VITAGEN

Probiotik digelar bakteria ‘baik’ kerana ia memberi faedah kesihatan yang positif apabila diambil dalam jumlah yang mencukupi. Probiotik memainkan pelbagai peranan dalam badan kita seperti membantu menghadam makanan yang tidak dapat diurai secara cekap, meningkatkan metabolisme badan dengan mengekstrak lebih banyak tenaga daripada nutrien makanan, menghasilkan vitamin B, menyingkirkan toksin, dan membantu mengekalkan kesihatan usus kita.

Ramai penyelidik membuat kajian berkenaan dengan keberkesanan probiotik dalam mempengaruhi serta meningkatkan tahap kesihatan kita. Laporan Fakta Kesihatan 2017 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan penyakit sistem penghadaman adalah penyebab keempat kemasukan pesakit di hospital swasta, penyebab ketujuh kemasukan pesakit di hospital kerajaan, dan penyebab keenam kematian di hospital kerajaan dan swasta.


Pada tahun 2017, satu penyelidikan tempatan daripada Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) mendapati 1 dalam setiap 9 orang rakyat Malaysia mengalami sindrom usus rengsa (irritable bowel syndrome, IBS). Pesakit IBS juga mengalami gangguan berkaitan penghadaman seperti sembelit, cirit-birit, ketidakselesaan perut, kekembungan atau kombinasinya. Penyelidikan ini juga tertumpu kepada penggunaan probiotik (iaitu Lactobacillus acidophilus dan Lactobacillus paracasei) yang boleh memberi faedah kepada subjek tempatan sihat dan yang mengalami IBS.

Baik untuk kesihatan penghadaman

Profesor Madya Dr Raja Affendi Raja Ali, Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, PPUKM, menjelaskan, “Kami (pasukan penyelidikan) menemui peningkatan dalam pelbagai aspek, termasuk masa transit usus (tempoh masa daripada pengambilan makanan sehingga ia disingkirkan), simptom cirit-birit, sembelit, ‘kekerasan’ najis, dan masa diambil di tandas.”


Penemuan dan penambahbaikan signifikan daripada kajian menunjukkan bahawa:

➢96% subjek kajian dilaporkan kurang mengalami simptom sembelit

➢45% subjek kajian menghabiskan kurang daripada 10 minit dalam tandas

➢36% subjek kajian kurang meneran semasa membuang air besar

➢31% subjek kajian membuang air besar yang lebih lembut

➢33% lebih pantas untuk masa transit usus daripada 20-45 jam dan dipercepatkan sebanyak5-15 jam

➢73% subjek kajian yang menghidap IBS mendapat manfaat untuk sistem imun yang lebih baik, di mana badan kurang menghasilkan bahan kimia pro-radang, lalu mengurangkan keradangan serta menambahbaik sistem imun

“Usus kita adalah habitat komuniti mikroorganisma yang besar dan kompleks. Dalam kajian ini, dua strain probiotik itu mempunyai pengaruh positif pada kesihatan penghadaman semua subjek kajian kita. Gaya hidup sihat bukan sahaja bergantung kepada pemakanan sihat, senaman, tidur dan meminum air yang mencukupi, tetapi kita harus mengekalkan keseimbangan mikrobiota bakteria baik dan tidak baik dalam usus juga,” katanya.

Baik untuk sistem imun

Usus adalah barisan pertahanan pertama untuk badan menentang jangkitan. “Sistem penghadaman merangkumi 80% daripada sistem imun badan kita dan kami turut menyelidik kesan probiotik kepada sistem imun. Tiga sitokin pro-keradangan yang dihasilkan dalam badan dikaji, iaitu interleukin-6 (IL-6), interleukin-8 (IL-8) dan faktor nekrosis tumor (TNF)-alfa. Tahap sitokin-sitokin ini yang tinggi menunjukkan tahap keradangan tinggi di dalam badan dan ia tidak baik.”

Penyelidikan itu menunjukkan pengambilan minuman susu berkultur yang mengandungi Lactobacillus acidophilus dan Lactobacillus paracasei selama 30 hari membawa kepada pengurangan tahap IL-6, IL-8, dan TNF-alfa yang signifikan dalam kalangan subjek kajian, terutamanya 73% subjek kajian dengan IBS. “Ini menunjukkan pengambilan probiotik boleh memberikan faedah yang baik untuk kesihatan penghadaman dan sistem imun badan kita,” katanya.

Mengekalkan kesihatan penghadaman

Pengambilan probiotik yang kerap memastikan kesihatan penghadaman yang baik. Dr Raja Affendi mengesyorkan makanan kaya probiotik sebahagian daripada diet harian, termasuklah produk makanan ditapai seperti minuman susu berkultur, tempe, kimchi, yogurt buatan sendiri (tairu), dan pulut tapai. “Anda harus berterusan menambah bakteria baik dalam usus anda untuk mengekalkan mikrobiota usus yang seimbang.”

Kita juga harus makan serat pemakanan yang mencukupi untuk membantu pergerakan usus, meningkatkan jumlah najis, lalu mengurangkan risiko masalah penghadaman. Serat pemakanan prebiotik yang didapati daripada buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan kekacang adalah penting sebagai makanan bakteria baik.

“Jangan abaikan asas gaya hidup sihat – makan sihat, senaman kerap, cukup tidur dan uruskan stres. Mengubah gaya hidup kita tidak mudah tetapi sangat penting. Lebih-lebih lagi, pengambilan probiotik membantu mengekalkan keseimbangan mikrobiota usus, yang akan menambah baik kesihatan penghadaman dan kesihatan secara keseluruhan kepada tahap yang optimum.”

Profesor Madya Dr Raja Affendi Raja Ali adalah Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi. Beliau tidak terlibat, dan tidak menyokong mana-mana jenama dan produk. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-56323301. Artikel ini ialah ihsan PROGRAM PENGHADAMAN SIHAT VITAGEN.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 2:08 PM