DELOITTE Malaysia melancarkan program bekerja dari rumah selain memperuntukkan lima bilik penyusuan dilengkapi peti sejuk di pejabatnya di Kuala Lumpur.
DELOITTE Malaysia melancarkan program bekerja dari rumah selain memperuntukkan lima bilik penyusuan dilengkapi peti sejuk di pejabatnya di Kuala Lumpur.

DI mana-mana pelosok dunia pun, peranan dan sumbangan wanita dalam membangunkan sesebuah syarikat memang tidak dapat dinafikan. Bahkan banyak juga syarikat yang mempunyai jumlah pekerja wanita melebihi lelaki, tetapi tetap mampu menunjukkan perkembangan memberangsangkan.

Bagi menghargai sumbangan pekerjanya, Deloitte Malaysia menyediakan persekitaran kerja yang lebih baik supaya kakitangannya berasa selesa apabila berada di pejabat.

Memahami keperluan pekerja wanita yang juga ibu dan isteri, bersempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa dengan tema #BalanceforBetter, syarikat itu memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk melatih pemimpin wanita selain melaksanakan kesaksamaan gender di tempat kerja.

Untuk memberi kemudahan kepada 65 peratus kakitangannya yang terdiri daripada wanita, baru-baru ini ia melancarkan program bekerja dari rumah selain memperuntukkan lima bilik penyusuan dilengkapi peti sejuk di pejabatnya di Kuala Lumpur.

Malah sejak dua tahun lalu, Deloitte memulakan program kepimpinan untuk pekerja wanita yang berpotensi dalam usaha mengembangkan karier mereka dan sehingga kini ia sudah memberi manfaat kepada 40 ketua wanita dalam bidang masing-masing.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yee Wing Peng, di syarikat itu tiga daripada lima bidang perniagaan diterajui wanita - yang dilahirkan menerusi pelbagai inisiatif. Ia juga dilihat sebagai cara terbaik untuk memperkasa dan memajukan wanita dalam kerjaya selain terus memberi penekanan kepada keseimbangan di antara kerjaya dan keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 6:30 AM