TURBAN pelengkap gaya buat si manis yang moden tapi kekal sopan.
TURBAN pelengkap gaya buat si manis yang moden tapi kekal sopan.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Pemakaian turban bukanlah asing di negara ini, ia cukup sinonim dengan Muslimah moden yang mementingkan keunggulan dalam penampilan.

Jika dulu turban menjadi aksesori fesyen yang sering dikaitkan dengan golongan elit dan bintang filem saja, namun kini penggayaan turban mampu menjadi pelengkap penampilan si manis tidak kira sama ada dipakai pada acara santai mahupun ke majlis berprestij.

Jenama Rehan Ismail tampil membawa rekaan eksklusif dengan penekanan lebih kasual dan boleh digayakan semua lapisan umur.

Menurut pengasasnya Rehan Ismail, idea menghasilkan turban tercetus apabila melihat trend wanita Timur Tengah dan Eropah yang gemar memakai turban yang kelihatan kemas dan ringkas.

REKAAN yang mudah digaya dan selesa.
REKAAN yang mudah digaya dan selesa.

Bagaimanapun, katanya, turban yang dipakai mereka kebanyakannya memerlukan ikatan dan lilitan dari sehelai selendang yang agak rumit.

“Dari situ tercetus idea menghasilkan turban segera yang kelihatan urban dan kemas, pada masa sama dapat memenuhi cita rasa golongan lebih muda.

“Namun, kami tidak mengeluarkan lebih daripada 20 helai setiap rekaan kain bagi menjaga ciri eksklusif kepada pelanggan,” katanya.

Menariknya, turban itu boleh digayakan pelbagai cara dan walaupun tidak menggunakan getah di belakangnya, ia tetap muat untuk semua saiz secara tidak langsung membuatkan ia selesa dan tidak mencengkam telinga serta kepala pemakai.

PEMAKAIAN turban serlah gaya urban wanita.
PEMAKAIAN turban serlah gaya urban wanita.

Selain turban, Rehan turut mengeluarkan koleksi pakaian unik dan lain dari yang lain iaitu kurung Kedah pario yang boleh digayakan untuk apa jua majlis.

“Warna yang digunakan pelbagai dari terang hingga pastel dan polos. Warna sebegini membuat si pemakai kelihatan lebih anggun dan bergaya.

“Kain polos akan kelihatan berada dalam kelasnya tersendiri berbanding fabrik bercorak. Warna terang lebih sesuai untuk pemakai berkulit cerah manakala warna lembut pula cantik digayakan bagi pemakai yang sedikit gelap.

“Contohnya kurung Kedah pario kami mempunyai 12 warna berlainan dan semua warna itu mendapat tempahan pelanggan di seluruh negara,” katanya.

KURUNG Kedah pario buat mereka yang berani dan tampil kelainan.
KURUNG Kedah pario buat mereka yang berani dan tampil kelainan.

Menurutnya, antara fabrik yang digunakan termasuklah sutera Thai, kappa, sifon serta crepe selain crepe Itali dan sutera Itali untuk beberapa rekaan eksklusif butik itu.

Selain fabrik bermutu tinggi katanya, tata hias dari batu Swarovski asli dan renda menjadi ciri penting dalam rekaan di samping menjaga kualiti jahitan bagi menghasilkan turban, khimar serta koleksi pakaian yang terkini dan menarik.

Semua koleksi Rehan Ismail dijual antara RM120 hingga RM500.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 3:14 AM