TELEKUNG comel kanak-kanak Ajraa. FOTO fail NSTP
TELEKUNG comel kanak-kanak Ajraa. FOTO fail NSTP
Siti Nadirah Hafidzin


Dalam apa juga situasi, kanak-kanak masih memerlukan padanan yang bukan saja dapat menonjolkan keceriaan, tetapi juga keselesaan.

Hakikatnya ramai ibu bapa kini lupa akan hal ini dan beranggapan apa juga pakaian sesuai digayakan si kecil tanpa memikirkan jenis fabrik dan rekaannya.

Hasilnya ibu bapa memakaikan pakaian yang kurang sesuai mengikut usia dan acara dihadiri.

Senario itu juga dapat dilihat pada padanan telekung untuk si kecil tersayang. Ada di antara ibu bapa yang terlalu taasub dengan peredaran fesyen semasa hingga memakaikan telekung yang kurang selesa dan dihasilkan daripada fabrik tidak sesuai buat yang tersayang.

Dalam usaha mendidik anak kecil mengerjakan solat dan beribadat, pemakaian telekung sesuai turut memainkan peranan penting bagi menambah semangat si kecil untuk menjinakkan hatinya kepada ibadat wajib itu.

Tidak salah ibu bapa mengeluarkan sedikit kos membeli telekung yang comel bagi memastikan anak berasa gembira dan seronok untuk beribadat.

Jenama fesyen tempatan, Ajraa tampil dengan koleksi telekung Ajraa khusus yang direka khas untuk kanak-kanak seawal usia empat tahun.

KANAK-kanak sukakan sesuatu yang bersifat comel dan ceria. FOTO fail NSTP
KANAK-kanak sukakan sesuatu yang bersifat comel dan ceria. FOTO fail NSTP

Pengasasnya Nor Harfilzan Abdullah berkata, mengambil kira soal emosi kanak-kanak yang sentiasa ceria dan sukakan sesuatu yang menarik membuatkan pihaknya berusaha menghasilkan sepasang telekung bersifat ‘comel’.

“Kami menggunakan reben comel yang diletakkan di bahagian belakang telekung dan ropol di bahagian bawah bagi menambahkan kecomelan ketika dipakai.

“Pemilihan warna lembut dan manis dipandang menambahkan lagi keistimewaan koleksi ini terutama di mata kanak-kanak,” katanya.

Menurutnya, dengan menggunakan material kapas premium yang tidak panas dan selesa dipakai tidak kira cuaca dan lokasi menjadikan ia antara koleksi terbaik buat si cilik.

“Kami juga menjahit getah dengan kemas di bahagian muka untuk memastikan kanak-kanak tidak rimas dan telekung itu tidak mudah tercabut walaupun dalam pergerakan yang lasak.

“Untuk bahagian kain pula, kami turut menggunakan getah di pinggang supaya ia lebih mudah disarung,” ujarnya.

Katanya, semua koleksi comel itu dijual pada harga RM85 hingga RM98 dan didatangkan pada saiz M dan L.

“Setiap pembelian didatangkan dengan kotak pembungkusan yang sangat comel sesuai dijadikan hadiah untuk yang tersayang,” katanya.

DIDATANGKAN dengan pilihan warna-warna lembut. FOTO fail NSTP
DIDATANGKAN dengan pilihan warna-warna lembut. FOTO fail NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 4:30 AM