KOLEKSI untuk si comel ringkas, selesa dan bergaya
KOLEKSI untuk si comel ringkas, selesa dan bergaya
Siti Nadirah Hafidzin


BUKAN saja perlu selesa dan memberi impak comel kepada si cilik ketika menyarung pakaian namun rata-rata golongan ibu bersetuju elemen sedap mata memandang menjadi antara faktor terpenting dalam pemilihan busana buat anak tersayang.

Mungkin agak sukar untuk menemui kolek­si busana si kecil yang menepati keseluruhan elemen dimahukan menjadikan jenama fesyen kanak-kanak, playteepush berusaha tampil dengan koleksi istimewanya.

Menawarkan dua jenis koleksi terbaru iaitu koleksi harian dan koleksi pralebaran, tiga elemen yang diutamakan adalah keselesaan, ringkas namun tampak bergaya.

Menurut pengasasnya, Hanim Anuar, menggunakan fabrik kapas Jerman dalam semua koleksi menjadikan busana kanak-kanak itu mudah diurus, menyerap peluh dan sesuai digayakan pada bila-bila masa saja.

CERIA dan mudah digayakan.
CERIA dan mudah digayakan.

“Walaupun terdapat banyak pilihan busana kanak-kanak di pasaran namun tidak semuanya menepati kriteria diperlukan setiap ibu bapa. Ada yang cantik tetapi fabrik digunakan tidak bersesuaian manakala ada pula yang dihasilkan daripada fabrik sesuai tetapi rekaannya tidak mengikut peredaran fesyen semasa.

“Atas faktor itu, kami hasilkan busana harian yang trendy iaitu kemeja untuk kanak-kanak lelaki dan seluar pendek comel untuk kanak-kanak perempuan. Kedua-dua koleksi ini sesuai untuk kegunaan harian termasuk untuk keluar berjalan ke pusat beli-belah atau ketika hujung minggu,” katanya.

WILAWAN Pitpan. FOTO Agensi
WILAWAN Pitpan. FOTO Agensi

Hanim berkata, untuk koleksi Ali iaitu baju Melayu dan Fatimah iaitu baju kurung moden, kedua-duanya dihasilkan menjelang kedatangan Ramadan dan lebaran akan datang.

“Memandangkan keadaan cuaca harian yang tidak menentu, koleksi pralebaran ini dihasilkan dengan potongan agak longgar bagi memudahkan pergerakan si kecil terutamanya tidak berasa rimas.

“Semua koleksi ini didatangkan dalam pilihan saiz bermula setahun hingga enam tahun dan dijual pada harga RM89,” katanya.

Tambahnya, pihaknya berharap koleksi itu dapat membantu golongan ibu bapa yang sering berdepan dilema dalam mencari sepasang busana sesuai untuk anak tersayang.

TIDAK perlu digosok.
TIDAK perlu digosok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 6:30 AM