CIRI Muslimah diutamakan dalam rekaan.
CIRI Muslimah diutamakan dalam rekaan.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Fesyen Muslimah bukan lagi asing di negara ini, malah industri itu boleh dikatakan sebagai lubuk rezeki buat mereka yang menceburinya.

Butik Estifa antara yang tidak mahu ketinggalan menawarkan pilihan buat Muslimah yang bukan saja selesa malah mengekalkan ciri seperti dituntut dalam Islam.

Pemiliknya, Nurulashikin Md Taib berkata, butik itu cuba memenuhi cita rasa Muslimah yang tidak mahu ketinggalan berfesyen dan pada masa sama tetap patuh syariah.

“Idea yang tercetus adalah melalui keperluan, pengalaman dan pengamatan sendiri. Saya melihat keperluan wanita berhijab untuk berfesyen dan pada masa sama tetap mematuhi syariah, menutup aurat dengan betul.

“Sebagai wanita berkerjaya, saya faham masa menjadi faktor penting yang diambil kira dalam memilih busana. Oleh itu butik ini menghasilkan koleksi yang mudah digayakan tapi masih tetap kelihatan anggun,” katanya.

REKAAN longgar dan labuh agar patuh syariah.
REKAAN longgar dan labuh agar patuh syariah.

Katanya, dia banyak meneliti rekaan fesyen luar negara dan diolah sendiri mengikut ciri yang sesuai dengan tema jenama itu iaitu sopan, labuh, selesa dan praktikal.

Selain itu kelebihan mempunyai latar belakang seni bina banyak membantunya merealisasikan rekaan pakaian butik itu.

Menurut Nurulashikin, kebiasaannya setiap rekaan mempunyai pilihan warna ganjil seperti lima, tujuh atau sembilan dan apabila gambar disusun mengikut angka ganjil, ia tampak lebih seimbang. Rekaan butik itu juga banyak menggunakan warna polos berbanding material bercorak.

“Corak ini sangat subjektif. Jika ada pemilihan corak, pilihan dibuat berdasarkan trend semasa. Warna yang dipilih ada warna yang gelap dan pastel.

“Pelanggan bebas membuat pilihan mereka. Namun sejak kebelakangan ini, saya perhatikan pelanggan kami lebih gemar memilih warna gelap berbanding pastel.

REKAAN ringkas tapi eksklusif untuk ke pejabat dan majlis formal.
REKAAN ringkas tapi eksklusif untuk ke pejabat dan majlis formal.

“Sejak tahun lalu, pelanggan mempunyai dua pilihan rekaan pada setiap keluaran. Satu rekaan yang ringkas dan praktikal, lagi satu rekaan mengikut trend terkini namun masih mengekalkan ciri yang praktikal. Contoh trend terkini adalah seperti penggunaan kemasan berlisu, ropol atau sulaman,” katanya.

Nurulashikin berkata, butik itu banyak menggunakan material premium crepe dan linen kapas untuk blaus, baju kurung dan jubah selain menggunakan fabrik lycra Korea yang semuanya diimport dari luar negara.

Bagi koleksi seluar dan skirt, penggunaan kapas Santana banyak digunakan kerana sesuai untuk pakaian lasak. Koleksi butik ini berharga antara RM65 hingga RM149.

Selain itu, setiap pakaian dilengkapkan zip di bahagian hadapan untuk memudahkan ibu menyusu serta memudahkan pemakaian si pemakai. Di bahagian lengan pula, kemasan zip berserta lapik kain di bahagian dalam digunakan untuk mudah disingsing dan selesa di kulit mereka.

FABRIK serap peluh bagi keselesaan penuh pemakai.
FABRIK serap peluh bagi keselesaan penuh pemakai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 3:28 AM