VITAGEN

Sistem imun yang sihat adalah penting untuk kesihatan keseluruhan yang baik, dan terdapat pelbagai faktor yang boleh mempengaruhinya secara positif. Amalan gaya hidup sihat dengan tabiat pemakanan yang berkhasiat dan aktiviti fizikal yang teratur boleh dianggap sebagai tabiat yang baik, namun ramai tidak sedar bahawa sistem imun anda adalah berkait rapat dengan kesihatan penghadaman yang baik. Tahap kesihatan penghadaman yang baik boleh memastikan sistem imun juga berfungsi secara optimum.

Tabiat pemakanan yang tidak sihat dan gaya hidup tidak aktif adalah merupakan faktor utama yang menyebabkan kesihatan penghadaman yang lemah. Satu fakta yang kurang diketahui umum; sistem penghadaman dan pencernaan anda merangkumi tiga perempat daripada keseluruhan sistem imun badan anda. Di dalam usus anda, terdapat populasi besar mikroorganisma (contohnya, bakteria, virus, kulat dan yis) yang keseluruhannya digelar sebagai mikrobiota usus.

Di dalam populasi mikrobiota usus ini, bakteria boleh diklasifikasikan sebagai bakteria ‘baik’ dan ‘tidak baik’. Keseimbangan diantara kedua-duanya adalah penting untuk menentukan tahap kesihatan penghadaman anda.

Peranan penting

Kesimbangan mikrobiota usus adalah penting untuk kesihatan secara keseluruhannya. Jadi, amatlah penting untuk kita memastikan keseimbangan diantara bakteria ‘baik’ dan ‘tidak baik’ untuk mengekalkan kesihatan anda. Kajian mendapati terdapatnya bakteria ‘baik’ dalam usus anda dan bakteria baik ini mempunyai pelbagai fungsi yang berfaedah untuk badan dan minda anda.

Antara peranannya yang penting adalah membantu fungsi usus (contohnya, membantu proses penghadaman, mengatur pergerakan usus, mengurangkan simptom gangguan penghadaman, seperti kekembungan, ketidakselesaan perut, cirit-birit dan sembelit). Ingat, lebih kurang 80% sistem imun anda terletak di usus. Maka, mengekalkan keseimbangan di antara bakteria baik dan tidak baik akan memanfaatkan sistem imun anda.

Profesor Madya Dr Raja Affendi Raja Ali, Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) menjelaskan, “Bakteria baik membantu sistem imun anda dengan beberapa cara. Satu cara adalah dengan membentuk lapisan perlindungan di dinding usus ini mencegah mikroorganisma berbahaya dari memasuki dan menyerang dinding usus kita. Bakteria baik juga akan membantu sistem imun dengan memodulasi tindakannya terhadap sebarang serangan ke atas usus kita dari bakteria yang tidak baik.”

Pelbagai kajian global

Pelbagai kajian mengenai bakteria baik, atau ‘probiotik’, telah dan sedang dijalankan di seluruh dunia. Sesetengah kajian menunjukkan keputusan yang positif dan memberangsangkan di antara pengambilan probiotik dan sistem imun kita.

Satu kajian di Eropah yang dilaksanakan pada tahun 2010 ke atas kanak-kanak yang dihantar ke pusat penjagaan harian menunjukan bahawa pengambilan probiotik yang mengandungi spesies Lactobacillus setiap hari boleh membantu mengurangkan risiko jangkitan saluran pernafasan.

Pada tahun 2011 pula, kajian di kalangan orang dewasa yang sihat di Amerika Syarikat menunjukkan keputusan positif terhadap sistem imun mereka selepas menerima vaksinasi influenza diikuti dengan pengambilan harian probiotik yang mengandungi spesies Lactobacillus. Keputusan kajian tersebut menunjukkan peningkatan tindakbalas imun selepas vaksinasi yang memberangsangkan berbanding dengan orang dewasa sihat yang tidak mengambl probiotik . Ini adalah keputusan penyelidikan yang memberangsangkan.

Terbaru, pada tahun 2017, satu kajian di New Zealand menunjukkan bagaimana pengambilan probiotik harian mengurangkan tempoh dan kejadian jangkitan di kalangan pemain ragbi elit .

“Probiotik berpotensi membantu sistem imun menangani jangkitan yang biasanya tersebar menerusi membran mukosa, seperti virus influenza. Penyelidikan ini menunjukan bahawa pengambilan probiotik yang mengandungi spesies Lactobacillus secara berkala boleh meningkatkan tindakbalas imun,” kata Prof Madya Dr Raja Affendi.

Kajian tempatan mengenai faedah probiotik

Tidak ketinggalan, Malaysia juga mengkaji keberkesanan pengambilan probiotik dalam konteks tempatan. Penyelidikan yang masih dijalankan itu dilaksanakan oleh para penyelidik di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). Penyelidikan ini yang diketuai oleh Profesor Madya Dr Raja Affendi, setakat ini menunjukkan bukti bahawa strain Lactobacillus acidophilus dan Lactobacillus paracasei menyumbang kepada penambahbaikan yang jelas kepada kesihatan penghadaman dan menunjukkan potensi tinggi untuk mempengaruhi sistem imun secara positif.

Setakat ini, para penyelidik telah menunjukkan bukti kukuh bahawa probiotik membantu menambah baik kesihatan penghadaman. Penambahbaikan yang jelas didapati, dengan:

• Sehingga 33% pengurangan masa transit usus (ITT) iaitu masa diambil untuk makanan dihancurkan dari mulut dan seterusnya dihadam dan dicernakan menerusi saluran penghadaman dan dibuang sebagai najis.

• Penambahbaikan ketara simptom sembelit dikalangan subjek yang terdiri daripada rakyat Malaysia; 45% subjek menghabiskan masa kurang 10 minit di tandas untuk proses pembuangan najis dan 36% daripada subjek tidak perlu meneran dengan kerap berbanding sebelum ini.

Masa transit usus atau di kenali sebagai intestinal transit time atau ITT yang berkurangan adalah penting untuk mempercepatkan proses pembuangan toksin yang terkumpul (akibat sembelit). Ia juga mempengaruhi sistem penghadaman anda untuk mampu menyerap nutrisi dengan lebih cekap.

Pemakanan yang sihat

Prof Madya Dr Raja Affendi memberi amaran agar tidak bergantung sepenuhnya dengan suplemen bagi membantu menyeimbangkan mikrobiota usus. Probiotik boleh didapati secara semula jadi dalam minuman susu berkultur, yogurt, tempe mentah dan makanan yang ditapai (contohnya, kimchi atau acar).


Bagaimanapun, bagi membolehkan probiotik memberi khasiat kepada usus, anda juga harus ‘memberinya makan’ dengan prebiotik, yang boleh ditemui dalam serat pemakanan tertentu seperti bijirin penuh, bawang putih, bawang besar, pisang, bawang merah, kucai dan asparagus. Beliau juga menegaskan, walaupun pengambilan probiotik adalah penting, seseorang tidak harus mengabaikan faktor lain yang memberi kesan kepada kesihatan penghadaman.

“Tiada jalan pintas atau pil ajaib apabila melibatkan kesihatan usus anda. Jangan abaikan perkara asas seperti mengamalkan pemakanan yang sihat, bersenam dengan kerap, mendapatkan tidur yang cukup, dan menguruskan tekanan anda dengan baik. Mengamalkan gaya hidup sihat adalah perkara terbaik yang anda boleh lakukan untuk mengurangkan risiko penyakit usus,” nasihat beliau.

* *Professor Madya Dr Raja Affendi Raja Ali adalah Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi. Beliau tidak terlibat, tidak menyokong mana-mana jenama dan produk. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-56323301. Artikel ini adalah sumbangan PROGRAM PENGHADAMAN SIHAT VITAGEN.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 10:33 AM