Yusliza Yakimir Abd Talib

FABRIK memainkan peranan penting dalam pemilihan pakaian wanita lebih-lebih lagi jika ingin digayakan di negara yang bercuaca panas seperti Malaysia.

Walaupun ada sesetengah fabrik yang digunakan untuk pakaian wanita menjadi ikutan masa kini, bukan semuanya sesuai dipakai setiap golongan.

Cuba lari daripada kebiasaan dan mengambil kira semua segi, Qmanda Official tampil dengan busana buat wanita yang mementingkan keselesaan dan gaya, tapi masih mengekalkan keayuan dan elegan.

Membawa konsep kasual dan santai, pemiliknya, Norita Nordin berkata, rekaannya dibuat berdasarkan keperluan wanita yang mahu tampil sopan, pada masa sama bebas bergerak walaupun dalam cuaca panas.

Katanya, rekaan yang ringkas dan polos diterapkan dalam setiap rekaan supaya ia sesuai digayakan di tempat kerja mahupun sebagai pakaian harian.

“Koleksi kasual kami mempunyai ciri tersendiri dengan rekaan tidak terlampau sarat dan polos malah mudah disuai padan dengan sedikit aksesori seperti rantai atau gelang pada si pemakai sama ada bertudung atau tidak bertudung.

“Memandangkan cuaca di Malaysia panas dan hujan sepanjang tahun, pemilihan material dan rekaan amat penting. Rekaan ringkas sudah memadai, tambahan pula koleksi kasual butik ini adalah untuk dijadikan gaya harian dan kami mahu pemakai selesa sepanjang hari,” katanya.

Menurutnya, warna yang dipilih juga biasanya yang tidak terlampau garang atau gelap dan selalunya pilihan warna pastel sentiasa mendapat permintaan tinggi kerana sesuai digayakan dengan pelbagai acara atau masa.

Fabrik yang digunakan iaitu kapas ima yang diimport dari Jakarta, Indonesia sangat lembut dan sesuai dengan cuaca di negara ini. Ia juga tidak senang berkedut dan sangat sesuai untuk wanita bekerjaya atau remaja yang aktif dan mementingkan masa.

“Kami juga menawarkan produk kami pada harga mampu milik kerana menyedari ramai golongan berpendapatan rendah dan sederhana juga mahu bergaya, tapi sering berdepan kekangan kewangan untuk tampil cantik dan mengikut peredaran masa.

“Sungguhpun begitu, kami tidak berkompromi dengan kualiti jahitan kerana bagi kami murah tidak semestinya kurang kualiti.

“Material yang dipilih pula sentiasa ditambah baik untuk keselesaan pengguna dan sesuai untuk cuaca di negara kita. Setiap koleksi mestilah bersesuaian untuk semua acara sama ada kasual atau formal,” katanya.

Koleksi butik itu boleh didapati dengan harga berpatutan antara RM39 hingga RM99 bagi koleksi blaus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 9:04 AM