KURUNG peplum turut mendapat sentuhan gaya terkini.
KURUNG peplum turut mendapat sentuhan gaya terkini.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Fabrik memainkan peranan penting dalam pemilihan pakaian wanita lebih-lebih lagi jika ingin digayakan di negara yang bercuaca panas seperti Malaysia.

Walaupun ada sesetengah fabrik yang digunakan untuk pakaian wanita menjadi ikutan masa kini, bukan semuanya sesuai dipakai setiap golongan.

Cuba lari daripada kebiasaan dan mengambil kira semua segi, Nadine.co tampil dengan busana buat wanita yang mementingkan keselesaan dan gaya, tapi masih mengekalkan batas syariat.

Membawa konsep kasual dan santai, pemiliknya, Nur Maziani Mohd Azizi berkata, rekaannya dibuat berdasarkan keperluan wanita yang mahu tampil sopan, pada masa sama bebas bergerak walaupun dalam cuaca panas.

Katanya, rekaan yang ringkas dan polos diterapkan dalam setiap rekaan supaya ia sesuai digayakan di tempat kerja mahupun sebagai pakaian harian.

KURUNG moden corak bunga mendapat sambutan pelanggan.
KURUNG moden corak bunga mendapat sambutan pelanggan.

Meskipun pelbagai rekaan moden dan terkini tampil di pasaran, menurutnya, koleksi dari butik itu tetap menampilkan baju kurung sebagai produk utama selain kebarung, blaus dan jubah moden.

“Setiap rekaan juga sekurang-kurangnya didatangkan dengan tiga hingga 20 warna pilihan, misalnya baju kurung polos biasanya kami akan hasilkan pelbagai warna untuk memberi banyak pilihan buat pelanggan.

“Apabila menghasilkan pakaian menutup aurat, kami akan pastikan material yang digunakan berkualiti tinggi, tidak panas dan sesuai dengan cuaca di negara ini,” katanya.

BLAUS labuh untuk Muslimah aktif.
BLAUS labuh untuk Muslimah aktif.

Katanya, menutup aurat dan bersederhana adalah ciri yang diberi keutamaan dalam melahirkan rekaan. Ini kerana katanya, dengan trend terkini agak sukar mendapatkan pakaian yang menutup aurat sepenuhnya.

Oleh itu katanya, rekaan pakaian di butik itu dipastikan direka dengan potongan longgar dan sesuai digayakan bukan saja ke pejabat, malah sebarang majlis formal.

“Kami juga menawarkan produk kami pada harga mampu milik kerana menyedari ramai golongan berpendapatan rendah dan sederhana juga mahu bergaya, tapi sering berdepan kekangan kewangan untuk tampil cantik dan mengikut peredaran masa.

“Sungguhpun begitu, kami tidak berkompromi dengan kualiti jahitan kerana bagi kami murah tidak semestinya kurang kualiti,” katanya.

JUBAH polos ringkas tapi menyerlah gaya.
JUBAH polos ringkas tapi menyerlah gaya.

Koleksi Nadine.co boleh didapati dengan harga berpatutan antara RM29 hingga RM79 bagi koleksi blaus manakala baju kurung ditawarkan pada harga RM79 hingga RM200.

Menurutnya, dia berharap dapat menghasilkan lebih banyak rekaan menarik pada harga berpatutan sesuai untuk semua golongan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 7:48 AM