KOLEKSI baju pengantin Farid Ibrahim Weddings. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
KOLEKSI baju pengantin Farid Ibrahim Weddings. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Siti Zarinah Sahib

FESYEN pengantin kini pantas berubah mengikut peredaran semasa. Jika 20 tahun dahulu songket menjadi pilihan utama pengantin, tetapi secara perlahan-lahan ia diganti dengan fabrik lebih moden tidak kurang menariknya seperti renda, sutera dan sifon yang mampu memberikan penampilan mewah kepada raja sehari.

Namun, songket masih menguasai fesyen pengantin dan tetap digemari. Ia masih berjaya mengekalkan kedudukannya meskipun dunia fesyen pengantin kini dibanjiri pelbagai jenis fabrik moden yang begitu menyerlah namun songket tetap menjadi pilihan mempelai yang ingin tampil anggun dengan gaya tradisional.

Ini dapat dilihat apabila ramai mempelai memilih persalinan songket untuk acara persandingan atau majlis berinai kerana berasakan mereka akan kelihatan lebih manis dan sopan dengan busana tradisi ini.

Malah kemewahan songket yang dihasilkan penuh berseni ini menyebabkan pereka menggunakan kreativiti menggabungkan fabrik ini dengan material moden seperti sifon dan renda.

MEMPELAI anggun mengenakan persalinan songket untuk persandingan.
MEMPELAI anggun mengenakan persalinan songket untuk persandingan.

Pemilik Farid Ibrahim Weddings, Mohd Farid Ibrahim berkata, sejak dua tiga tahun kebelakangan ini fesyen pengantin berasaskan songket kembali diminati. Seperti kata pepatah, ‘tidak lapuk ditelan zaman’, songket mempunyai peminatnya tersendiri.

“Walaupun kehadiran pelbagai jenis fabrik moden, saban tahun saya tetap menerima tempahan busana pengantin berasaskan songket. Kebanyakannya adalah pengantin muda yang ingin mengekalkan kesopanan dan nilai kemelayuan dalam majlis perkahwinan mereka,” katanya.

Ini menunjukkan generasi sekarang masih menjaga dan memartabatkan pakaian tradisional songket kerana berasakan kehalusan serta seni rekaannya mampu menyerlahkan keindahan dan ketampanan pengantin.

POTONGAN peplum daripada material songket menyerlahkan sisi anggun mempelai.
POTONGAN peplum daripada material songket menyerlahkan sisi anggun mempelai.

“Kebiasaannya mempelai memilih songket untuk acara persandingan. Bagi menyerlahkan raja sehari saya menghasilkan potongan moden supaya ia berpadanan dengan elemen persandingan termasuk tema perkahwinan dalam taman,” katanya.

Untuk itu dia melakar potongan peplum dengan tambahan renda pada bahagian tertentu seperti hujung baju atau dada. Oleh kerana tenunan songket itu sendiri sudah bersifat mewah, maka pereka ini tidak meletakkan manik atau batu permata bagi mengelak padanan terlalu sarat.

“Manik dan batu permata sekiranya terlalu banyak akan menenggelamkan keindahan fabrik songket. Biarkan penampilan mempelai lebih asli dengan gaya tersendiri,” katanya yang menjalankan perniagaan di Johor Bahru.

Menurut Farid lagi, selain peplum dia juga turut menerima banyak tempahan songket dengan potongan kebaya, kurung Johor dan kurung Pahang. Kebanyakan raja sehari yang memilih rekaan sebegini inginkan gaya lebih klasik.

UNTUK acara berinai perhiasan cucuk sanggul menyerlahkan nilai tradisi busana songket yang dihasilkan pereka.
UNTUK acara berinai perhiasan cucuk sanggul menyerlahkan nilai tradisi busana songket yang dihasilkan pereka.

“Sebagai pereka persediaan seperti menyediakan cucuk sanggul, tali pinggang, anting-anting dan perhiasan tradisi sangat diperlukan bagi menambah keserian mempelai. Bagi yang bertudung pula saya tetap mengenakan perhiasan supaya penampilan tidak kelihatan terlalu polos.

“Bagi pengantin lelaki saya menyediakan baju Melayu supaya setara dengan permaisuri di atas singgahsana. Potongan klasik jelas menampakkan ketampanan jejaka ketika bersanding,” ujarnya.

Tidak hanya terhad kepada warna gelap, padanan songket kini tampil dengan rona pastel seperti krim, merah jambu lembut atau coklat cair tetapi turut ‘dihidangkan’ dengan warna terang seperti biru, hijau, kuning dan merah pulasan pada gaya lebih asli dan menawan.

Farid Ibrahim Weddings menyediakan perkhidmatan sewaan dan jahitan baru untuk mereka yang ingin tampil dengan konsep sendiri. Harga sewa bermula RM1,000 sehingga RM1,500 manakala untuk pakaian baru pada harga RM2,500 bergantung kepada jenis material.

Dia juga menyediakan pelbagai jenis rekaan baju berdasarkan tema dan konsep diimpikan. Mempelai juga boleh membuat rundingan untuk mengambil pakej secara keseluruhan.

FABRIK songket dan renda untuk mereka yang inginkan perkahwinan dalam taman.
FABRIK songket dan renda untuk mereka yang inginkan perkahwinan dalam taman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 12:15 PM