VITAGEN

Adakah anda mengalami sistem penghadaman yang lemah? Adakah anda (atau orang yang dikenali) kerap mengalami kembung perut, ketidakselesaan perut, cirit-birit atau sembelit? Semua ini adalah masalah penghadaman yang dialami oleh ramai orang, tetapi ramai mengabaikannya sehinggalah keadaan menjadi lebih kronik dan menjejaskan kualiti hidup anda.

Usus dan kesihatan

Kesihatan usus dan kesihatan seluruh tubuh adalah sangat berkait rapat. Walaupun gangguan atau penyakit penghadaman dan pencernaan selalunya tidak membawa maut, tapi ia boleh memberi kesan serius ke atas kualiti hidup, terutamanya jika ia kerap berlaku atau berpanjangan. Bayangkan anda menjalani kehidupan seharian dengan cirit-birit atau sembelit yang kronik! Tentunya ia boleh memberi kesan yang buruk kepada kualiti kehidupan anda!

Tahap kesihatan penghadaman rakyat Malaysia, seperti yang didedahkan dalam Fakta Kesihatan 2016 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, menunjukkan penyakit sistem penghadaman dan pencernaan adalah punca utama ke-4 bagi kemasukan pesakit di hospital swasta, punca utama ke-7 bagi kematian yang dicatat di hospital kerajaan dan punca utama ke-6 bagi kematian dicatat di hospital kerajaan dan swasta.

Banyak penyakit atau gangguan penghadaman yang serius, termasuk komplikasi yang berkait dengannya, boleh dicegah. Faktor yang membawa kepada masalah ini biasanya berkait rapat dengan gaya hidup tidak sihat dengan pengambilan makanan yang tidak sihat, kurang melakukan aktiviti fizikal dan merokok.

Jaga usus anda

Prinsip asas untuk menjaga usus anda sebenarnya adalah ringkas. Amalkan gaya hidup yang baik dengan mengambil makanan yang sihat, bersenam dan tidur secukupnya, minum air secukupnya, dan menjaga keseimbangan mikrobiota dalam usus anda. Mikrobiota usus merujuk kepada populasi mikroorganisma (baik atau tidak baik) yang tinggal dalam usus anda. Mengekalkan keseimbangan di antara bakteria baik dan tidak baik adalah penting untuk kesihatan usus yang optimum.



Penyelidikan kesihatan usus dalam kalangan rakyat Malaysia

Penyelidikan selama setahun yang dijalankan oleh penyelidik di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) ini sangat relevan kerana ia membabitkankomuniti tempatan sebagai subjek di dalam penyelidikan ini. Kumpulan penyelidik di PPUKM yang diketuai oleh Profesor Madya Dr Raja Affendi Raja Ali* yang juga Pakar Perunding Perubatan & Gastroenterologi, membuktikan bahawa pengambilan minuman kultur dengan probiotik yang mengandungi spesies Lactobacillus acidophilus dan Lactobacillus paracasei memberikan kesihatan penghadaman yang baik.

Kajian ini menunjukkan perkembangan yang positif iaitu:

• 96% daripada subjek kajian melaporkan penambahbaikan pada simptom sembelit

• 45% daripada subjek kajian mengambil masa kurang 10 minit di dalam tandas

• 36% daripada subjek kajian kurang mengalami kesukaran semasa membuang air besar di tandas

• 31% daripada subjek kajian membuang najis yang lebih lembut

• 33% lebih pantas dalam menghadam dan mencerna makanan iaitu sebanyak 5 - 15 jam

Satu cara mengekalkan keseimbangan bakteria yang baik adalah dengan mengambil probiotik secara berkala. Berikut adalah empat langkah untuk memulakan amalan itu:

• Pemakanan yang tinggi serat

Makanan yang tinggi serat adalah penting untuk kesihatan usus dan penghadaman kerana ia menyenangkan proses pembuangan najis, merendahkan risiko mendapat buasir, penyakit divertikulum dan kanser usus. Tambahan pula, sesetengah serat makanan yang dikenali sebagai prebiotik juga membekalkan sumber makanan yang penting untuk bakteria baik dalam usus. Contoh sumber makanan yang tinggi serat termasuklah buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan kekacang.



• Pilih makanan kaya probiotik

Dapatkan probiotik yang cukup dengan memasukkan produk makanan yang difermentasi dalam pemakanan harian anda. Ini termasuklah minuman susu berkultur, tempe mentah, kimchi, yogurt buatan sendiri (tairu) dan tapai pulut. Ini membekalkan usus anda dengan keperluan probiotik harian untuk mengekalkan keseimbangan di antara bakteria baik dan tidak baik dalam mikrobiota usus.

• Tidur dan senaman yang cukup

Dapatkan lapan jam tidur setiap hari dan sekurang-kurangnya 30 minit aktiviti fizikal sederhana berat untuk lima hingga enam hari seminggu. Aktiviti yang anda harus amalkan termasuklah berjalan pantas, berjoging, berbasikal, senaman aerobik, berenang dan lain-lain lagi. Jangan bersenam selepas mengambil hidangan yang berat (bagi mengelakkan refluks atau ketidakhadaman) atau sejurus sebelum waktu tidur (bagi mengelakkan gangguan tidur dan refluks).



• Tangani stres

Stres yang berpanjangan boleh meningkatkan risiko masalah atau penyakit penghadaman kerana usus dan otak adalah organ yang berkait rapat. Anda boleh menangani dan menguruskan stres secara berkongsi mengenainya dengan rakan-rakan atau orang tersayang, mencari hobi yang sesuai dan menyeronokan (seperti mendengar muzik atau melancong) dan mendapat waktu rehat, tidur dan senaman yang secukupnya.

Usus yang sihat untuk kehidupan yang bahagia

Mengamalkan gaya hidup sihat memberi banyak faedah. Anda bukan sahaja mewujudkan persekitaran sihat untuk diri sendiri, tetapi juga menggalakkan keadaan optimum bagi kesihatan usus yang baik. Perubahan gaya hidup mungkin mengambil masa untuk dibiasakan, tetapi jangan mengalah dan ia memerlukan tabiat yang konsisten. Kita mesti ingat bahawa mencegah adalah lebih baik daripada merawat, dan mempuyai tahap kesihatan usus yang baik adalah satu keutamaan untuk menjalani kehidupan yang sihat dan bahagia setiap hari.

*Professor Madya Dr Raja Affendi Raja Ali adalah Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi. Beliau tidak terlibat, tidak menyokong mana-mana jenama dan produk. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-56323301. Artikel ini adalah sumbangan PROGRAM PENGHADAMAN SIHAT VITAGEN.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 12:01 PM