ISMAIL menyusun barang jualan di kedai runcitnya sambil diperhatikan  Sofiah dan anak mereka,  Muhammad Solehudeen.
ISMAIL menyusun barang jualan di kedai runcitnya sambil diperhatikan Sofiah dan anak mereka, Muhammad Solehudeen.
Aizat Sharif


Jerlun: Status orang kurang upaya (OKU) bukan penghalang bagi pasangan ini untuk berjaya dalam perniagaan kedai runcit diusahakan mereka.

Malah, Ismail Hasin, 52, OKU fizikal pada kedua-dua belah kaki memilih untuk berdikari dengan menunggang sendiri motosikal khas OKU setiap kali keluar mendapatkan barangan runcit dijual di kedai miliknya di Kampung PIDA 4 (Baru), Ayer Hitam.

Dia dibantu isterinya, Sofiah Mahmud, 31, OKU lembam bagi mengusahakan kedai runcit berkenaan demi membesarkan anak mereka, Muhammad Solehudeen, kini berusia setahun.

Ismail berkata, dia mula berniaga secara kecil-kecilan di kediaman milik keluarganya itu sejak 2006 selepas menerima motosikal khas OKU disumbangkan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI).

“Ketika itu saya masih bujang dan apabila diberikan motosikal khas ini, saya terfikir untuk menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

“Pada mulanya, saya sekadar menjual petrol, untung pun tak besar kerana pelanggan adalah dalam kalangan penduduk saja, kemudian barulah saya beralih ke perniagaan runcit,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, setiap pagi dia akan menunggang motosikal ke pekan Ayer Hitam atau pekan Permatang Bonglai untuk mencari bekalan bahan runcit.

Ketika baru memulakan perniagaan Ismail berdepan pelbagai cabaran, termasuk pelanggan tidak membayar petrol dibeli.

“Sudahlah tak bayar, mereka memecut laju selepas selesai mengisi petrol, mungkin mereka fikir saya ini OKU, sebab itu berani buat perkara seperti itu.

“Pada 2005 saya dilanggar seorang lelaki yang gagal memberhentikan motosikalnya menyebabkan bahu terkehel. Sampai sekarang sakitnya masih terasa, jadi kena berhati-hati terutama ketika menunggang motosikal,” katanya.

Pada masa sama, Ismail dan isteri bersyukur apabila masih menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 dan RM250.

Menurutnya, wang berkenaan digunakan untuk mengurus dan membeli keperluan ibunya, Siti Mariam Yaakob, 84, kini terlantar akibat uzur.

OKU gigih ini berkata, kehidupannya mesti diteruskan demi kelangsungan hidup walaupun berdepan pelbagai kepayahan.

“Sekarang kedai runcit ini menjadi periuk nasi saya, inilah punca rezeki kami empat beranak,” katanya.

“Selagi kudrat ini ada, saya akan memastikan perniagaan kecil-kecilan ini diteruskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 8:03 AM