KESIHATAN usus bawa impak terhadap kesihatan otak.
KESIHATAN usus bawa impak terhadap kesihatan otak.
Aniza Zainudin

BAHAN kimia yang membuatkan kita berasa gembira iaitu serotonin memiliki pelbagai fungsi. Ia termasuk menyumbang kepada kesejahteraan dan kebahagiaan individu, kebanyakannya ada di otak, platelet darah dan usus.

Memainkan peranan dalam mengawal selera makan, emosi, fungsi motor, kognitif dan autonomi, serotonin juga penting untuk mengekalkan keseimbangan emosi.

Malah, tahap serotonin rendah mempunyai kaitan dengan masalah kemurungan.

Fakta menariknya, apabila individu berasa gembira, sebanyak 95 peratus daripada bahan kimia ini turut didapati dalam sistem penghadaman.

Ini bererti probiotik dalam usus bertindak sebagai pengutus saraf yang berfungsi mencetuskan perasaan gembira.

Pakar Perunding Gastroenterologi, Prof Madya Dr Raja Affendi Raja Ali berkata, kajian menunjukkan ada dua jenis bakteria dalam usus manusia iaitu, bakteria ‘baik’ dan ‘jahat’.

“Probiotik merujuk kepada bakteria baik yang memberi manfaat kesihatan kepada tubuh manusia, manakala kewujudan bakteria jahat yang banyak dalam usus boleh mempengaruhi emosi seseorang.

“Perut dan usus mempunyai hubung kait dengan otak. Rangkaian otak dan usus ini mesti selari. Jadi, kuantiti bakteria baik yang banyak dalam usus membuatkan seseorang itu kurang mengalami tekanan, kerisauan dan sebagainya.

“Kejelasan mental juga dipengaruhi oleh kesihatan sistem penghadaman. Jadi pengambilan probiotik (bakteria baik) boleh memberi impak positif terhadap kesihatan emosi seperti kurangnya tekanan,” katanya dalam majlis pelancaran inisiatif pendidikan trak Vitagen Digestive Health On-Wheels, baru-baru ini.

Ekosistem bakteria kompleks dalam badan yang dinamakan mikrobiome mengawal perasaan dan pemikiran dengan menyampaikan isyarat antara saluran penghadaman dan otak menerusi saraf vagus.

Katanya, mikrobiome ada banyak dalam usus manusia yang memainkan banyak fungsi penting, bukan saja kesihatan sistem penghadaman dan pencernaan, bahkan sistem imunisasi, membantu organ hati menghasilkan vitamin K serta menjaga kadar metabolisme ke tahap optimum.

“Bakteria baik ini sendiri boleh menghasilkan ‘produk’ yang digunakan dalam tubuh manusia bagi membentuk proses pencernaan dan penghadaman lebih sempurna, termasuk fungsi lain.

“Kekurangan mikrobiota (bakteria baik dan jahat) dalam tubuh mampu memberi kesan seperti badan mudah lesu, otak tidak dapat fokus, sistem penghadaman dan pencernaan terganggu hingga mengakibatkan masalah perut termasuk sembelit, cirit-birit, angin dan kembung.

“Banyak kajian yang dilakukan sebelum ini menunjukkan peranan bakteria jahat dalam proses obesiti dan reaksi alergi.

“Selalunya kandungan mikrobiota atau bakteria dalam kalangan orang yang obes berbeza dengan orang yang tidak gemuk.

“Kajian menunjukkan 30 hingga 40 peratus kandungan bakteria jahat lebih tinggi dalam najis orang obes berbanding orang tidak obes.

“Pengambilan probiotik sekurang-kurangnya 120 mililiter seperti minuman kultur mengandungi lactobacillus setiap hari sangat bagus bagi proses pencernaan dan penghadaman manusia,” katanya.

Berkongsi mengenai faktor yang mengakibatkan kerosakan bakteria baik, Dr Raja Affendi berkata, ia juga boleh berlaku sekiranya pengambilan antibiotik tanpa indikasi (petunjuk) dan secara berlebihan, stres berpanjangan, makanan kurang sihat yang berlemak, gaya hidup tidak sihat serta obesiti.

Seperti minuman berkultur mengandungi berbilion probiotik yang dirumus untuk melalui saluran gastrousus dapat membantu mengekalkan keseimbangan antara bakteria baik dan bahaya.

Kultur berfungsi membantu penghadaman lebih baik sekali gus menghasilkan sistem penghadaman yang sihat. Dalam masa sama, ia meningkatkan ketahanan badan atau sistem untuk melawan penyakit dari dalam perut.

Sistem imuniti manusia dibentuk untuk menentang serangan virus, bakteria dan mikrob lain tanpa mengganggu tisu sihat. Ini kerana 70 peratus daripada pertahanan imuniti manusia terletak di dalam sistem penghadaman.

Sementara itu, pelancaran inisiatif pendidikan trak Vitagen Digestive Health On-Wheels mempromosikan maklumat kesihatan mengenai probiotik yang membekalkan pelbagai manfaat kesihatan sistem penghadaman.

Trak yang turut dikendalikan jururawat gastroenterologi, pakar pemakanan dan perunding kecergasan ini akan mengunjungi 30 lokasi di seluruh Lembah Klang.

Selain berpeluang menjalani saringan kesihatan sistem penghadaman, menerima kaunseling dan kit ujian najis, orang ramai juga didedahkan dengan hasil kajian terkini Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), permainan interaktif, sampel produk dan promosi jualan.

DR Raja Affendi (dua dari kiri) ketika pelancaran trak Vitagen Digestive Health On-Wheels. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
DR Raja Affendi (dua dari kiri) ketika pelancaran trak Vitagen Digestive Health On-Wheels. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 11:51 AM