RINGKAS namun diserikan dengan perincian pada bahagian bahu untuk gaya elegan.
RINGKAS namun diserikan dengan perincian pada bahagian bahu untuk gaya elegan.
Siti Zarinah Sahib

Sederhana namun tampil elegan menerusi potongan dan perincian digunakan menjadi tanda pengenalan bagi jenama Dwen Raha yang cukup dikenali dengan busana perkahwinan.

Melihat setiap helaian busana digayakan penyanyi Ezlynn ini ia cukup sempurna bermula daripada pemilihan fabrik hinggalah kepada rekaan yang kekal menyerlah.

Menurut pengasasnya Mohd Redzuan Abdul Rahim, 32, mengambil kira keinginan wanita yang ingin tampil anggun pada hari bahagia, lantas dia menghasilkan rekaan gaun bermotifkan bunga-bungaan manis dan bercahaya menggunakan helaian fabrik sifon dan renda.

Menariknya, setiap padanan berkonsepkan polos tanpa jahitan manik atau batu permata sarat sebaliknya diperindahkan dengan teknik lipatan seperti reben termasuk jahitan bunga tiga dimensi menampakkan keindahan tersendiri.

Namun keistimewaan ini hanya diletakkan pada bahagian tertentu misalnya pada hujung, dada atau bawah baju bagi mengekalkan gaya ringkas mempelai.

“Oleh kerana kebanyakan pengantin dalam usia 20-an ke atas jadi saya banyak mengikut cita rasa mereka kemudian disesuaikan dengan trend semasa. Ramai yang terbuka untuk menggayakan gaun ringkas sama ada bertudung atau tidak bertudung bagi menampakkan keindahan semula jadi mereka,” katanya.

MERAH terang sesuai untuk pengantin berani.
MERAH terang sesuai untuk pengantin berani.

Memperkenalkan potongan mengikut bentuk tubuh dan gaya ikan duyung jelas Redzuan, ia sesuai untuk pengantin tinggi lampai. Namun ini bukan bermakna pengantin bertubuh ‘comel’ tidak boleh menggayakannya. Menerusi penggunaan material dan potongan, golongan ini masih kelihatan anggun dan menawan pada hari bahagia mereka.

“Banyak rekaan boleh dipakai mempelai comel asalkan mampu melindungi kekurangan tubuh. Misalnya baju yang tidak terlalu kembang atau terlalu sarat yang boleh menampakkan badan mereka lebih berisi.

“Sebaliknya saya sering mencadangkan mempelai memilih konsep baju kurung atau jenis dua helaian yang mampu menampakkan tubuh lebih tinggi,” jelasnya.

Selain itu warna kulit dan ketinggian turut dinilai agar pemilihan busana lebih tepat dan berkesan. Walaupun biasanya pengantin ingin kekal dengan kemahuan mereka, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian termasuk potongan baju mengikut ketinggian, bentuk tubuh, warna kulit dan personaliti.

“Sebab itu pentingnya rundingan bersama sebelum busana dihasilkan. Apa yang diinginkan adalah kesempurnaan raja sehari agar kena gaya manakala tetamu turut terpesona bukan saja pada kejelitaan tetapi padanan busana digayakan,” katanya.

ANGGUN digayakan pada hari bahagia.
ANGGUN digayakan pada hari bahagia.

Pada masa sama Redzuan mengakui warna pastel masih kekal sebagai rona pilihan untuk busana persandingan. Putih, hitam, krim, kelabu dan coklat cair antara yang sentiasa diinginkan. Selain tampak mewah rona sebegini sesuai untuk apa saja tema pelamin.

Turut mengetengahkan gaun berbentuk bola sebagai daya penarik, pereka yang lebih dikenali sebagai Dwen ini menjelaskan tidak semua wanita mampu menggayakannya. Pelbagai faktor perlu diambil kira seperti bentuk tubuh, ketinggian dan warna kulit.

“Saya selalu menasihatkan agar pengantin tahu jenis busana sesuai dengan tubuh mereka. Gaun berbentuk bola misalnya hanya sesuai untuk mempelai tinggi lampai. Namun jika gadis bertubuh rendah mahu mencuba sebaik-baiknya kurangkan sedikit kelebaran pada bahagian kainnya agar mereka masih boleh bergaya pada hari bahagia,” katanya.

BUSANA berpotongan duyung dengan diletakkan layah pada baju menampilkan keunikan tersendiri.
BUSANA berpotongan duyung dengan diletakkan layah pada baju menampilkan keunikan tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 6:30 AM