ROMPER selesa untuk pakaian harian.
ROMPER selesa untuk pakaian harian.
Siti Zarinah Sahib

Dalam apa juga situasi kanak-kanak masih memerlukan padanan selesa yang bukan saja dapat menonjolkan keceriaan tetapi juga keselesaan. Namun hakikatnya ramai ibu bapa lupa akan hal ini dan beranggapan apa juga pakaian sesuai untuk si kecil tanpa memikirkan jenis fabrik dan rekaan.

Hasilnya ibu bapa memakaikan pakaian yang kurang sesuai mengikut usia dan acara dihadiri. Ada pula yang ingin menjadikan anak lebih matang dengan padanan seperti dewasa sedangkan kanak-kanak lahiriahnya sangat aktif, lasak dan gemar bergerak.

Menurut Pengarah Operasi BabyMama Trading Sdn Bhd, Siti Shafurah Abas, ada beberapa perkara yang perlu diketahui ibu bapa sebelum memilih padanan si comel. Panduan paling utama adalah menentukan jenis fabrik seperti kapas kerana material ini sememangnya sesuai dengan peribadi kanak-kanak yang aktif.

BLAUS bintik polka comel dipadankan seluar. Gayakan dengan beg galas dan cermin mata.
BLAUS bintik polka comel dipadankan seluar. Gayakan dengan beg galas dan cermin mata.

“Selain lembut, kapas menyerap peluh dan tidak panas. Ia sesuai terutama mereka yang mempunyai masalah kulit. Fabriknya yang mudah regang menyebabkan si kecil terasa bebas bergerak tanpa halangan,” katanya.

Pilih juga rekaan paling selesa terutama untuk pakaian harian mereka. Elakkan perincian sarat seperti renda atau net yang boleh menyebabkan kain ini terkoyak akibat pergerakan lasak mereka.

Bagi yang gemar mencantikkan bayi dengan aksesori kepala seperti cekak, sepit rambut dan reben pastikan perhiasan ini tidak ketat kerana ia boleh menghalang pengaliran darah ke kepala.

“Aksesori ini boleh digayakan namun jangan sehingga merimaskan bayi. Elakkan juga jenis bermanik atau berbatu mutiara kerana boleh menyebabkan bayi tercekik atau tertelan terutama mereka yang sudah boleh memegang dan membuka sendiri aksesori ini.

“Untuk memastikan ia tidak ketat, cuba dulu dan lihat sama ada ia berbekas atau tidak pada kepala mereka,” nasihatnya yang turut menyediakan kelengkapan si comel daripada hujung rambut hingga kaki menerusi jenama Tateh.

Ujar Siti Shafurah lagi, memahami sifat lasak kanak-kanak, ada ibu bapa tidak sanggup memakaikan pakaian terutama anak-anak berusia dua hingga tiga tahun. Namun menerusi semua padanan Tateh yang berkonsepkan sarung dan gayakan ia cukup menyenangkan kedua-dua pihak.

AKSESORI ringkas digayakan dengan gaun tanpa lengan.
AKSESORI ringkas digayakan dengan gaun tanpa lengan.

“Konsep yang ringkas sentiasa menjadi panduan dalam menghasilkan rekaan. Di sini kami menyediakan butang ringkas di bahagian belakang atau zip untuk seluar. Saya sendiri memiliki anak kecil, jadi pengalaman ini digunakan untuk menghasilkan rekaan si comel,” katanya.

Memudahkan ibu bapa membuat pilihan, terdapat padanan sedondon anak perempuan dan lelaki daripada peringkat usia enam bulan sehingga lima tahun. Ia didatangkan dalam rekaan sama tetapi corak berbeza untuk kedua-duanya.

“Dulu kami sering menerima pelanggan yang bertanyakan mengenai pakaian sedondon anak lelaki dan perempuan. Ini kerana yang banyak di pasaran adalah untuk anak perempuan saja. Mengambil kira kehendak mereka, jadi saya mula menghasilkan rekaan sebegini,” katanya yang beroperasi di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi.

Selain pakaian kasual blaus dan seluar, butik ini turut menyediakan gaun, denim, skirt dan padanan Muslimah kanak-kanak seperti jubah, telekung, baju renang bermula usia tiga hingga 12 tahun. Tudung, kasut dan beg dengan rekaan pelbagai turut memudahkan ibu bapa membuat pilihan.

Untuk perhiasan kepala pula, ia dihasilkan suri rumah secara kreatif menggunakan 100 peratus kerja tangan mereka.

“Kualiti terjamin, keselamatan produk sangat diutamakan menjadikan ia pilihan tepat ibu bapa yang bukan saja inginkan si kecil kelihatan comel dan ceria tetapi selamat dipakai dalam tempoh yang panjang,” katanya.

GAYA untuk ke majlis keraian.
GAYA untuk ke majlis keraian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 12:59 PM