RASA cemburu dan marah adalah normal apabila kelahiran adik baru.
RASA cemburu dan marah adalah normal apabila kelahiran adik baru.
Siti Nadirah Hafidzin


“KENAPA abang marahkan adik? Kakak, kenapa pukul adik sampai macam itu? Kenapa pandang adik macam nak telan? Itu semua antara persoalan lazim yang diungkapkan ibu bapa kepada anak sulung sebaik kehadiran cahaya mata kedua atau seterusnya.

Rata-rata ibu bapa berasa tertekan, bimbang dan sedih apabila mengenangkan perubahan sikap anak sulung yang kelihatan seperti tidak dapat menerima kelahiran baru dalam keluarga.

Hakikatnya, semua itu disebabkan rasa cemburu, walaupun ia adalah sifat semula jadi yang ada pada diri, situasi akan menjadi sedikit rumit apabila ia berlaku kepada kanak-kanak disebabkan perkongsian kasih sayang.

Setiap ibu bapa tidak boleh beranggapan anak sulung akan berasa gembira dan teruja dengan kehadiran adik barunya, walhal situasi sebenar sangat berbeza.

Mengupas mengenai situasi ini, kaunselor keluarga Zumasni Rajikin berkata, jarak usia setiap kelahiran anak memainkan peranan sangat besar dalam hal ini.

“Jarak usia dua hingga empat tahun akan mencetuskan perasaan cemburu yang besar kepada anak sulung manakala jarak usia lima tahun ke atas atau 18 bulan ke bawah mempunyai risiko lebih rendah.

“Kebanyakan anak sulung akan mula menunjukkan perubahan sikap ketara seperti meragam, menangis atau sentiasa dalam keadaan tidak kena disebabkan mahu menarik perhatian ibu bapa,” katanya.

Menurutnya, situasi itu sebenarnya sudah mula terjadi ketika si ibu hamil. Ia akan lebih ketara jika si ibu dan ayah asyik menggambarkan rasa tidak sabar menerima kehadiran anak kedua di depan si kecil.

“Disebabkan itu, saya sering ingatkan faktor jarak usia antara anak sangat memainkan peranan namun tidak semua kanak-kanak berperangai sebegini kerana ada juga yang boleh menerimanya dan tidak meragam.

“Cuba fahami perubahan sikap anak, jika mereka sudah menunjukkan perubahan ketara sejak hamil, ibu dan bapa boleh cuba menenangkannya dengan berusaha mewujudkan rasa sayang daripada awal,” katanya.

Zumasni berkata, walaupun bukan sesuatu yang mudah, ibu bapa perlu bertindak secara lembut demi untuk menenangkan situasi, sekali gus mengurangkan rasa cemburu.

“Cemburu bukanlah perasaan utama yang wujud pada diri anak sulung anda. Jadi, jangan terlalu bimbang kerana anak akan mula menyayangi adiknya dan melihat adik sebagai pelengkap di dalam kehidupan seharian walaupun mungkin mengambil tempoh lama.

“Tetapi sebelum mereka mula menyayangi adik baru, anak ini mungkin akan menunjukkan perubahan perangai yang kadangkala memeningkan kepala ibu bapa. Paling penting ibu bapa perlu bersedia dan banyak bersabar,” ujarnya.

Katanya, rasa cemburu itu sebenarnya adalah perkara normal kepada anak yang baru saja menjadi abang atau kakak.

“Paling penting jangan memarahi mereka terutama kepada anak sulung yang baru berusia dua atau tiga tahun kerana tindakan ini akan lebih memburukkan keadaan.

“Cuba tunjukkan bahawa kasih sayang anda kepadanya tidak berkurang. Situasi ini perlu ditangani sebaik mungkin dan paling utama jangan mengeluh dan menjadikan anak sulung sebagai sasaran segala kepenatan dan kemarahan anda,” katanya.

Tambahnya, atas sebab itu juga pentingnya menjarakkan kehamilan bagi memastikan situasi ini tidak berlaku.

“Setiap anak itu berbeza namun hampir semuanya akan berasa cemburu dengan kelahiran adik baru. Jangan menyalahkan anak sulung apabila mereka mula menunjukkan protes atau rasa marah.

“Setiap masalah tentu ada jalan penyelesaiannya, beri anak masa kerana bukan mudah untuk anak sulung menerima adik terutama sekiranya dia juga masih kecil,” ujarnya.

PERUBAHAN SIKAP ANAK SULUNG

Zumasni berkongsi antara perubahan sikap anak sulung selepas kehadiran adik baru:

1) Bayi yang baru dilahirkan sering kali menjadi perhatian utama. Ini mewujudkan rasa cemburu anak sulung dan mereka mula meminta disuapkan makanan, dipakaikan baju, bertanya pelbagai pertanyaan dan meragam. Jadi ibu bapa perlu sentiasa tenang, sabar dan bijak melayan kerenah mereka.

2) Anak sulung bermain terlalu kasar dengan adik kecilnya. Dia hanya mahu melakukan eksperimen, sejauh mana tindakannya dapat membuatkan adiknya menangis. Ibu bapa perlulah bercakap secara baik dengan anak bahawa itu bukan caranya dan ia menyakitkan adik kecil. Tunjukkan cara membelai dan 'bermain' dengan adik yang masih bayi.

3) Fahami rasa cemburunya. Jangan cepat melenting dengan sikap cemburu anak. Ini membuatkan anak lebih meragam kerana mereka mahukan perhatian anda berdua.

4) Sebelum kelahiran anak baru, bawalah anak sulung anda bermain dengan anak kecil ataupun bayi lain dan katakan padanya, satu hari nanti mereka akan dapat adik kecil juga. Melalui cara ini, anak sulung akan lebih bersedia menyambut orang baru.

5) Babitkan anak dalam persediaan menyambut bayi seperti membeli baju, lampin, buai, botol susu dan sebagainya.

6) Berikan anak anda memegang perut apabila bayi bergerak-gerak. Ini menyeronokkan hatinya dan membuatkan dia tidak sabar menantikan kelahiran adiknya.

7) Ajak anak bersama-sama berbincang mengenai nama adiknya itu nanti. Minta juga pandangannya dalam memilih fesyen dan warna baju bagi bayi.

8) Adakan masa secara peribadi dengan anak sulung anda tanpa gangguan daripada bayi. Terutamanya apabila adik kecilnya sudah tidur gunakan peluang itu memberikan perhatian kepada anak sulung anda. Manjakan dia, belai dan cium, bermain dengannya dan sebagainya. Dia pasti menghargainya.

9) Minta anak sulung menolong seperti meminta ambilkan air semasa kita sedang menguruskan adiknya yang masih kecil. Dia pasti merasa diperlukan dan dihargai. Sebenarnya anak kita akan berasa bangga jika dapat menolong kita.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 6:30 AM