SERAMAI 50 kakitangan Kuala Lumpur Convention Centre meraikan Hari Wanita Antarabangsa 2019.
SERAMAI 50 kakitangan Kuala Lumpur Convention Centre meraikan Hari Wanita Antarabangsa 2019.
HM Digital

MERAIKAN Hari Wanita Antarabangsa (HWA) 2019, lebih 50 kakitangan Kuala Lumpur Convention Centre memakai pakaian berwarna ungu, putih dan hijau sambil menghirup udara segar dalam suasana kehijauan di taman Kuala Lumpur City Centre (KLCC) sebagai memperingati hari penuh makna ini.

Ia disusuli jamuan minum petang bagi memberi peluang kepada tetamu berbual mesra sekali gus merapatkan hubungan sesama mereka.

Menurut Pengarah Pembangunan Perniagaan & Pemasaran Pusat Konvensyen, Angeline Van Den Broecke, pihaknya teruja melihat begitu ramai kakitangan hadir bagi merayakan Hari Wanita Antarabangsa.

Jelasnya lagi, perayaan HWA adalah cara sesuai menghargai wanita yang banyak berkorban dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan kekeluargaan.

Tema #BalanceforBetter diangkat kerana terdapat keperluan sejagat untuk memperjuangkan keseimbangan jantina dan mengiktiraf inisiatif dalam mengetengahkan isu penting seperti #MeToo dan #TimesUp.

“Kita perlu mencari jalan untuk membantu meningkatkan kesedaran pendidikan mengenai kesamaan, di tempat kerja dan dalam persekitaran sosial dan domestik,” kata Van Den Broecke.

Pandangan Van Den Broecke disokong Pengarah Sumber Manusia Pusat Konvensyen, Muhammad Vickneswaran, yang menekankan kepada usaha menjadi ‘Majikan Pilihan’ dan memberi tumpuan kepada pertumbuhan serta pembangunan profesional pekerja.

“Kami percaya tempat kerja yang kondusif dan ceria amat penting kepada kejayaan syarikat. Inilah sebabnya kami berusaha mencapai keseimbangan jantina dalam organisasi. Buat masa ini kami mempunyai 119 kakitangan wanita (38 peratus daripada bilangan kakitangan dalam organisasi), dengan 80 (67 peratus) memegang jawatan eksekutif hingga pengurus kanan sekalipun mereka berada dalam industri yang sering dianggap dikuasai oleh kaum Adam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 7:03 AM