KURUNG moden dengan rekaan sederhana sesuai digayakan ke acara rumah terbuka.
KURUNG moden dengan rekaan sederhana sesuai digayakan ke acara rumah terbuka.
Siti Zarinah Sahib

Ramai individu inginkan penampilan sempurna dan anggun ketika menghadiri jemputan rumah terbuka. Ini kerana acara itu biasanya diadakan di bandar dan dihadiri rakan sekerja, teman rapat dan jiran tetangga.

Jika hari raya pertama sudah melaram habis-habisan dengan busana baru berkonsepkan gaya tradisi apa kata penuhi undangan ini dengan menggayakan pakaian lebih santai namun kekal sopan dan menyerlah.

Mengekalkan konsep moden dan sederhana, Aarla memperkenalkan koleksi terkini busana dengan gaya lebih anggun dan sopan. Mengenakan potongan blaus dan skirt bagi memudahkan wanita menyuai padan pakaian mereka.

“Bahagian atas atau blaus diperincikan dengan jahitan manik pada tangan dan bawah baju. Ia bagi menonjolkan sisi pemakai agar kelihatan lebih menawan,” kata pengasas Aarla Elly Zulaikha Zamri, 26.

Menggunakan material sifon dan satin Dubai, kedua-duanya adalah fabrik berkualiti yang sejuk dan kurang kedut. Sesuai digayakan wanita yang akan mengunjungi banyak rumah terbuka jadi fabrik tahan lasak membuatkan penampilan kekal seadanya.

“Saya mengambil kira rekaan yang diminati ramai lalu disesuaikan mengikut trend semasa. Misalnya Aidilfitri kali ini saya gunakan fabrik polos ditambah perincian renda pada bahagian bawah baju. Busana pula diberi potongan kurung moden dengan empat rona pastel yang pastinya diminati ramai,” ujarnya.

BLAUS blaus dipadankan skirt dengan perincian pada bahagian lengan baju.
BLAUS blaus dipadankan skirt dengan perincian pada bahagian lengan baju.

Bagi peminat baju kurung pula boleh mendapatkan koleksi Soffeeya daripada fabrik sifon disertakan alas baju agar kelihatan sopan. Kurung satin pula boleh dipadankan dengan tudung satin yang mendapat permintaan ramai. Hadir dengan empat warna memikat iaitu coklat lembut, merah jambu, biru diraja dan ungu cerah.

“Penyediaan baju kurung dan koleksi suai padan ini memberi lebih pilihan kepada pelanggan. Kedua-duanya sesuai digayakan bukan saja sepanjang Aidilfitri tetapi acara keraian atau kasual,” katanya.

Elly yang mengusahakan perniagaan ini bersama suaminya Sayid Zulhusni Tuan Sharif , 32, memainkan peranan dalam membangunkan jenama berkenaan sejak mula sehingga sekarang. Sebagai pasangan suami isteri sudah tentu mereka banyak berbincang mengenai rekaan, promosi dan teknik pemasaran agar mampu memenuhi permintaan ramai.

“Pada masa akan datang kami akan mengeluarkan koleksi baru setiap dua bulan bagi memastikan rekaan yang dikeluarkan sentiasa terkini dan mendapat permintaan ramai. Ia bukan saja baju kurung dan blaus tetapi membabitkan rekaan untuk seluar dan skirt untuk gaya ke pejabat,” katanya.

PERINCIAN renda pada bawah baju memberikan impak menawan kepada si pemakai.
PERINCIAN renda pada bawah baju memberikan impak menawan kepada si pemakai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 8:36 AM