WAN Mohd Harizmi bersama pengedar produk wangiannya yang dikeluarkannya.
WAN Mohd Harizmi bersama pengedar produk wangiannya yang dikeluarkannya.
Yusliza Yakimir Abd Talib


TIGA tahun lalu, lelaki ini pernah berdepan masalah kewangan yang meruncing selepas perniagaan minyak wangi yang dibina selama lima tahun mengalami kegagalan hingga jatuh tersungkur dan tiada apa-apa yang tinggal kecuali sisa semangatnya untuk meneruskan hidup.

Detik itu tidak pernah padam dalam memori malah kesusahan hidup sebelum ini menjadikan dirinya kini. Baginya, kejayaan sebenar bukan diukur dengan wang sebaliknya bagaimana seseorang itu bangkit daripada kegagalan lalu dan berjuang mengubah nasib diri.

Wan Mohd Harizmi Wan Omar juga tidak pernah lekang mengucap syukur di atas rezeki yang dikurniakan Allah selepas melalui pelbagai onak dan ranjau.

Isteri adalah insan yang berdiri teguh di belakangnya saat jatuh bangun dan dia mengakui mendapat keberanian mengharungi kesukaran hidup ketika itu kerana adanya wanita berkenaan di sisi yang tidak jemu memberi semangat serta kata-kata perangsang.

Pengasas Yukha Global Sdn Bhd ini juga mengakui, tanpa insan penting itu pasti sukar dia bangkit kembali dan membina empayar perusahaan kosmetik serta penyegar udara sejak setahun lalu.

“Kita kena percaya ujian ini sebagai peringatan daripada Allah. Mungkin ketika menguruskan syarikat sebelum ini saya terlalai, masa banyak difokuskan untuk menaikkan jualan hingga terlepas banyak masa dengan keluarga kerana sering balik lewat atau pergi seminar meninggalkan isteri dan anak berhari-hari.

“Ketika itu, saya sibuk mengejar sasaran dan banyak perkara saya lalai hingga Allah turunkan ujian dan masalah hingga terpaksa meninggalkan syarikat sehelai sepinggang.

“Isteri amat memahami keadaan saya dan memberi sokongan untuk saya bangkit. Ketika inilah produk pertama kami iaitu lipmatte dikeluarkan hasil pengorbanan isteri menggadaikan barang kemas miliknya untuk menambah modal.

“Terharu dengan sikap isteri yang sanggup bersusah payah bersama saya, saya nekad mencapai kejayaan demi orang yang disayangi,” katanya.

Usahawan berusia 34 tahun ini berkata, selain isteri, Nor Fairuz Izwanie, 34, ibunya turut membantu menambah wang simpanannya untuk modal syarikat yang baru ditubuhkannya itu.

Tanpa kepercayaan kedua-dua wanita penting dalam hidupnya itu, Wan Mohd Harizmi mengakui mungkin sukar buatnya membina kembali perniagaan dan membantu lebih ramai ejen serta stokis menambah pendapatan.

Selain itu katanya, kejayaannya mungkin disebabkan doa ibu yang tidak pernah putus malah antara petua diamalkannya adalah menghubungi wanita itu setiap hari tanpa jemu.

BERSAMA isteri, Nor Fairuz Izwanie.
BERSAMA isteri, Nor Fairuz Izwanie.

“Kepercayaannya dan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap usaha saya disertai doanya setiap hari, saya percaya ia juga mendorong kejayaan hari ini,” katanya.

Saling bekerjasama dalam memajukan perniagaan, Wan Mohd Harizmi mengakui sifat toleransi dalam hubungan dan percaya antara satu sama lain antara yang diamalkannya dengan isteri.

Malah katanya, jika berada di rumah, mereka akan ketepikan hal perniagaan dan menumpukan sepenuh perhatian pada cahaya mereka, Wan Hana Khadijah.

Perjalanan hidup mereka suami isteri katanya, lebih kepada kesederhanaan dalam apa jua yang dilakukan dan sentiasa positif, gembira dan bersyukur dengan nikmat diberikan kepada mereka.

Selepas kejayaan produk bibir yang diusahakannya, baru-baru ini syarikatnya maju selangkah dengan mengeluarkan produk baru, pewangi udara Yukha Air Freshener. Produk baru bagi kegunaan kenderaan dan rumah itu tampil dengan 10 jenis bauan dan mengandungi 100 peratus pati haruman bunga-bungaan.

Kata Wan Mohd Harizmi, penyegar udara itu didatangkan dalam bentuk klip dan mampu bertahan antara 30 hingga 45 hari pada harga mampu milik iaitu RM10.

Menurutnya, walaupun produknya dijual dengan harga yang begitu rendah, tidak bermakna dia mengabaikan kualiti sesuatu produk dihasilkan.

Dalam pada itu, selain menjana keuntungan daripada penjualan produk itu, Wan Mohd Harizmi juga mahu melatih individu yang mahu bergelar usahawan dengan menawarkan pakej stokis.

Sehingga kini dia berjaya melatih 30 stokis dan 1,000 ejen jualan di seluruh negara dengan menyasarkan penambahan 100 lagi stokis bagi menampung permintaan pengguna.

Bawah syarikatnya, dia akan membantu usahawan melalui bimbingan peribadi dengan mengajar setiap usahawan mengenai kaedah pemasaran secara dalam talian dan melatih mereka mencari pengedar supaya adanya kelangsungan pendapatan antara satu sama lain.

Ditanya bagaimana dia mendapat kepercayaan daripada stokis untuk menjana pendapatan sendiri, ujarnya, dia meletakkan kos modal serendah RM27 di samping pelbagai manfaat lain menyebabkan ramai berhasrat menjadi stokis jenama itu.

“Modal yang perlu dikeluarkan cuma RM27 dan stokis boleh mendapatkan kit sampel untuk dipromosi kepada pelanggan dan ejen seterusnya menjana keuntungan 50 peratus bagi harga setiap produk,” katanya.

Mempunyai perancangan jangka panjang, dia akan mengeluarkan produk baru dalam pelbagai segmen dengan mengambil kira pandangan stokisnya.

Wan Mohd Harizmi juga berhasrat menjadikan jenamanya sebagai pengeluar produk yang mampu melengkapkan gaya hidup setiap orang dengan menyediakan keperluan menerusi harga mampu milik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 5:30 AM