GHOSE bersama sistem lampu Signify.
GHOSE bersama sistem lampu Signify.
Afiq Hanif

Signify bukan lagi sekadar pengeluar lampu semata-mata malah syarikat yang dulu dikenali Philipe Lighting itu kini mahu operasi perniagaannya meluas demi pelanggan.

Ketua Pasaran Signify ASEAN Alok Ghose, berkata sumbangan Internet untuk segalanya (IoT) membantu memperluas fungsi lampu.

“Misalnya pemasangan lampu sekarang boleh ditentukan berdasarkan penggunaan.

“Kami juga menyediakan lampu jalan yang dipantau sistem IoT yang jika pentadbir mahu memalapkan atau menerangkan kawasan tertentu berdasarkan aktifnya kawasan terbabit,” katanya.

Sekali gus, Ghose berkata ia menjimatkan tenaga elektrik terutama kepada majlis perbandaran.

Beliau turut mengemas kini, Signify terus bekerjasama dengan pemaju bagi kediaman pintar.

“Terdapat kerjasama seperti kediaman premium di Rawang menawarkan kemudahan prapemasangan teknologi pencahayaan pintar kepada pembeli rumah.

“Penyelesaian pencahayaan tanpa wayar peribadi yang membolehkan pengguna mengawal lampu dari mana-mana menggunakan peranti pintar.

Ghose berkata, sistem pencahayaan terbaru itu dikawal mengikut tetapan pemasa program melalui peranti mudah alih pemilik rumah.

Antara kemudahan teknologi yang dipasang ialah hab universal IoT, peranti pembantu peribadi pintar berasaskan suara yang boleh dikawal, alat kawalan jauh universal Wi-Fi, plag pintar Wi-Fi, kamera dalaman Wi-Fi, pengesan pintar pintu dan prasarana jalur lebar internet berkelajuan tinggi siap tersedia.

“Pembantu peribadi berasaskan arahan suara mampu menjalankan tugasan seperti menghidupkan perkakasan di rumah, memainkan muzik dan boleh menyediakan penghuni dengan arahan maklumat seperti berita atau cuaca.

“Pemilik juga sebelum pulang ke kediaman boleh mengarahkan lampu dan pendingin hawa dihidupkan terlebih dulu malah dari segi keselamatan, penghuni akan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) jika ada berlaku kejadian pecah masuk di rumah mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 12:38 PM