LINDA Suryani ketika menunggang motorsikal berkuasa tinggi.
LINDA Suryani ketika menunggang motorsikal berkuasa tinggi.
Siti Nadirah Hafidzin

Siapa kata wanita tidak mampu mengawal motosikal berkuasa tinggi dengan baik setanding lelaki? Saban hari semakin ramai wanita yang meminati aktiviti itu dilihat gah menunggang motorsikal dengan baik di jalan raya.

Hampir kebanyakannya mengakui aktiviti itu memberi cabaran hebat yang mengujakan terutama bagi mengatasi rasa takut dan kecekapan dalam mengawal motosikal.

Kisah ibu kepada dua cahaya mata ini menarik untuk dijadikan inspirasi. Dia berjaya membuktikan wanita juga mampu melakukan perkara diminati dengan berbekalkan semangat dan kecekalan.

Memasang impian sejak kecil untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi namun atas faktor tertentu terutamanya tanggungjawab sebagai isteri dan ibu membantutkan hasrat itu buat seketika.

Bagi Linda Suryani Ab Hamid, 38, menunggang Harley Davidson model Sportster 48-1200cc bukan semudah disangka terutama dalam mengawal kelajuan dan keseimbangan selain menghilangkan rasa takut.

“Sejak kecil saya amat meminati aktiviti yang mencabar kemampuan diri ini dan menunggang motosikal berkuasa tinggi antara impian diri. Mungkin atas pelbagai faktor antaranya kesibukan diri menguruskan rumah tangga, anak dan kerjaya menyebabkan hasrat itu terbantut seketika.

“Kini, apabila anak semakin membesar, saya mempunyai sedikit masa terluang dan ia menjadi detik permulaan untuk saya merealisasikan impian yang sudah lama terpendam ini,” katanya.

Mengakui amat kekok dan gementar pada detik awal pembabitannya dalam aktiviti ini, Linda Suryani berkata, abangnya, Anil Husna adalah individu yang banyak memberi tunjuk ajar kepadanya untuk mengendalikan motosikal berkuasa tinggi.

 LINDA Suryani (kiri) bersama rakan.
LINDA Suryani (kiri) bersama rakan.

“Ia bukan perkara mudah dan langsung tidak sama dengan menunggang motorsikal biasa. Keyakinan, keberanian dan semangat sangat diperlukan bagi memastikan saya tidak terjatuh ketika mengawal motosikal.

“Syukur, selepas menjalani banyak latihan dan berkat tunjuk ajar diberikan abang, kini saya mampu tersenyum puas kerana dapat menunggang motosikal dengan baik,” ujarnya.

Mengapa memilih Harley Davidson, Linda Suryani berkata, motosikal jenis itu mempunyai aura tersendiri dan kehebatan yang sukar ditandingi.

“Deruman enjin dan kelajuannya hebat. Rasa sangat teruja kerana tidak semua individu termasuk lelaki boleh menunggangnya.

“Walaupun kini semakin mahir, saya perlu sentiasa beringat dan berhati-hati terutama ketika di jalan raya kerana malang tidak berbau,” katanya.

Ladies Of Harley

Menurut Linda Suryani, selepas memiliki motosikal Harley Davidson sendiri awal tahun lalu, dia semakin rancak dengan aktiviti diminatinya sebelum menyertai Ladies Of Harley (LOH).

“Selain LOH, saya turut menyertai Ladies Bikers Malaysia (LBM) bagi menambah kenalan yang turut berkongsi minat sama. Kelab yang disertai ini banyak memberi manfaat dan kegembiraan kepada saya.

“Kami banyak melakukan aktiviti pada hujung minggu antaranya menunggang motosikal ke pelbagai tempat menarik dan yang terbaru ke Melaka. Menunggang motosikal berkuasa tinggi ini bukan saja berjaya mengatasi rasa takut malah antara terapi yang dapat melegakan tekanan,” ujarnya.

Linda Suryani berkata, menyertai LOH dan LBM membolehkannya berkongsi serta bertukar pendapat bukan saja mengenai motosikal berkuasa tinggi malah semua perkara lain dalam kehidupan.

 LINDA Suryani (duduk kanan) bersama rakan LOH.
LINDA Suryani (duduk kanan) bersama rakan LOH.

“Seronok rasanya apabila kita berada di jalan raya menunggang motosikal kesukaan ditemani rakan yang turut berkongsi minat sama.

“Deruman enjin Harley menambahkan rasa teruja. Syukur, saya diberikan kesempatan merasai kegembiraan dan merealisasikan impian ini,” katanya.

Tambahnya, dia bersama rakan LOH dan LBM sering mengadakan perjumpaan bagi menyusun aktiviti menarik yang diadakan setiap hujung minggu.

“Antara aktiviti kami di LOH dan LBM adalah bersarapan serta makan tengah hari bersama dan menunggang motorsikal ke seluruh negeri.

“Saya akan cuba memastikan aktiviti ini memberi banyak manfaat dan tidak melalaikan. Apa yang penting suami saya memberi keizinan dan tugas hakiki saya di pejabat tidak terjejas,” ujarnya.

Perlu bijak bahagi masa

Linda Suryani berkata, walaupun mempunyai minat dalam menunggang motosikal berkuasa tinggi, dia tetap menjalankan rutin hariannya sebagai isteri, ibu dan pekerja.

“Rutin harian berjalan seperti biasa, saya pergi bekerja, menguruskan suami dan anak, namun saya bersyukur kerana suami memahami dan tidak memberi halangan. Sesekali dia turut menyertai aktiviti ini sekiranya mempunyai masa terluang.

“Dua anak lelaki saya yang berusia 12 tahun dan 16 tahun juga meminati motosikal ini. Sebagai ibu, saya tidak menghalang malah gembira kerana kami sekeluarga berkongsi minat yang sama,” katanya.

Linda Suryani menambah, setiap wanita perlu mempunyai minat sendiri kerana ia dapat melegakan tekanan, menggembirakan dan pada masa sama mengembangkan minda serta fikiran.

“Sama seperti saya, aktiviti dan minat ini berjaya memberi pelbagai kesan positif dalam hidup. Kini saya tidak lagi berasa takut dan mampu menunggang motosikal berkuasa tinggi dengan baik.

“Saya juga berjaya mencabar kemampuan diri. Selain Harley Davidson, saya turut menunggang motosikal RXZ135cc namun ia tidaklah sesukar mengawal Harley,” ujarnya.

Menurutnya, walaupun amat meminati aktiviti ini, dia tetap mengawal segala batas terutamanya sebagai seorang isteri dan ibu.

“Saya yakin, jika kita gembira semuanya dapat berjalan dengan lancar namun saya perlu tahu had dan batas saya sebagai wanita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 2:53 PM