SUUNTO 9.
SUUNTO 9.
Husain Jahit

FENOMENA penggunaan jam tangan pintar kini dilihat semakin berleluasa apabila dengan jelas ramai orang menggunakannya di sana sini tidak mengira apakah aktiviti yang mereka lakukan atau sekadar menang memakai.

Suunto 9 ialah model terbaru menjengah pasaran tempatan keluaran Suunto sebagai pengeluar terkemuka Finland. Masih mengekalkan DNAnya dengan fungsi utama untuk kegunaan aktiviti lasak sama ada di dalam air mahupun tinggi di puncak gunung.

Ia menyokong lebih 80 aktiviti senaman dan sukan lasak, serta sangat sesuai bagi atlet yang memerlukan suatu produk terbaik sebagai gandingan untuk menjejak secara tepat aktiviti dilakukan.

Ia masih mengekalkan reka bentuk bulat yang dilengkapi skrin peka sentuhan, tiga butang kawalan di sebelah kanan dan tebalnya hampir dua sentimeter (dimensi tepatnya ialah 50x50x16.5mm).

Penguji yang sememangnya aktif dalam sukan mendaki gunung, berlari dan berbasikal bukit sudah menggunakannya sejak November tahun lalu mendapati memang berbaloi memiliki rakan pintar melekat di pergelangan tangan seperti ini.

Bukan saja pergerakan kita dijejak secara fizikal dengan bantuan Sistem Penjejak Global (GPS) seperti jarak, altitud, kedalaman, kelajuan dan sebagainya, malahan aktiviti dalaman seperti denyutan nadi turut dikesan.

Sesuatu yang menarik perhatian penguji ialah daya tahan kuasa baterinya. Jika di atas kertas (manualnya) bateri jenis ion-litium yang pasang dalam Suunto 9 boleh bertahan sehingga 5 hari atau 120 jam denga melakukan aktiviti termasuk fungsi GPS yang sangat terkenal banyak makan bateri.

Penguji menggunakan Suunto 9 dalam pelbagai keadaan sama ada ketika bersukan mahupun bekerja atau bersantai. Jika tanpa melakukan apa-apa aktiviti lasak, baterinya boleh bertahan sehingga seminggu dan kadang-kadang lebih sedangkan ia terus terhubung dengan telefon bimbit (menggunakan standard penyambungan Bluetooth) untuk keperluan notifikasi pelbagai aplikasi komunikasi termasuk pesanan ringkas (SMS), Whatsapp, e-mel, Facebook, Telegram dan sebagainya.

Sistem pengurusan baterinya dibuat secara bijak untuk memastikan ia berfungsi secara maksimum walaupun kadang-kadang penguji terlupa untuk mengecas semula. Ia tidak pernah terpadam secara menyeluruh, malah sentiasa mengingatkan kita untuk mengecas semula walaupun kuasa baterinya sudah sampai ke penghujungnya.

Jelas kita dapat alami sistem pengurusan baterinya amat v berkesan walaupun kitaa ini pengguna aktif aplikasi pesanan dengan notifikasi bertalu-talu masuk. Belum lagi e-mel dan aplikasi media sosial yang lain. Boleh dikatakan pergelangan tangan sentiasa bergetar kerana penguji hanya mengaktifkan notifikasi getaran dan nyahaktifkan bunyi.

Agaknya kalau dengan bunyi, pasti orang sebelah pun marah kerana mengganggu. Sebab itulah kalau kita pakai gajet yang pelbagai ini kena fikir juga faktor keamanan orang sekeliling.

Setiap pesanan dan e-mel yang masuk itu juga dipaparkan secara ringkas di atas skrin. Ia akan terpapar dalam beberapa saat dan pengguna masih boleh membaca sama ada mengawalnya terus di atas skrin peka sentuhan 320 x 300 matrik Suunto 9 atau dengan butang kawalan jika terlepas.

Tetapi, paparan di atas skrin itu tidaklah secerah mana dan kadang-kadang bagi pengguna seperti penguji yang menghidap rabun silau agak tinggi menjadikannya sukar dibaca walaupun tetapan tahap kecerahannya sudah maksimum.

Bagaimanapun penguji percaya ia mungkin disebabkan sistem pengurusan bateri itu yang tidak membenarkan skrin itu memberi paparan cerah kerana sudah pasti akan lebih cepat makan bateri.

Menariknya Suunto 9 ada mengingatkan kita berdasarkan rekod aktiviti untuk memastikan baterinya cukup dalam aktiviti seterusnya. Dan dengan kepintarannya yang ada, dalam keadaan bateri hampir kering ketika beraktiviti, ia akan mencadangkan untuk beralih ke mod bateri yang lain.

Oklah, kita habiskan kisah bateri dan beralih ke ciri lain iaitu betapa mudahnya menyimpan atau mengalih data-data yang direkodkan itu ke dalam komputer atau telefon bimbit. Penguji hanya menggunakan komputer laptop untuk memastikan perisian peranti (firmware) sentiasa dikemaskini, manakala rekod aktiviti hanya disimpan di dalam telefon bimbit.

Memang anda akan dapat rekod yang komprehensif, tapi perlulah terlebih dahulu memindah naik aplikasi Movecounts untuk membolehkan kedua-dua peranti ini berkomunikasi.

Aplikasi ini akan memaparkan rekod aktiviti untuk 30 hari lengkap dengan geraf dan jenis aktiviti. Melalui aplikasi itu juga kita boleh menyelaraskan tetapan Suunto 9.

Penguji tidak ada masalah menggunakan Suunto 9 kecuali pergelangan tangan agak masam dek peluh yang terperangkap di antara kulit dengan tali silikon Suunto 9. Harus kerap membasuh sebaik habis melakukan aktiviti.

Sukalah penguji mencadangkan kepada anda yang sedang mencari peranti jam pintar dan ada pula bajet lebih untuk mempertimbangan Suunto 9 sebagai pilihan utama.

SUUNTO 9

• Jenis: Jam tangan pintar

• Pengeluar: Suunto

• Harga: RM2,299

• Laman web: www.suunto.com

• Pengedar tempatan: Amer Sports Malaysia

• Kelebihan: Jimat bateri

• Kekurangan: Skrin kurang terang

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 11:58 AM