Siti Zarinah Sahib

Bermula menghasilkan tudung sekolah tadika untuk anak pertamanya, pelanggan kemudian meminta Emma Kashmima Khairudin menghasilkan rekaan untuk tudung sekolah mengikut konsep diinginkan. Bermula dari situ, El Zahraa Kids dilancarkan menerusi dalam talian dan kemudian beralih kepada pakaian kanak-kanak.

Menurut Emma, dia teruja melihat kanak-kanak berpakaian comel dan sesuai usia mereka. Sebab itu dalam setiap rekaan, dia mengekalkan konsep ringkas dan mudah digayakan menggunakan rona ceria.

Mengambil inspirasi daripada jenama kanak-kanak antarabangsa H&M dan Uniqlo namun disesuaikan dengan budaya rakyat Malaysia terutama dalam aspek kesopanan dan juga keselesaan, Emma mengetengahkan Muslim Kids Modern Contemporary untuk kanak-kanak berusia tiga hingga 10 tahun.

BOLEH digayakan ketika menghadiri acara keraian.
BOLEH digayakan ketika menghadiri acara keraian.

“Saya mengambil inspirasi jenama antarabangsa kerana ia nampak ringkas, tetapi tampil moden. Untuk keselesaan, saya menggunakan kapas kerana ia sejuk dan menyerap peluh manakala satin bagi memberikan unsur glamor kepada si comel.

“Namun potongan dihasilkan tidak keterlaluan dan sesuai dengan cita rasa ibu bapa yang inginkan si kecil tampil manis dan sopan dalam penggayaan,” katanya.

Untuk rekaan pertama, Emma menghasilkan blaus polos yang boleh disuai padan dengan aneka gaya sesuai acara yang akan dihadiri. Untuk lebih glamor, ibu bapa boleh memilih gaun bercorak dengan tema floral bagi memberikan imej segar kepada si pemakai.

BLAUS polos boleh dipadankan dengan seluar atau skirt.
BLAUS polos boleh dipadankan dengan seluar atau skirt.

“Blaus tanpa sebarang perincian ini boleh digayakan dengan seluar, kain atau skirt. Gaun paras lutut pula sesuai untuk kanak-kanak yang ingin tampil feminin dan comel. Ia memudahkan pergerakan tanpa sebarang manik atau perincian sarat,” katanya.

Semua koleksi kanak-kanak El Zahraa Kids boleh didapati di Parkson terpilih di seluruh negara, butik Tateh di seluruh Malaysia atau membelinya menerusi dalam talian.

FABRIk kapas digunakan kerana ia menyerap peluh.
FABRIk kapas digunakan kerana ia menyerap peluh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 3:10 AM