TANTRUM antara cara yang ditunjukkan oleh kanak-kanak yang tidak bersedia dengan adik baharu. FOTO: Sumber Google
TANTRUM antara cara yang ditunjukkan oleh kanak-kanak yang tidak bersedia dengan adik baharu. FOTO: Sumber Google
Muhamaad Razis Ismail

IBU bapa pasti akan terkejut dan pelik apabila melihat perubahan sikap serta tingkah laku yang ditunjukkan anak sulung selepas memperoleh orang baharu dalam keluarga.

Sebelum ini, dia seorang yang manja dan mendengar kata.

Namun, selepas memperoleh adik baharu, dia mula menunjukkan tanda protes dan tantrum tanpa sebab munasabah.

Masalah ini perlu disedari lebih awal dan tidak boleh diambil ringan oleh ibu bapa untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih serius.

Lebih serius ini bermaksud sekiranya tidak dikawal dan diatasi, si abang mungkin mengambil tindakan di luar jangkaan termasuk mencederakan si adik yang masih kecil.

Situasi ini bukan sahaja membabitkan kanak-kanak, malah remaja juga tidak terkecuali.

KANAK-kanak perlu dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran orang baharu. FOTO: Sumber Google
KANAK-kanak perlu dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran orang baharu. FOTO: Sumber Google

Oleh itu, ibu bapa perlu sentiasa mengambil berat mengenai perkara ini untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih serius sekiranya tidak diatasi segera.

Perkara ini diakui Pakar Psikiatri Dr Norzila Zakaria yang pernah menerima kes seorang remaja berusia 14 tahun begitu cemburu dengan adiknya yang pada ketika itu berusia empat tahun sehingga kadang-kadang bergaduh.

Beliau yang bertugas di Unit Bimbingan Kanak-Kanak dan Remaja di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian berkata, ibu kanak-kanak ini yang bimbang keadaan itu membawa anaknya untuk mendapatkan nasihat dan bantuan.

"Selepas temu bual dijalankan, didapati bahawa remaja ini menjadi anak bongsu dalam tempoh lama.

"Sebelum ini dia menjadi tumpuan keluarga dan diberi sepenuh kasih sayang namun segala-galanya berubah selepas kehadiran orang baharu di rumahnya.

"Keadaan ini menyebabkan remaja terbabit sentiasa bergaduh dan kadangkala tindakannya boleh mencederakan adiknya itu yang dianggap sebagai pesaing.

KEADAAN boleh menjadi serius apabila mereka mencederakan adik. FOTO: Sumber Google
KEADAAN boleh menjadi serius apabila mereka mencederakan adik. FOTO: Sumber Google

"Ibunya yang bimbang dengan keadaan itu, merujuk saya untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih serius," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, sepatutnya pada usia 14 tahun, seorang remaja sudah mampu berfikir lebih baik dalam menerima kehadiran orang baharu dalam keluarga.

"Bagaimanapun, keadaan sebaliknya berlaku disebabkan beberapa faktor termasuk bagaimana ia dibesarkan oleh ibu bapa.

"Selain itu, faktor persekitaran dan ekonomi turut memainkan peranan sehingga menyumbang kepada permasalahan ini," katanya

Tambahnya, masalah ini turut disumbangkan peringkat usia kanak-kanak itu.

"Katakan dia dapat adik pada usia dua tahun, dia yang tidak memahami apa-apa lagi akan berebut untuk bermanja dengan ibunya kerana pada ketika itu memang fasa dia masih begitu memerlukan perhatian ibu, ke mana pun ibu pergi pasti dicari. Jadi bila mendapat adik, dia pun sama-masa mahu dibelai ibu.

"Namun apabila seorang anak semakin meningkat usia, dia sudah semakin bijak, mampu bermain sendiri dan mula faham kehadiran seorang adik yang lebih memerlukan ibu dari dirinya. Ini dalam konteks anak tipikal yang tidak mengalami masalah perkembangan intelek.

"Oleh itu, penerimaan kehadiran orang baharu dalam keluarga sebenarnya banyak dipengaruhi oleh peringkat usia kanak-kanak tipikal yang memiliki tahap intelek yang berbeza," katanya.

AJAR anak sejak kecil memahami kehadiran adiknya dalam keluarga. FOTO: Sumber Google
AJAR anak sejak kecil memahami kehadiran adiknya dalam keluarga. FOTO: Sumber Google

Mengulas lanjut, antara tanda yang sering ditunjukkan seorang kanak-kanak itu tidak dapat menerima kehadiran orang baharu adalah sama ada akan lebih rapat atau menjauhkan diri daripada ibu.

"Keadaan menjadi lebih rapat ini berlaku apabila si anak sering berkepit dengan ibunya termasuk sentiasa ingin diriba, didukung dan ingin tidur bersama.

"Selain itu, dia juga boleh menjauhkan diri daripada ibunya dan menjadi lebih rapat dengan bapanya kerana tahu ibu sudah ada adik baharu, seolah-olah merajuk. Ini salah satu cara yang ditunjukkan kanak-kanak yang sukar menerima kehadiran orang baharu," katanya.

Katanya, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk bersama-sama mengatasi masalah menjadi lebih serius.

"Di peringkat awal, ibu bapa perlu jelaskan kepada anak mengenai kehadiran orang baharu ini sejak adiknya masih berada dalam kandungan. Kita terangkan dengan kaedah bercerita yang mudah difahaminya dan diingati.

"Apa yang penting kita beritahu mengikut tahap kefahamannya dan kita kena pastikan kanak-kanak itu faham apabila dia boleh menjawab semula soalan yang kita kemukakan berkaitan cerita berkenaan," katanya.

DR Norliza.  FOTO: Ihsan Dr Norliza Zakaria
DR Norliza. FOTO: Ihsan Dr Norliza Zakaria

Dalam pada itu, ibu perlu bijak 'mencuri' masa untuk meluangkan masa dengan anak sulung untuk memastikan mereka tidak rasa terabai.

"Kita kena ambil balik perhatian anak dan berikan apa yang dia rasakan hilang sebab biasanya orang yang paling rapat dengan anak adalah ibu.

"Kalau dia tunjukkan tantrum, mesti dia rasa jauh hati dan kita kena tarik balik perhatiannya dengan luang masa dengannya. Contohnya ketika bayi sedang tidur, kita pergi sekejap kepadanya dengan peluk dan cakap kita sayangkan padanya," katanya.

Bagaimanapun, bapa juga perlu mainkan peranan dan tidak melepaskan sepenuhnya tanggungjawab menjaga anak kepada ibu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 7:00 AM