerusi siri terbaru iaitu ‘Borderlands 3’, permainan itu sekali lagi memukau apabila pembangunnya menggunakan secara optimum konsep ‘Role-Playing-Games’ (RPG) selain sistem dunia terbuka yang menjadi trend masa kini.

Namun, judul permainan generasi baru ini memerlukan kekuatan perkakas desktop yang sangat baik untuk menghasilkan kualiti grafik mengagumkan serta pemain boleh menghayati setiap babak dan ketelitian kesan grafik digunakan.

Permainan ini dibangunkan menerusi perkakas ‘Unreal 4’ yang menyokong DX12 yang dioptimasi menerusi kad grafik keluaran Advanced Micro Devices (AMD) termasuk siri terbarunya iaitu RX 5700.

Teknologi AMD FidelityFX memberikan kesan dinamik permainan sangat optimum dan memperincikan setiap objek, latar belakang dan meningkatkan kejelasan imej di dalam permainan itu.

Borderlands 3 adalah judul permainan yang memerlukan keupayaan grafik yang agak tinggi untuk menghasilkan kualiti grafik sebenar dan padanan kad grafik AMD RX 5700 sangat bersesuaian.

Menyentuh aspek permainan Borderlands 3, penulis berpandangan bahawa judul terbaru ini menawarkan lokasi baharu untuk dilawati pemain dan ia juga mempunyai pilihan persenjataan yang sangat banyak.

Sukar penulis untuk mengingati sesuatu persenjataan pilihan kerana pembangun menyediakan pilihan yang pelbagai dan situasi itu mengurangkan tahap kebosanan pemain apabila sering tercari-cari senjata baharu yang lebih baik.

Bagaimanapun, kelemahan yang agak ketara adalah kekurangan upaya kenderaan perang di dalam permainan ini dan sedikit sebanyak mengganggu kelancaran atau pengalaman pemain.

Penulis bukan peminat kepada judul ini namun secara keseluruhannya, konsep serta jalan cerita yang ditawarkan tidak mengecewakan dan Borderlands 3 masih dikategorikan sebagai judul permainan yang sangat baik untuk dimainkan.

Melihat semula aspek latar permainan ini, jika anda pernah bermain siri Borderlands sebelum ini, sudah pasti mengenali Planet Pandora iaitu sebuah latar fantasi rekaan pembangun siri itu.

Judul terbaru ini membawa semula pemain ke planet berkenaan dan nilai kekuatan Borderlands adalah berdasarkan kepada jalan cerita, kekuatan dialog yang lucu dan keseronokan menembak pelbagai makhluk pelik.

Namun, dialog lucu itu yang sebelum ini menjadi kekuatan siri ini dilihat agak subjektif untuk siri terbaru, tetapi tidak mengecewakan.

Penulis menasihatkan supaya pemain benar-benar berminat dengan konsep permainan ini kerana anda akan rasa cepat bosan jika pemain bukan peminat dunia fantasi, senjata pelik dan makhluk unik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 8:42 AM