SEPATU bayi unik.
SEPATU bayi unik.
HM Digital

Memilih kasut selesa untuk bayi mungkin agak sukar berbanding kanak-kanak. Walaupun banyak jenama dan butik menawarkan kasut cantik dengan rekaan menarik untuk bayi, tidak semua ibu bapa sanggup berhabis duit membeli sesuatu yang sudah dijangka tidak dapat dipakai dalam tempoh yang lama.

Fizikal bayi yang cepat membesar menjadikan ibu bapa begitu teruja mendapatkan persalinan terbaik pada harga berpatutan dan berbaloi untuk digayakan dalam apa saja majlis atau sekadar melengkapkan fesyen kasual ketika membawa anak keluar bersiar-siar.

Apa kata cuba kasut edisi terhad Little Kawaii. Jenama kasut ini bukan setakat menawarkan sepatu lembut dan selesa untuk si comel tersayang, tetapi unik serta menepati gaya fesyen terkini.

Pemilik jenama, Afiq Aisamuddin Mohd Shariff berkata, sepatu comel keluarannya itu sesuai dijadikan pelengkap gaya untuk bayi seawal usia baru lahir sehingga setahun.

“Kasut comel ini diperbuat daripada fabrik lembut dan berkualiti, sesuai untuk bayi yang memiliki kulit kaki sensitif. Ia dijahit dengan halus dan tapaknya boleh didapati dalam jenis biasa atau antigelincir.

“Reka bentuk dan potongan kasut ini serupa. Apa yang membezakannya adalah corak dan warna. Namun apa yang menarik, sepatu buatan tangan ini hanya dikeluarkan dalam kuantiti terhad iaitu kurang tiga pasang untuk setiap rekaan. Ia umpama pengganti stoking bayi kerana material yang digunakan selesa dan lembut,” katanya.

Menurut Afiq, idea memasarkan kasut bayi comel itu timbul secara tidak langsung, selepas dia dan isteri berkenalan dengan seorang tukang jahit kasut.

“Kami teringat betapa sukarnya mencari kasut untuk anak ketika majlis cukur jambulnya yang lalu. Jadi, sebagai permulaan, kami nekad memborong 200 pasang sepatu comel sebagai permulaan.

“Alhamdulillah, selepas membuat tambah nilai pada produk, memilih jenama dan gaya pembungkusan, Little Kawaii akhirnya mencuri hati ramai ibu bapa yang berdepan masalah sama,” katanya.

Jelas Afiq, sekalipun rekaan kasut nampak standard, dia hanya memilih material berkualiti untuk menghasilkan kasut menarik dan bertepatan dengan kehendak ramai ibu bapa.

“Bagi rekaan kasut premium pula, kami mengambil inspirasi daripada ramai pengeluar kasut bayi antarabangsa. Semua rekaan fabrik dibuat sepenuhnya oleh pasukan kami dan dijahit di kilang.

“Setakat ini, kami mempunyai dua jenis sepatu bayi iaitu premium dan standard. Sebanyak sembilan corak ditawarkan untuk jenis premium, sementara lebih 1,000 corak sudah terjual bagi jenis standard. Kasut bayi lelaki diberi nama Little Yusuf, manakala untuk bayi perempuan dinamakan Little Zahra. Kedua-dua nama ini dipilih bersempena nama anak iaitu Arissa Zahra dan Adam Yusuf,” katanya.

Membelek kasut yang dipamerkan di laman Facebook jenama itu, memang semua rekaan yang ditawarkan cukup menarik dan unik untuk dimiliki. Ia sesuai untuk melindungi kaki bayi dalam tempoh lama, tanpa mengenakan stoking.

Setiap pasang sepatu dijual bersama kotak comel pada harga serendah RM35 untuk jenis standard dan RM45 bagi kasut premium. -Intan Mas Ayu Shahimi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 2:12 PM