ANGGUN busana berpotongan A, teknik lipatan diperindahkan pada bahagian kain.
ANGGUN busana berpotongan A, teknik lipatan diperindahkan pada bahagian kain.
Siti Zarinah Sahib

Fesyen bergerak pantas dan sentiasa bertukar ganti. Peralihan ini termasuk dari segi potongan, warna dan perincian pada busana sama ada kasual, formal atau perkahwinan.

Bagi peminat fesyen tempatan pula pastinya perubahan ini amat dinanti-nantikan. Ini kerana busana yang dipilih akan menentukan sama ada mereka mengikut trend atau sebaliknya.

Syahrir Nurdin yang berpengalaman dalam menghasilkan rekaan perkahwinan menjelaskan busana persandingan turut mengalami perubahan saban tahun.

“Namun ia lebih kepada potongan serta perincian digunakan. Jika tahun ini mempelai lebih menggemari gaya sederhana dan ringkas namun pada tahun depan tarikan tema mewah berkerlipan menjadi pilihan.

GAUN labuh berekor sesuai digayakan mempelai bertubuh langsing. Pilihan rona pastel menyerlah keanggunan.
GAUN labuh berekor sesuai digayakan mempelai bertubuh langsing. Pilihan rona pastel menyerlah keanggunan.

“Merealisasikan impian mempelai yang ingin menampakkan kesan mewah pada busana perincian manik dan Swarovski diberikan pada bahagian tertentu. Ia kemudian diperindahkan dengan lipatan pada dada bagi menampakkan kesan menyerlah,” katanya.

Walaupun setiap busana kelihatan ringkas dan bersih, menerusi perincian manik ia akan menampakkan faktor wow. Dia yang terkenal dalam menyediakan busana rona lembut mengakui pada tahun depan warna ini masih menjadi pilihan. Tetapi untuk pengantin yang ingin kelihatan setanding perlu memilih rona putih kerana kekal sezaman.

“Saya akui banyak menyarankan mempelai memilih putih untuk persandingan terutama dalam taman. Ini kerana busana yang sarat kemewahannya akan lebih menonjolkan keperibadian mempelai,” katanya yang membuka butik di Plaza Masalam, Shah Alam.

RINGKAS namun menyerlah menerusi fabrik polos berbunga dan jahitan manik menambah seri.
RINGKAS namun menyerlah menerusi fabrik polos berbunga dan jahitan manik menambah seri.

Katanya, dengan pelbagai sumber maklumat yang boleh diperoleh kebanyakan mempelai mempunyai cita rasa mereka sendiri.

“Ada mendapatkan maklumat di Internet, media cetak dan elektronik. Namun apabila diaplikasikan kepada mempelai, tidak semua sesuai menggayakannya. Ia harus melihat bentuk badan dan personaliti mereka sendiri,” katanya yang turut menjadi pensyarah sambilan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam bidang rekaan fesyen.

Walaupun ada mempelai yang sanggup berhabis duit untuk persiapan majlis namun mereka harus mengukur baju di badan sendiri. Tanya diri sendiri konsep yang diinginkan kemudian bertemu pereka atau perunding perkahwinan untuk mendapatkan pakej busana.

“Memang benar perkahwinan sekali seumur hidup, tetapi harus ada perancangan terutama pemilihan busana. Dapatkan konsep dan warna baru daripada pereka kegemaran anda,” katanya.

SESUAI digayakan mempelai Muslimah, rona putih menyerlahkan lagi gaya mewah raja sehari.
SESUAI digayakan mempelai Muslimah, rona putih menyerlahkan lagi gaya mewah raja sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 12:09 AM