SETIAP helaian direka khusus agar bayi, kanak-kanak bergaya dengan selesa.
SETIAP helaian direka khusus agar bayi, kanak-kanak bergaya dengan selesa.
Yusliza Yakimir Abd Talib

SELAIN golongan dewasa, kanak-kanak juga pasti teruja untuk kelihatan bergaya dengan mengenakan pelbagai pilihan fesyen yang berada di pasaran.

Butik Darwish Rich Design (DRD) antara jenama koleksi pakaian si comel yang menampilkan rekaan terkini dan menarik untuk memastikan mereka tampil bergaya.

Pengasasnya, Nurul Huda Othman berkata, butik itu menawarkan pelbagai rekaan untuk kanak-kanak antaranya baju Melayu moden, kurta dan jubah khusus buat si comel lelaki.

Menerusi elemen corak dan warna yang menarik selain penggunaan fabrik kapas demi keselesaan, baju keluarannya juga dibuat khas untuk bayi dan kanak-kanak sehingga usia 10 tahun.

“Idea membuka butik ini tercetus apabila saya menghadapi kesukaran mencari pakaian sesuai untuk anak lelaki yang semakin membesar.

“Memang tidak dinafikan ada pelbagai jenis pakaian dan jenama baju kanak-kanak di pasaran, tetapi tidak banyak rekaan untuk kanak-kanak lelaki yang ditawarkan dan pakaian sedia ada pula tidak memenuhi cita rasa saya.

“Saya terfikir baju yang dihasilkan sendiri sudah tentu memberi kepuasan kerana rekaannya lebih eksklusif selain tahu elemen,” katanya.

Terkini, jenama itu berkolaborasi dengan animasi popular tanah air Omar Hana dan buat pertama kali menghasilkan rekaan menarik untuk kanak-kanak perempuan.

Rekaan eksklusif dan premium selain pelbagai hadiah istimewa turut ditawarkan bagi koleksi terbaru itu.

Koleksi itu juga menawarkan pilihan warna yang ceria dan kali ini pemilihan warna mewah serta gabungan warna pastel menjadi pilihan dengan 12 warna semuanya.

Dari segi rekaan pula katanya, ia menggabungkan elemen moden, kasual dan tradisional agar sesuai dipakai bukan saja ketika musim perayaan malah pada sebarang majlis santai mahupun kasual.

MATERIAL serap peluh beri keselesaan sempurna.
MATERIAL serap peluh beri keselesaan sempurna.

Menurut Nurul Huda, kain kapas sentiasa menjadi pilihan utama dan kali ini mengetengahkan kapas Combed German yang mampu menyerap peluh bayi dan kanak-kanak serta sejuk dipakai walaupun dalam cuaca panas.

Katanya, kapas terbukti tahan lasak untuk kanak-kanak aktif, lebih-lebih lagi untuk dipakai seharian ketika Aidilfitri. Selain kapas, butik itu juga menghasilkan koleksi baju Melayu menggunakan fabrik satin sutera premium yang amat lembut dan sejuk dipakai dan memberi keselesaan penuh buat si manja.

Oleh kerana keselesaan sentiasa menjadi fokus utama, butik itu turut mereka fungsi lebih praktikal untuk bayi seperti rekaan ruang cawat yang luas, sesuai untuk bayi yang masih memakai lampin selain bahagian leher lebih lembut dan tidak mengganggu keselesaan bayi.

Bagi kanak-kanak pula, koleksi dihasilkan dengan saiz yang selesa dan potongan tidak terlalu sendat agar mereka bebas bergerak aktif dan selesa.

Seluar pula semuanya dengan dilengkapi getah yang boleh regang di pinggang membolehkan si manja terus aktif bergerak walaupun perut sarat dengan makanan. Pakaian juga dijahit dengan benang premium, tak mudah tetas dan tahan lama.

“Harga pula ditawarkan bermula daripada RM59 hingga RM159 namun masih dalam lingkungan mampu milik buat pelanggan. Sasaran kami untuk semua lapisan masyarakat kerana kebanyakan ibu bapa di negara ini mempunyai tahap sosioekonomi yang sederhana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 4:30 AM