Intan Mas Ayu Shahimi


Dua tahun pertama kehidupan anak adalah tempoh kritikal untuk perkembangan otaknya. Mereka mula mempelajari perkara asas dan banyak memerhati perkara di sekeliling. Dalam tempoh ini, pendekatan penjagaan dan pendidikan anak perlu dilakukan sendiri.

Mengapa perlunya peringatan sebegini sedangkan ramai ibu bapa sedia maklum akan tanggungjawab mereka? Ya, perubahan semula jadi pastinya berlaku dalam kehidupan setiap pasangan yang bergelar ibu bapa. Namun, siapa dapat menolak realiti dalam perkembangan dunia digital hari ini.

Dunia digital ini bersifat maya. Kita sebagai ibu bapa tidak dapat lari daripada menghabiskan masa berjam-jam lamanya menghadap komputer atau telefon bimbit, melayari Internet, berinteraksi di media sosial dan menikmati segala macam bentuk hiburan yang ada.

Cuba perhatikan, ketika kita bersama anak di rumah, menikmati hidangan di luar atau balik kampung, adakah mereka dapat berenggang dengan gajet? Tanpa sedar, ada waktunya kita sendiri mengambil jalan mudah, menggantikan tugas keibubapaan dengan pelbagai pendedahan dunia digital kepada anak.

Malah, segelintir ibu bapa memang sengaja membeli gajet khusus untuk si manja dan dipenuhi dengan pelbagai program pengajaran menarik, permainan interaktif, hiburan serta lagu yang tujuan merangsang perkembangan otak anak.

Secara umumnya, perbuatan ini tidak salah, namun jika dibiarkan berterusan tanpa pemantauan, ia mungkin memberi kesan negatif pada masa depan.

Menurut Perunding Motivasi Keluarga Zaid Mohamad, anak memang wajar diberi pendedahan awal mengenai fungsi gajet dan segala bentuk peranti digital supaya seiring perkembangan dunia teknologi hari ini. Namun demikian, ia masih perlu diseimbangkan antara kehidupan analog dan digital.

TURUT serta aktiviti permainan video bersama anak-anak.
TURUT serta aktiviti permainan video bersama anak-anak.

“Amalkan konsep sekatan dan sukatan dengan kita mencari jalan tengah di antara memberi dan menghalang penggunaan teknologi. Cari jalan supaya teknologi digunakan secara positif dan seimbang, digunakan sebagai alat meningkatkan kualiti kehidupan, bukannya merosakkan masa depan mereka.

“Perlu diketahui anak membesar dengan rasa ingin tahu yang tinggi. Apabila tiba waktunya, kita mungkin tidak boleh mengelak daripada pengaruh dunia digital. Jadi, berilah pendedahan sewajarnya. Jika tidak, mereka mungkin akan mempelajari daripada sumber lain seperti rakan sebaya atau membuat carian di Internet,” katanya.

Memetik pesanan Saidina Umar RA, ‘Didiklah anak kamu mengikut zaman mereka’, Zaid berkata, kebanyakan ibu bapa dilahirkan pada zaman analog.

“Kita dulu diasuh dan diajar menggunakan tangan, namun sekarang ini anak sudah berada pada zaman digital. Oleh itu, ibu bapa perlu meningkatkan skil keibubapaan kepada tahap digital juga,” katanya.

Keseimbangan digital

Meskipun ramai yang berpendapat pentingnya pendedahan dunia digital dalam perkembangan kanak-kanak hari ini, masih banyak perincian yang perlu diberi perhatian.

Kata Zaid, anak berumur dua tahun ke bawah perlu diberi perhatian khusus dalam memastikan perkembangan otak mereka seimbang dan tidak menjejaskan nilai serta kemahiran insaniah sepatutnya.

“Kita bimbang pendedahan kepada gajet pada usia sekecil ini boleh mengganggu sel otak mereka daripada terus berhubung. Ini kerana pada umur sebegini, mereka memerlukan banyak sentuhan fizikal dengan bermain, perhatian serta belaian ibu bapa. Jika terdedah kepada teknologi, mereka mungkin menjadi pasif dan tidak lagi aktif sebagaimana kanak-kanak seusianya.

“Mungkin ibu bapa boleh mengamalkan formula lima kali dua. Jangan terlalu awal memperkenalkan teknologi kepada anak, tunggu sehingga mereka berumur dua tahun ke atas.

“Usah beri gajet kepada anak kecil berusia dua tahun ke bawah. Selepas usia ini, cuba hadkan masa penggunaan kepada dua jam sehari dan pastikan ia hanya mengandungi bahan interaktif atau bersifat dua hala.

“Ini bermakna, mereka mempelajari sesuatu daripada teknologi berkenaan. Pastikan aplikasi yang digunakan anak mempunyai dua bahasa termasuk Inggeris. Melalui cara ini, sekurang-kurangnya ia dapat membantu meningkatkan penguasaan bahasa mereka.

“Akhir sekali, jadikan teknologi sebagai perkongsian dua pihak, antara ibu dan anak. Maksudnya, ibu bapa juga mesti tahu dan sentiasa peka dengan teknologi, program mahupun aplikasi yang digunakan anak,” katanya.

JANGAN terlalu mengongkong sebaliknya beri penjelasan sewajarnya mengenai akibat bagi setiap tindakannya.
JANGAN terlalu mengongkong sebaliknya beri penjelasan sewajarnya mengenai akibat bagi setiap tindakannya.

Kata Zaid, banyak langkah yang boleh diambil ibu bapa untuk memastikan anak dapat dididik dengan seimbang. Antara cadangan yang mudah diterima anak adalah dengan mengadakan waktu ‘bebas elektronik’ selama satu hingga dua jam, setiap hari.

“Mulakan pada waktu malam, antara Maghrib dan Isyak. Jadikan ia masa untuk bersama keluarga tanpa sebarang gangguan peranti elektronik termasuk televisyen.

“Padamkan semua telefon bimbit dan modem. Sebaik-baiknya, luangkan masa secara analog dengan berinteraksi dan bergurau senda bersama keluarga sambil menikmati hidangan makan malam bersama-sama,” katanya.

Beri dan kawal

Jelas Zaid, dia tidak bersetuju jika peranti digital disekat 100 peratus kerana bimbang anak mencari jalan lain yang membawa musibah lebih besar seperti ponteng sekolah untuk ke kafe siber dan sebagainya.

“Di situ, kita akan kehilangan kawalan secara total. Strategi yang lebih baik adalah dengan memberi pendidikan mengenai kebaikan dan juga keburukan peranti digital.

“Dedahkan risiko, taktik, bahaya dan jerat yang ada di dalamnya. Tunjukkan berita dan artikel berkaitan akibat penyalahgunaan peranti digital. Apa yang penting, anak faham bahaya alam siber yang boleh mendatangkan musibah jika tidak kena caranya.

“Dalam pada kita memberi apa yang diingini anak, ibu bapa juga harus tahu apa tujuan, dengan siapa anak berhubung dan bila mereka menjengah ke dunia digital. Buat perjanjian bahawa ibu bapa berhak memeriksa gajet anak bila-bila masa tanpa notis.

“Lakukan pemeriksaan mengejut beberapa kali seminggu. Di samping itu. lihat juga perubahan emosi anak. Jika anak kelihatan hilang fokus atau berubah sikap, mungkin ada sesuatu yang mengganggu fikiran mereka,” katanya.

USAH biar anak hilang kawalan.
USAH biar anak hilang kawalan.

Kata Zaid, pemantauan telus adalah wajib bagi mengelak anak terjerumus dalam ketagihan peranti digital. Sama seperti masalah ketagihan lain, anak mungkin jadi hilang minat terhadap pelajaran, lupa pada tanggungjawab dan banyak menghabiskan masa bersendirian.

“Ini boleh mengganggu emosi dan sosial mereka. Pembelajaran mungkin terabai, masalah kesihatan diri juga terganggu. Tidur menjadi kurang berkualiti jika terlalu lama terdedah kepada skrin. Paling dikhuatiri apabila kesihatan mata turut terjejas,” katanya.

Tip keibubapaan era digital

1. Jalankan aktiviti bermain bersama keluarga dan jadikan ia menarik seperti kumpulan lelaki melawan perempuan atau ibu bapa melawan anak. Pasukan yang kalah dikenakan denda, contohnya menyediakan sarapan untuk pemenang.

2. Ada banyak jenis permainan keluarga yang menyeronokkan di Internet. Jika diteroka bersama, hubungan keluarga pasti menjadi lebih erat. Perkongsian digital boleh membawa manfaat serampang dua mata.

3. Turut serta aktiviti permainan video bersama anak. Pilih permainan yang memerlukan anda dan anak berfikir secara kritikal untuk menyelesaikan masalah.

4. Beri had masa supaya anak tidak menyalahgunakan teknologi.

5. Sekali-sekala, alihkan perhatian anak kepada dunia analog. Pastikan mereka keluar bermain di waktu petang dan menyertai aktiviti di luar rumah.

6. Ibu bapa adalah contoh terbaik. Mulakan dengan disiplinkan diri yang baik supaya wujud rasa hormat dalam kalangan anak.

PANTAU setiap aktiviti anak bersama peranti digital.
PANTAU setiap aktiviti anak bersama peranti digital.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 3:26 PM