Najib bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor pada  perasmian Persidangan ASEAN Untuk Wanita Dalam Politik    di PWTC, Kuala Lumpur.
Najib bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor pada perasmian Persidangan ASEAN Untuk Wanita Dalam Politik di PWTC, Kuala Lumpur.
Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Bagi memastikan dasar 30 peratus wanita berada dalam kumpulan penggubal dasar di sektor awam dan swasta tercapai, kerajaan akan memperkenalkan Indeks Kepelbagaian Gender yang wajib dikeluarkan dalam laporan tahunan kedua-dua sektor itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, inisiatif itu akan diperkenalkan menerusi Suruhanjaya Sekuriti untuk mengukur sejauh mana syarikat swasta turut patuh dengan dasar kerajaan menjelang tahun depan yang menetapkan 30 peratus tenaga kerja wanita dalam peringkat penggubal dasar.

Beliau berkata, tujuan Indeks Kepelbagaian Gender yang mewajibkan syarikat memasukkan indeks gender dalam laporan tahunan selaras hasrat kerajaan mencapai peratusan sama dalam sektor awam.

“Dengan cara ini, tahun depan kita boleh mengukur komposisi tenaga kerja dalam setiap syarikat termasuk ahli lembaga pengarah, pengurusan dan pekerja.

“Kita berada di landasan yang tepat untuk menuju ke arah 30 peratus wanita memegang jawatan penggubal dasar,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan ASEAN Untuk Wanita Dalam Politik (ASEAN WIP KL2015), semalam.

Persidangan anjuran Wanita Barisan Nasional (BN) itu turut dihadiri Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia merangkap Pengerusi persidangan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, lebih 120 delegasi parti politik dari 14 negara ASEAN selain menarik penyertaan delegasi luar rantau ini termasuk Korea, Russia, Azerbaijan, Bangladesh, Maldives, Mauritius, Palestin, China dan Sri Lanka.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi ASEAN berkata, selari hasrat untuk merancakkan usaha negara dalam menggubal dasar dan undang-undang khusus bagi wanita, kerajaan turut menubuhkan Majlis Penasihat dan Perundingan Wanita.

Mengulas lanjut, katanya, majlis itu akan bertindak sebagai pasukan pemikir, pemantau dan penilai kecekapan serta keberkesanan dasar dan program kerajaan berkaitan wanita selain akan melaksanakan peranan penting sejajar dengan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita.

“Apapun, jika kita serius untuk julung kali melihat wanita dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia satu hari nanti, perubahan minda perlu bermula dari rumah.

“Kita mesti cabar dan atasi kelaziman sosial yang menganggap peranan wanita hanya untuk rumah tangga. Kedua-dua gender lelaki dan wanita perlu faham dan berkongsi perkara ini.

“Wanita Asia masih jauh ketinggalan dalam politik dan pengurusan. Contohnya pada 2014, hanya ada 18 peratus wanita dalam Parlimen dan 17 peratus wanita menjadi menteri,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengumumkan kerajaan akan melancarkan Pelan Tindakan Kebangsaan minggu depan bagi memperkasakan ibu tunggal di negara ini terutama dalam bidang sosial dan ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2015 @ 9:49 AM