VITAGEN

Sistem penghadaman dan pencernaan anda memainkan peranan yang jauh lebih kritikal daripada hanya menghadam dan mencerna makanan. Bakteria usus yang membentuk sejumlah besar mikrobiota usus anda mempunyai banyak faedah kesihatan dan memberi kesan positif terhadap pelbagai aspek kehidupan anda. Banyak kajian membuktikan bahawa probiotik memberi pelbagai faedah dan bukan sahaja menyumbang kepada kesejahteraan penghadaman dan pencernaan malah probiotik juga mampu meningkatkan imuniti, mengurangkan risiko obesiti serta memberi kesan positif terhadap tahap kesihatan mental anda.

Malah, usus adalah organ yang sangat mengagumkan – ia sering dirujuk sebagai ‘otak kedua’ kerana mengandungi berjuta-juta saraf atau neuron. Para saintis merujuk kepada set kedua neuron ini sebagai sistem enterik saraf (enteric nervous system – ENS). Sistem enterik saraf inilah yang menjalinkan hubungan mesra antara usus dan otak anda.

“Apa yang lebih menarik lagi ialah mikrobiota usus bertanggungjawab dalam menghasilkan beratus-ratus neurokimia yang digunakan oleh otak untuk mengawal selia pelbagai proses asas fisiologi – ini termasuk aktiviti mental seperti pembelajaran, memori dan mood. Jadi, hubungan erat antara usus dan otak mestilah dijaga dengan elok malah sebarang permasalahan di dalam usus boleh menyebabkan pelbagai penyakit di dalam sistem biologi badan kita. Bahkan, Hippocrates juga membuat kenyataan ‘semua penyakit bermula di dalam usus’ lebih daripada dua ribu tahun yang lalu, dan ianya terbukti benar hari ini,” dedah Profesor Madya Dr Raja Affendi Bin Raja Ali, Ketua Unit dan Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM)

Tahukah anda?

Mikrobiota usus anda menghasilkan sekitar 95% daripada serotonin yang diperlukan oleh tubuh/otak anda. Neurokimia ini mempengaruhi mood, aktiviti penghadaman dan pencernaan.

Keadaan emosi anda boleh menyebabkan ketidakselesaan fizikal, contohnya apabila anda mengalami perasaan resah atau stres anda juga akan ada satu perasaan yang tidak selesa di dalam perut yang boleh membawa kepada perasaan resah dan stres.

Paksi otak-perut

Kesihatan penghadaman dan pencernaan, dan mental, kedua-duanya berkait rapat dan tidak boleh dipisahkan. Penghadaman dan pencernaan yang tidak optimal boleh menyebabkan keresahan di otak anda. Dalam suasana ekonomi yang mencabar hari ini, stres adalah sebahagian daripada kehidupan harian. Jika tidak diatasi dengan baik, ia boleh membawa kepada masalah kesihatan mental yang jauh lebih serius seperti stres yang kronik atau kemurungan. Ini sekaligus menyebabkan penurunan prestasi anda dalam banyak aspek kehidupan seharian.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendedahkan beberapa angka yang membimbangkan dari segi kesihatan mental rakyat Malaysia – kejadian masalah kesihatan mental meningkat secara mendadak dari 10.7% pada 1996 ke 29.2% pada 2015.

“Semua aspek kehidupan boleh berkembang maju dengan sedikit stres. Bagaimanapun, masalah mula timbul apabila terdapat terlalu banyak stres contohnya seperti pasaran pekerjaan tidak stabil, kesesakan lalu lintas, konflik keluarga, masalah kewangan, menghidapi penyakit kronik dan lain-lain,” tambah Dr Raja Affendi.

“Adalah penting bagi seseorang untuk mempelajari bagaimana mengendalikan stres lantas mengurangkannya. Mungkin ia sesuatu yang mudah seperti mendengar muzik, bercucuk tanam atau bersosial bersama kawan-kawan. Bersenam juga adalah cara terbaik untuk mengurangkan stres. Oleh itu, carilah sesuatu yang sesuai untuk anda seperti berbasikal, joging, bermain futsal, badminton atau aktiviti lain yang digemari termasuklah jazzercise!.”

Kesan Buruk Stres

Dr Raja Affendi menerangkan bahawa stres mempunyai kesan negatif pada mood dan mempengaruhi interaksi anda dengan orang tersayang. Ini boleh mengurangkan kualiti hidup dan masa berkualiti anda bersama keluarga yang boleh menjurus kepada lebih stres.

Keresahan, kumurungan atau stres yang kronik boleh mengubah proses kognitif, pemikiran, kejelasan mental dan penurunan prestasi kerja seseorang.

Para penyelidik mendapati bahawa stres dan keresahan boleh dicetuskan oleh ketidakseimbangan komposisi di antara mikrobiota yang baik dan mikrobiota berbahaya di dalam usus kita.

“Ada banyak kajian yang menunjukkan pengambilan diet yang seimbang dan sihat dikaitkan dengan risiko lebih rendah terhadap penyakit mental. Malangnya, ada beberapa kajian sahaja yang menunjukkan kaitan di antara pengambilan probiotik dan kesannya terhadap mood, stres atau kesihatan mental amnya,” kata Dr Raja Affendi.

Harapan cerah

Walaupun banyak kajian menunjukkan faedah probiotik kepada kedua-dua kesihatan mental dan fizikal, Dr Raja Affendi mengingatkan bahawa ia bukan dan tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian yang terbaik.

“Probiotik memainkan peranan penting bagi kesihatan penghadaman dan pencernaan yang baik dan kesejahteraan secara keseluruhan. Mengamalkan gaya hidup yang sihat adalah jauh lebih penting dalam memelihara kesihatan keseluruhan yang optimal,”

“Ini bermakna kita perlu menjaga kesihatan penghadaman, pencernaan, mendapat tidur dan senaman secukupnya, memakan saiz sajian yang seimbang serta berkhasiat, dan mencari kaedah yang terbaik untuk mengatasi stres secara berkesan,” jelas Dr Raja Affendi.

Profesor Madya Dr Raja Affendi Raja Ali merupakan Pakar Perunding Gastroenterologi & Hepatologi. Penulis tiada kaitan dengan dan tidak menyokong mana-mana jenama atau produk. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-5632 3301.

Artikel ini adalah sumbangan PROGRAM PENGHADAMAN SIHAT VITAGEN.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2017 @ 2:58 AM